PRK Nenggiri: Pas mahu PN menang, amaran rakyat tolak Kerajaan Perpaduan

PRK Nenggiri: Pas mahu PN menang, amaran rakyat tolak Kerajaan Perpaduan
TAKIYUDIN Hassan semasa menyampaikan ucapan semasa Ceramah Gelombang Selamatkan Malaysia dan Pelancaran Jentera PRK Nenggiri di Markas Pas Limau Kasturi 2, Gua Musang, Kelantan malam tadi.-UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH

Oleh Yatimin Abdulah
21 Julai 2024, 8:13 am


GUA MUSANG: Pas mahu penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri memberikan kemenangan kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 17 Ogos ini sebagai amaran buat Kerajaan Perpaduan bahawasanya rakyat di peringkat akar umbi menolak mereka.

Setiausahanya Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pada masa sama keputusan itu nanti turut mewakili sebahagian besar rakyat negara ini yang mahukan Kerajaan Perpaduan turun dari tampuk pemerintahan serta-merta.

“Turun bukan dalam tempoh seminggu, sehari dua…tetapi 24 jam selepas PRK Nenggiri ini,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan semasa Ceramah Gelombang Selamatkan Malaysia dan Pelancaran Jentera PRK Nenggiri di Markas Pas Limau Kasturi 2, di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Kota Bharu itu memberitahu, ketika ini negara berada dalam bahaya apabila gerombolan yang mendakwa berpuluh-puluh tahun mahu membela rakyat namun bertindak sebaliknya.

Katanya, dasar yang dibawa hari ini tiada satu pun memberikan manfaat kepada rakyat.

“Justeru PRN Nenggiri, pengundi perlu memastikan memilih calon PN. Jika kita memberikan kerusi kepada UMNO, ini bermakna pengundi bersetuju dengan tindakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mohd. Azizi Abu Naim,” ujarnya.


Mengulas mengenai tindakan Mohd. Azizi, Takiyuddin berkata, ia merupakan satu pengkhianatan kepada parti dan mandat rakyat selepas diberikan peluang untuk bertanding pada pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Katanya, Mohd. Azizi disifatkan ‘paling bertuah’ apabila beliau merupakan calon tunggal dari Bersatu di Kelantan yang diberi peluang bertanding di kerusi Parlimen dan DUN

“Beliau khianat parti dan mandat yang diberikan rakyat dengan menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ramai lagi pengundi tidak kenal Mohd Azizi selepas menang dua kerusi berkenaan.

“Bukan saja tidak berkhidmat dengan baik, sebaliknya mengkhianati parti,” dakwanya.-UTUSAN

Ulasan