Tindakan tidak popular, elak rakyat lebih derita


Tindakan tidak popular, elak rakyat lebih derita
Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM dan AQILAH MIOR KAMARULBAID
14 Julai 2024, 7:39 am
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

MEMACU pertumbuhan produktiviti pekerja, menukar bentuk pekerjaan sekali gus dapat mengubah pendapatan rakyat. Negara perlu mengorak langkah ke arah ini.

“Dalam satu perkara kita boleh meningkatkan gaji minimum dan merapatkan jurang pendapatan, namun kita perlu berfikir untuk mengubah bentuk pekerjaan untuk melonjakkan produktiviti. Ini lah salah satu cara mengubah negara untuk Malaysia yang lebih baik,” Itu tekad DATUK SERI AMIR HAMZAH AZIZAN dalam usaha reformasi ekonomi negara sebaik melangkah masuk ke Kementerian Kewangan sebagai Menteri Kewangan II, Disember tahun lalu.

Sebagai latar belakang ahli korporat berjaya dalam mengemudi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebelum ini, kepemimpinannya diperlukan dalam menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ekonomi negara.

Pelbagai pandangan dan idea selain kewajaran tindakan kerajaan terutama dalam merasionalisasi subsidi dikongsikan beliau bersama wartawan Mingguan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan dibantu jurufoto, FAIZ ALIF ZUBIR, di pejabatnya di Putrajaya, Rabu lalu.

PENYASARAN SUBSIDI


Realiti penyasaran subsidi diesel, ia sebahagian daripada disiplin fiskal kerana subsidi sudah ada sejak lama dahulu. Tahun lalu subsidi diesel berjumlah RM14.3 bilion. Dengan kekangan yang kita ada dari segi kewangan, kita perlu lakukan sesuatu mengenai perkara ini.

Jadi, rancangannya adalah melakukan penyasaran subsidi diesel kerana menyedari ada segmen masyarakat yang kita perlu tolong. Pada masa sama kita tidak boleh menerima penyelewengan dengan memberi subsidi kepada yang tidak layak sebab mereka memang tidak patut dapat.

Apabila kita mengapungkan harga daripada RM2.15 kepada RM3.35, menjadikan harga diesel negara ini dengan Thailand tidak jauh dan kita dapat maklum balas segera. Kalau melawat Selatan Thailand kita akan melihat jumlah penjual bahan api berkurangan. Jadi, melalui penyasaran ini jelas dapat menjimatkan perbelanjaan subsidi dan ia tidak keluar kepada negara lain.
Elemen lain, orang yang tidak sepatutnya layak mendapat subsidi diesel, apabila ke stesen minyak, dia ambil dan pindahkan ke tangki berisi diesel kemudian jual kepada sektor komersial. Mereka buat margin, yang kita panggil ‘bukan sepenuhnya perniagaan yang sah’.

Di saat kita memperkenalkan harga baharu, kuantiti penjualan runcit jatuh. Ini bermakna sudah tidak ada penganjakkan dari sektor runcit ke sektor komersial. Jadi, orang akan membeli pada harga sektor komersial.

Dalam hal ini, kita yakin anggaran unjuran penjimatan diesel dalam RM4 bilion. Walaupun kita dapat target penjimatan itu tetapi kita juga mahu melindungi segmen masyarakat.

SISTEM KAWALAN DIESEL BERSUBSIDI (SKDS)

Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) pun sudah lama dan secara asasnya berkaitan pengangkutan awam darat seperti bas, bas henti-henti, ambulans, van jenazah semua masih bersubsidi. Mereka masih membeli petrol pada harga lama, RM1.88 seliter kerana perkhidmatan yang ditawarkan kepada rakyat. Kemudian kita buka kepada 33 jenis kenderaan yang layak menerima bantuan kad fleet.

SKDS 2.0 dilancarkan pada Februari tetapi biasalah orang Malaysia ini tunggu sampai hujung baru memohon. Pada ketika ini, permohonan untuk kereta diesel hampir 300,000. Kelulusan mungkin cepat tetapi kad fleet mungkin ambil masa dua hingga tiga minggu baru dapat.

Jadi, Kementerian Kewangan pun bagi kelonggaran perlu memohon sebelum 10 Jun, sudah diluluskan SKSD 2.0, kita akan bantu. Pada 1 Julai kita buka penyerahan tunai, dan ia akan membantu penuntut menampung perbezaan antara harga runcit diesel.

