Kerajaan Perpaduan PH-BN sedang retak menanti belah





Kerajaan Perpaduan PH-BN sedang retak menanti belah
July 22, 2024


JASIN: Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh Umno dan Pakatan Harapan (PH) hari ini dilihat jelas berada dalam situasi kucar-kacir bagaikan retak menanti belah.

Yang Dipertua PAS Kawasan Jasin, Datuk Ustaz Kamarudin Sidek berkata, ia dapat dilihat melalui pertelingkahan secara terbuka antara beberapa tokoh daripada kedua-dua parti itu.

“Hari ini kita tengok dah sedikit berlaga kenyataan Tok Mat (Timbalan Presiden Umno) dengan Zahid (Presiden Umno). Sudah berlainan. Kini Umno bahagian-bahagian sedang bermesyuarat agung.

“Ada yang dah mula bawa berani bawa usul supaya Barisan Nasional keluar daripada Kerajaan Perpaduan,” ujarnya.

Tambah beliau, baru-baru ini, akibat daripada penghijrahan ADUN Rembia kepada PAS telah menyebabkan berlaku serang-menyerang antara mereka.

Jelas beliau, pertelingkahan itu bermula apabila Ketua Pemuda Umno, Dr Muhammad Akmal Saleh menghentam Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dalam isu enam Ahli Parlimen yang beralih sokongan.

Tambah beliau, ia diikuti dengan keesokan harinya Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam pula menyerang Akmal demi mempertahankan Johari.

Kemudian, sambung Kamarudin, Akmal pula membalas kecaman tersebut dengan menggelar Lokman sebagai Lobakman, manakala selang satu hari kemudian, Ketua Pemuda PKR, Adam Adli pula menyerang Akmal.

“Maksud saya, nak beritahu, Kerajaan Perpaduan ni dah kucar-kacir, retak menanti belah. Silap-silap tak sampai pilihan raya ke-16 bertukar kerajaan. Boleh berlaku atau tidak tuan-tuan? Doalah,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap di dalam program Ceramah Selamatkan Malaysia yang berlangsung di Kompleks PAS Jasin, Simpang Kemendor, di sini malam kelmarin.

Tambahnya lagi, Umno sendiri dilihat tidak selesa berada bersama-sama dengan PH dalam satu kerajaan berdasarkan suara-suara yang ditunjukkan oleh akar umbi mereka.

“Saya faham, yang duduk dalam Kerajaan Perpaduan ini pun ada yang tidak bersetuju. Tapi mereka tak berani menyatakan secara terus terang. Saya faham perasaan pimpinan Umno.

“Kecuali Zahid Hamidi. Zahid dan selesa, dia tak ada apa masalah. Kes pun dah gugur. Dapat jadi Timbalan Perdana Menteri,” katanya.

Namun kata beliau, ahli-ahli Umno yang lain di akar umbi dan sebahagian Ahli Parlimen tidak berapa seronok kerana mereka mahu perjuangkan hak Melayu dilihat semakin hari semakin terhakis.

Namun katanya lagi, pemimpin-pemimpin Kerajaan Perpaduan tetap cuba menutup konflik yang berlaku itu dan membuat penafian, malah menuduh ia sebagai fitnah yang dilakukan pembangkang.

“Pakatan Harapan menafikan. Mereka kata ini fitnah pembangkang. Mereka ni apa yang keluar daripada mulut kita semua fitnah. Yang keluar daripada mulut Anwar Ibrahim itu semua benar belaka.

“Macam itulah, kita cakap semua fitnah. Ini naratif yang dimainkan mereka,” katanya.

Turut menyampaikan ceramah ialah Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Dato’ Nik Amar Abdullah dan Ketua Penerangan BERSATU Wilayah Persekutuan, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.

Juga Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Zulkifli Ismail dan Yang Dipertua PAS Kawasan Jasin. – HARAKAHDAILY 22/7/2024

Ulasan