Sejarah himpunan mega Ustaz Fadzil Noor berulang



Sejarah himpunan mega Ustaz Fadzil Noor berulang
July 20, 2024

PARIT SULONG: Ceramah Perdana Jelajah Selamatkan Malaysia disifatkan telah mengulangi himpunan mega pernah berlaku suatu masa dahulu melibatkan Presiden PAS, Dato’ Ustaz Fadzil Mohd Noor ketika itu.

Pesuruhjaya PAS Negeri Johor, Ustaz Abdullah Hussin berkata, majlis tersebut bagaikan imbauan sejarah tersebut yang berlaku semula di Markas PAS Parit Warijo, Sri Medan, di sini semalam.

“Perhimpunan mega himpunan yang dapat kita adakan pada malam ini dalam suasana politik tanah air kita begitu sekali dilihat panas dengan isu-isu yang kontroversi.

“Maka penduduk di Parit Sulong khususnya di Parit Warijo yang bersejarah ini dengan kehadiran dahulu almarhum Dato’ Ustaz Fadzil Noor, satu himpunan yang hebat di sini,” ujarnya.

Beliau dalam ucapannya turut mengulas kemenangan Perikatan Nasional dalam PRK DUN Sungai Bakap baru-baru ini yang menunjukkan ada perubahan sikap dalam kalangan rakyat.

“Suatu yang amat pelik (pada PRK Sungai Bakap) di antaranya orang-orang Cina ramai yang tidak keluar mengundi. Jarang orang Cina (bertindak sebegini).

“Pengundi-pengundi Cina daripada (yang berada di) negara Taiwan, daripada negara China, daripada Amerika, England, Australia sanggup balik (dengan kos) beribu-ribu Ringgit untuk memastikan dapat mengundi,” katanya.

Menurut beliau, itu yang biasa berlaku sebelum ini, namun ia berbeza dengan situasi semasa telah berlaku di PRK Sungai Bakap apabila golongan ini tidak keluar mengundi.

Katanya, ia mungkin disebabkan oleh kaum Cina yang sinonim terlibat dengan bidang perniagaan dan mempunyai banyak kenderaan komersial menggunakan diesel sehingga mereka terkesan dengan perkara berlaku kini.

“Selain daripada ahli-ahli Umno sendiri yang mengundi Perikatan Nasional. Ini menjadi satu kejutan kepada Pakatan Harapan, kerajaan yang ada pada hari ini,” katanya.

Ustaz Abdullah turut menitipkan ayat Al Quran surah Ali Imran 53 dan 54 yang antara lain berkaitan dengan tindakan golongan yang cuba menipu Allah SWT.

Namun Allah membalas tipu daya kerana mereka merancang, Allah juga merancang, namun Allah sebijak-bijak Perancang membalas segala tipu daya mereka.

Beliau turut mengingatkan golongan berkuasa agar jangan lupa diri apabila dapat kuasa sehingga menjadi golongan yang melakukan kezaliman kerana Allah SWT telah memberi amaran mengenai kedudukan golongan itu di neraka nanti.

“Dengan kebangkitan rakyat di Parit Sulong, di seluruh Johor dan di seluruh negara insya-Allah kita akan menyaksikan kejatuhan golongan yang zalim dan juga kemenangan Perikatan Nasional.

“Sebagaimana di Sungai Bakap kemenangan itu sebenarnya adalah kemenangan rakyat dan menjadi signal kepada kerajaan yang sedia ada,” katanya.

Turut berucap di dalam program sama ialah Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Zulkifli Ismail dan ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis serta Ahli Jawatankuasa Penerangan BERSATU, Che’gu Bard dan mantan Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil.

Dalam program tersebut beliau turut melancarkan produk keluaran PAS Negeri Johor iaitu Air Mineral PAS Johor dan Kempen Tambah Ahli dan Cawangan PAS Johor. – HARAKAHDAILY 20/7/2024

Ulasan