Secara amnya, peningkatan harga itu bukanlah dramatik walaupun ada yang ambil peluang. Di sini Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) perlu memainkan peranan penting, mereka akan pantau, menyiasat, jika penerima subsidi gagal membuktikan kenapa sesuatu barangan itu patut naik harga, mereka akan hantar notis dan dikenakan tindakan.

Kita terima segala ‘kebisingan’ tetapi manfaat (daripada penyasaran subsidi) jelas dan kos pembendungan juga jelas. Kita juga memperkenalkan Budi Madani untuk menyasarkan kumpulan yang layak dapat subsidi. Budi Madani bagi kategori individu, kita sasarkan kepada 300,000 pemilik kenderaan diesel sementara komoditi dan agro 200,000 hingga 280,000 kenderaan.

Ketika ini, agak perlahan hanya 180,000 kenderaan yang memohon daripada sasaran 700,000 kenderaan. Kita sudah nak bagi duit, kenapa tidak mohon?



Di sini saya agak keliru kenapa boleh jadi begini, kemudian kita buat pengesahan, dalam 300,000 pemilik kenderaan diesel individu, kita tahu kereta apa mereka ada, nama mereka daripada rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kita periksa dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), mereka bayar cukai tak, rupa-rupanya mereka ini tidak membayar cukai untuk lebih lima tahun, kita faham lah mengapa.

Walaupun kita ‘selamat’ daripada memberi mereka subsidi tetapi tindakan itu salah kerana mereka perlu bayar cukai. Kalau bayar cukai, mesti boleh tuntut subsidi. Bayar cukai adalah tanggungjawab rakyat.

TERLEPAS PANDANG PETANI

Kerisauan utama saya ialah golongan petani dan peladang yang berpendapatan RM50,000 hingga RM300,000 setahun. Golongan ini mungkin ada yang kita terlepas pandang tetapi kita sangat aktif di lapangan. Isu di sini kefahaman yang menyatakan mereka layak memohon subsidi tidak sampai kepada mereka. Kedua, mungkin mereka tidak tahu cara mengisi secara dalam talian.

Sekarang kita minta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Kementerian Perladangan dan Komoditi untuk turun padang, kita buat satu program, daftar dengan agensi dan jika ada bantuan yang sepatutnya mereka dapat dan akhirnya kita bantu mereka mendaftar dengan Budi Agro.

Kebanyakan petani tiada peralatan seperti jengkaut dan sebagainya, mereka sewa dan dalam kes ini RM200 yang diberikan akan dipecahkan kerana kita tidak guna setiap masa, hanya guna bila musim bermula, bila habis musim, mereka guna mesin yang lain pula. Bila dapat RM2,400 setahun, rasa-rasanya cukup untuk perbezaan yang ada tetapi jika ada perkhidmatan yang mengenakan caj berlebihan, buat aduan, kemudian KPDN periksa.

Ada juga yang mempunyai ladang kelapa sawit yang kecil, mereka tidak buat, mereka bagi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) uruskan. Apa-apa kos kenaikan daripada kedua agensi ini, kami tampung.

Saya rasa untuk ini, RM200 yang diberikan adalah pemberian tambahan. Untuk ini, kita mahu pekebun, peladang ini daftar dan mohon dengan kita supaya dapat manfaat yang sepatutnya.

SELEPAS SEBULAN PENYASARAN SUBSIDI DIESEL
Kita dapat lihat ke semua stesen minyak (di Semenanjung) menurun sebanyak 27 peratus penjualan diesel, dalam masa sama melihatkan kenaikan dalam kuantiti komersial. Ini bermakna dalam sektor komersial pun masih ada penyeludupan.

Stesen minyak di sempadan pula penjualan petrol menurun sehingga 40 hingga 50 peratus. Sudah jelas. Saya rasa, perkara ini juga mengajar kita perkara baharu, orang tanya kenapa buat begini, kenapa tidak tingkatkan penguatkuasaan, realitinya penguatkuasaan perlukan banyak usaha, masa dan melibatkan jumlah perbelanjaan yang tinggi.

Dan disebabkan penyelewengan diesel sudah berkurang, maka pihak penguatkuasaan boleh memberi fokus kepada RON95 pula.

