Perbicaraan hasutan dihadapi Sanusi ditangguh dua bulan



Perbicaraan hasutan dihadapi Sanusi ditangguh dua bulan
MUHAMMAD Sanusi Md. Nor tiba mahkamah bagi menghadapi perbicaraan berhubung dakwaan hasutan di Mahkamah Tinggi, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Oleh MOHAMAD ATHIR BIN ISMAIL
22 Julai 2024, 10:59 am

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini membenarkan penangguhan selama dua bulan terhadap perbicaraan dihadapi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berhubung dakwaan hasutannya, hari ini.

Penangguhan tersebut dibuat selepas Muhammad Sanusi juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri mengemukakan representasi sekali lagi kepada Jabatan Peguam Negara, pada minggu lalu selepas mendakwa terdapat perkembangan baharu berhubung kes tersebut.

Peguam mewakili beliau, Awang Armadajaya Awang Mahmud berkata, justeru pihaknya memohon perbicaraan pada hari ini ditangguhkan dan tarikh-tarikh ditetapkan untuk prosiding tersebut dilapangkan.

“Saya diarahkan oleh anak guam untuk menghantar representasi kepada Peguam negara dan dihantar pada minggu lepas dan saya percaya, peguam negara perlu masa untuk mempertimbangkan representasi tersebut serta perkembangan yang baharu dalam kes ini,” katanya, hari ini.

Malah, pihaknya memohon penangguhan selama dua bulan bagi pengurusan kes untuk membolehkan kesemua pihak mendapat maklumat penuh dan mempertimbangkan representasi tersebut.

Sementara itu, pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd. Daud memaklumkan kepada mahkamah, pihaknya menerima representasi tersebut dan bersetuju dengan permohonan penangguhan bagi meneliti perkembangan baharunya.


“Kami juga mengesahkan memerlukan sedikit masa untuk meneliti representasi yang dikemukakan pihak tertuduh dalam kes ini. Atas dasar itu pihak pendakwaan menyokong pihak peguam tertuduh untuk menunggu.

“Saya mencadangkan tarikh perbicaraan ditetapkan pada hujung September dan tarikh-tarikh yang diumumkan sebelum ini mohon dilapangkan,” ujarnya.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Aslam Zainudin memberitahu enggan menetapkan lagi tarikh perbicaraan dan menunggu sehingga keputusan representasi diperolehi sama ada diterima atau sebaliknya.

Beliau kemudian membenarkan penangguhan tersebut dan menetapkan 27 September depan untuk pengurusan kes.

Pada Mei lalu, Masri memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi, Jabatan Peguam Negara menolak permohonan representasi kali pertama yang dikemukakan bagi membatalkan dua pertuduhan menghasut terhadapnya.

Dalam pada itu, Awang Armadajaya ketika ditemui selepas prosiding tersebut memaklumkan representasi dikemukakan adalah untuk menyemak semula pertuduhan tersebut termasuk membatalkan pertuduhan terhadap Muhammad Sanusi.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan perkembangan baharu yang dimasukkan dalam representasi tersebut.

Mengikut kedua-dua pertuduhan itu Muhammad Sanusi, 50, didakwa telah menyebut perkataan menghasut di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pukul 11 malam pada 11 Julai 2023.

Justeru kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Ulasan