Isu GIP-BlackRock: Di manakah suara agamawan itu?

Isu GIP-BlackRock: Di manakah suara agamawan itu?
July 22, 2024

JASIN: Sesetengah agamawan dilihat bingkas bersuara dan memberi pelbagai komen negatif apabila berlaku isu bacaan doa Qunut Nazilah di Dewan Rakyat baru-baru ini.


Namun, menurut Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Zulkifli Ismail, golongan tersebut dilihat membatu dan senyap dalam isu penguasaan GIP-BlackRock terhadap Malaysian Airport Holdings Berhad (MAHB).

“Tiba-tiba saya dimaklumkan bahawa doa yang saya baca itu telah ditegur dan kemudiannya sudah viral. Daripada teguran Menteri sampai kepada teguran pak imam, termasuklah teguran agamawan.

“Saya pun pelik juga. Yang BlackRock ini sedang mengatur langkah untuk menguasai negara, kenapa diam? Kenapa senyap? Kenapa tidak bersuara? Tiba-tiba saya baca doa, ‘menggelintin’! Saya pelik!” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap di dalam program Ceramah Selamatkan Malaysia yang berlangsung di Kompleks PAS Jasin, Simpang Kemendor, di sini malam kelmarin.

Beliau menyatakan perkara itu sebagai mengulas kejadian tersebut yang berlaku sebaik sahaja Dewan Rakyat membuat keputusan menggantung Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal, Khamis lalu.

Ketua Armada BERSATU itu digantung enam bulan daripada Persidangan Parlimen kerana pendedahan beliau terhadap isu penguasaan GIP-BlackRock terhadap MAHB baru-baru ini.

Jelas Tuan Guru Zulkifli, tindakan pihak-pihak tertentu yang cuba memberikan imej negatif terhadap pembacaan doa adalah merupakan agenda liberal dan sekular dalam negara ini.

“Kita kena ingat, mereka mahu menghakis pengagungan kita kepada syiar-syiar Allah. Supaya tak ada lagi dalam hati kita rasa teringat kepada Allah. Rasa bergantung kepada Allah. Ini agenda mereka.

“Allah ingatkan di dalam Al-Quran tentang mentakzimkan syiar Allah, syiar agama. Bukannya memberi gambaran negatif dan fitnah kepada doa dan membuat berbagai-bagai spekulasi,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jasin berkata, golongan itu bertindak sedemikian bagi membina persepsi seolah-olah mereka yang membaca doa itu adalah menunggang ugama, menunjuk-nunjuk dan suatu tindakan melampau.

Tambahnya perkara tersebut adalah suatu agenda liberal dan sekular yang sangat berbahaya.

Sedangkan Allah jelasnya, telah mengingatkan di dalam Al-Quran bahawa barang siapa mengagungkan syiar Allah iaitu perintah-perintah Allah, maka demikian itu adalah tanda daripada hati yang bertakwa kepada Allah.

“Saya berterima kasih kepada beberapa Ahli Parlimen daripada sebelah sana yang ada sebahagian tinggal, turut sama mengaminkan doa. Yang faham dan sedar pentingnya doa. Bila mereka sendiri tak mampu, mereka berdoa kepada Allah bersama-sama. Ini yang betul,” ujarnya.

Tegas beliau, tugas ulama bukan untuk menjadi terompah kayu dalam usaha mempertahankan agenda golongan liberal, sekular dan Zionis.

Sebaliknya ujar beliau, ulama berperanan untuk mengingatkan umat Islam terhadap bahaya yang mendatang yang mengancam Islam.

“Tugas sebenar ulama ialah peringatkan umat tentang kewajipan-kewajipan mereka dan ancaman-ancaman yang akan memotong istiqamah mereka dalam melaksanakan kewajipan itu.

“Ini tugas ulama. Bukan tugas ulama jadi terompah kayu kepada golongan liberal. Bukan tugas ulama jadi terompah kayu kepada golongan sekular,” ujarnya.

Turut menyampaikan ceramah ialah Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Dato’ Nik Amar Abdullah dan Ketua Penerangan BERSATU Wilayah Persekutuan, Datuk Tun Faisal Ismail Azizserta Yang Dipertua PAS Kawasan Jasin, Datuk Ustaz Kamarudin Sidek. – HARAKAHDAILY 22/7/2024

Ulasan