Semakin banyak petunjuk, bukti kes Nur Farah ditemukan
Pasukan penyelam menunjukkan telefon dipercayai milik Nur Farah ditemukan dalam parit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor semalam.
Oleh MEDIA MULIA
18 Julai 2024, 7:33 am
HULU SELANGOR: Polis meneruskan pencarian bahan bukti di lokasi kedua yang terletak kira-kira 20 minit perjalanan dari lokasi penemuan mayat Nur Farah Kartini Abdullah di ladang kelapa sawit Kampung Sri Kledang di sini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi tersebut bagi mencari bahan bukti membabitkan barangan peribadi milik mangsa.
“Ada satu (lokasi) lagi untuk selam cari barang bukti.
“Pagi ini (semalam) saya sahkan kita berjaya menemukan telefon bimbit dipercayai milik mangsa bagi membantu siasatan,” kata beliau ketika meninjau lokasi kejadian.
Menurut beliau, proses pencarian akan diteruskan sehingga pasukan penyiasat berpuas hati dengan bahan-bahan bukti yang ditemukan.
Terdahulu, dilaporkan polis menemukan telefon bimbit jenis iPhone dalam sebuah parit dipercayai milik Nur Farah, 25, kira-kira pukul 12.20 tengah hari semalam.
Difahamkan bahan bukti tersebut ditemukan satu jam selepas operasi pencarian dilakukan Unit Skuba (Unit Forensik) Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta dibantu pihak bomba.
Suspek lelaki berusia 26 tahun itu dilihat dibawa ke lokasi kejadian dipercayai bagi membantu pihak berkuasa dalam usaha mengesan barang bukti di sebuah parit.
Suspek iaitu seorang anggota polis berpangkat lans koperal dibawa ke kawasan pencarian pada pulul 11.40 dalam keadaan berpakaian baju lokap, bergari selain dikawal ketat beberapa anggota polis ke lokasi pencarian.
Isnin lalu, mayat Nur Farah Kartini ditemukan di kawasan ladang kelapa sawit pada pukul 6 petang.
Susulan itu, suspek lelaki berusia 26 tahun yang juga bekerja sebagai anggota polis ditahan pada hari sama.
Suspek kemudian direman tujuh hari sehingga 22 Julai depan untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan