Biden tersilap perkenalkan Zelenskyy sebagai Putin


Biden tersilap perkenalkan Zelenskyy sebagai Putin
PRESIDEN AS, Joe Biden bersama Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy (kanan) semasa inisiatif Ukraine Compact di luar Sidang Kemuncak NATO di Pusat Konvensyen Walter E. Washington, di Washington.- AFP
Oleh Athirah Huda Zalhe
12 Julai 2024, 2:30 pm

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden tersilap memperkenalkan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy sebagai lawannya dari Russia, Vladimir Putin pada Sidang Kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), semalam.

Bagaimanapun, pemimpin berusia 81 tahun itu segera membetulkan kesilapan tersebut dan secara sinis menyatakan bahawa Zelenskyy ‘lebih baik’ daripada Putin.

“Dan sekarang saya mahu menyerahkan kepada Presiden Ukraine yang mempunyai keberanian yang sama seperti keazamannya, para hadirin, Presiden Putin,” kata Biden ketika mengumumkan perjanjian NATO-Ukraine di persidangan di Washington.

Biden kemudiannya berpaling dari podium persidangan sebelum kembali dan berseru: “Presiden Putin! Dia (Zelenskyy) akan mengalahkan Presiden Putin. Presiden Zelenskyy! Saya sangat fokus untuk menewaskan Putin, kita harus bimbang tentang ini.”

Kesilapan itu mendapat reaksi terkejut dari mereka yang ada dalam sidang itu, tetapi Zelenskyy hanya mentertawakannya.

Namun, kekeliruan itu meningkatkan kebimbangan mengenai ketajaman mental Biden, apatah lagi selepas prestasi buruknya dalam Debat Presiden menentang Donald Trump, sebelum ini.


Penentangan ahli Demokratik terhadap pemilihan semula Biden sebagai Presiden AS semakin meluas, dengan kira-kira 14 ahli Dewan Perwakilan secara terbuka mendesaknya menarik diri.- AFP

Ulasan