Janji yang tiada kos pun Madani gagal tunai




Janji yang tiada kos pun Madani gagal tunai
July 22, 2024

JASIN: Kerajaan Madani sering mengaitkan kegagalan mereka menunaikan janji-janji mereka sebelum ini disebabkan oleh faktor kos yang perlu ditanggung kerajaan untuk melaksanakannya.

Ketua Penerangan BERSATU Wilayah Persekutuan, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, hakikatnya sesetengah janji yang tidak melibatkan kos pun tetap gagal ditunaikan setelah menjadi kerajaan.

“Janji hapuskan tol, janji turunkan harga kereta, macam-macam janji. Hatta yang tak pakai duit pun dia tak boleh ikut. Contohnya janji PM tak jadi Menteri Kewangan. Dulu teruk Dato’ Sri Najib kena kutuk,” katanya.

Beliau turut mengajuk kata-kata pernah diungkapkan Presiden PAN, Mohamad Sabu sewaktu kempen pilihan raya suatu masa dahulu yang membuat satu ilustrasi terhadap Dato’ Sri Najib.

Bidas Mohamad ketika itu, Najib yang merupakan Pengerusi 1MDB meminta kebenaran daripada Menteri Kewangan yang juga Najib dan kemudian diluluskan oleh Perdana Menteri, Najib.

Menurut beliau, akibat daripada perkara yang berlaku pada zaman pemerintahan Najib itu telah membuatkan PH merangka manifesto supaya Perdana Menteri tidak boleh menjadi Menteri Kewangan sekali gus, namun ia tidak ditunaikan setelah mereka berkuasa.

“Hari ini apa yang berlaku dalam kes MAHB? Yang bentang Pengerusi Khazanah, Anwar Ibrahim kepada orang yang menjaga KWSP, Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim. Minta kebenaran daripada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, tak bawa ke Kabinet pun.

“Akhirnya apa yang Mat Sabu cakap tu Anwar Ibrahim minta kebenaran daripada Anwar Ibrahim, diluluskan juga oleh Anwar Ibrahim. Dekat dunia lagi Allah dah balas,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap di dalam program Ceramah Siri Jelajah Selamatkan Malaysia yang berlangsung di Kompleks PAS Jasin, Simpang Kemendor, di sini malam kelmarin.

Jelasnya, ia sebenarnya menjadi salah satu sebab mengapa rakyat benci kepada Perdana Menteri dan kerajaan hari ini dan mempersendakan mereka kerana janji-janji tersebut.

“Kita tak pernah tengok sebuah kerajaan, seorang Perdana Menteri yang cukup dibenci. Sampai satu tahap kalau kita tengok di (PRK) Sungai Bakap, 75 peratus orang Melayu keluar mengundi dalam PRK. Standard (keluar mengundi) PRK ni 60 peratus sahaja. Maksimum 68 peratus sahaja.

“Tetapi punyalah benci, orang Melayu keluar beramai-ramai. Sebab apa? Sebab nak pastikan kemenangan calon Perikatan Nasional Abang Abidin,” ujarnya.

Selain itu katanya, pengundi Cina di situ pula hanya keluar sekitar 42 peratus sahaja yang mana ia bukan sesuatu yang biasa berlaku disebabkan kemarahan rakyat terhadap Kerajaan Pakatan Harapan ini.

“(Cuma) 42 peratus (pengundi Cina) keluar, dulu kosong peratus bagi undi pada Perikatan Nasional, kali ini lima peratus bagi undi kepada Perikatan Nasional.

“Tak pernah lagi kita tengok ‘swing’ yang begitu besar pengundi India. Daripada 16 peratus undi kepada Perikatan Nasional, (PRK Sungai Bakap) bagi sampai 35 peratus,” katanya.

Kata beliau, semua itu adalah manifestasi kemarahan dan kebencian rakyat terhadap Kerajaan Madani pada hari ini yang ditunjukkan pada PRK Sungai Bakap itu.

“PM hari ni dibenci bukan kerana apa, tetapi kerana janji-janji dia. Betul tak? Pertamanya kerana janji. Sebab apa, inilah orang yang hari tu cakap 24 jam angkat sumpah harga minyak turun satu negara. Yang berlaku hari ini apa? Naik…

“Ini orang yang cakap PTPTN bila kita akan hapuskan? Satu bulan menang memerintah kita hapuskan PTPTN. Akhirnya jadi apa? Sampai sekarang tak ada apa,” katanya.

Turut menyampaikan ceramah ialah Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Dato’ Nik Amar Abdullah dan Timbalan Ketua Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Zulkifli Ismail serta Yang Dipertua PAS Kawasan Jasin, Datuk Ustaz Kamarudin Sidek. – HARAKAHDAILY 22/7/2024

Ulasan