BUKAN MANSUH SUBSIDI

Seperti saya cakap dalam Dewan Rakyat, kerajaan tidak memansuhkan tetapi melakukan penyasaran subsidi.

Soalan seterusnya yang kita perlu hadapi, bagaimana untuk pastikan rakyat tidak menjadi ‘kreatif’. Dulu sudah buat ‘begini’ (manipulasi subsidi), kita sudah tahu kemudian mereka akan ada kreativiti baharu.

KENAPA TIADA PENYASARAN SUBSIDI SABAH SARAWAK?

Ketika ini kita mengambil masa untuk fikirkan bagaimana untuk melaksanakan subsidi seperti semenanjung. Di Semenanjung lebih kurang kita bergerak 60 kilometer (km) jumpa stesen minyak tetapi di sana kerisauannya adalah rangkaian logistiknya tidak sebaik di sini, kalau kita lakukan kenaikan, akan beri kesan kepada pengguna akhir.

Masih banyak ‘kerja rumah’ yang perlu dilakukan. Kita tidak akan buat selagi tidak jumpa mekanisme yang terbaik.



Kalau hendak buat kad fleet di stesen yang gunakan tunai sahaja, bagaimana mahu guna? Ia boleh mendatangkan lebih banyak masalah jika menggunakan kaedah tunai. Orang Asli, peladang juga akan susah, kerana itu, kami perlu fikir secara berhati-hati.

SETAHUN KERANGKA EKONOMI MADANI

Kerangka Ekonomi Madani memberi masa kepada kerajaan untuk menilai keutamaan dan pecahkan kepada tiga perkara yang betul-betul penting. Pertama, kenaikan siling. Ini agak mudah, bagaimana mahu membuat kek lebih besar?

Kalau kek membesar, semua akan lebih kaya. Bermakna kita fokus tingkatkan ekonomi melalui pelaburan langsung asing (FDI), bagaimana mencipta peluang pekerjaan yang lebih baik daripada FDI. Walaupun bukan semua pelaburan adalah baik, namun ada pelaburan membawa masuk pekerja berbakat tinggi.

Alhamdulillah tahun lepas sudah nampak reaksi itu tetapi tidak bermakna terus ‘nampak’, ia mengambil masa, untuk dapat kebaikan dan sebagainya tetapi ada perkembangannya.

Kedua, kita mahu lihat apa yang boleh dilakukan untuk pelaburan langsung domestik (DDI), saya sentiasa kata kepada pengurus dana di luar, satu perkara mudah yang perlu diingati tentang Malaysia adalah kepelbagaian ekonomi, kalau sektor ini tidak elok, sektor itu ada. Kerana itu pertumbuhan ekonomi kita stabil, tidak naik dan turun tetapi dipanggil deaf in economy.

Satu lagi yang perlu faham tentang ekonomi Malaysia adalah ekonomi kecairan dari institusi di negara ini. Jumlah semua pengurusan aset RM1.8 trillion. Kalau pergi Vietnam, Thailand, Indonesia, mereka tidak punya banyak seperti kita. Kecairan ini untuk memberi dana bagi pertumbuhan negara. Contoh, bon korporat dari syarikat Malaysia, bila ada banyak reputatif maka kadarnya akan lebih berdaya saing.

Keduanya, kebergantungan kepada pertukaran mata wang asing akan berkurangan. Sekarang saya rasa pertukaran mata wang asing kurang daripada 3 peratus.

Kalau tengok 1997/1998 masa itu lebih daripada 20 peratus disebabkan kebergantungan tinggi, apa-apa pergerakan dalam pertukaran mata wang asing, sakitlah tetapi di sini kita semakin ‘imune’ dengan peringkat itu disebabkan kecairan ekuiti pasaran sangat kuat. Walaupun begitu, ia kurang dalam pasaran swasta. Kita akan lihat jika ada kesesuaian untuk bina pasaran swasta yang lebih kuat.

PERLUAS KAWASAN PERINDUSTRIAN

Baru-baru in Perdana Menteri melancarkan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) melalui kerjasama dengan Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Sime Darby Plantation Bhd, kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan. Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) mencipta kawasan perindustrian.

Ini penting kerana jika kita lihat dalam sektor semikonduktor, Penang hampir siap, begitu juga Kulim, jadi kita perlukan kawasan baharu dan pelabur untuk merancakkan lagi. Jika lebih banyak, kita boleh tingkat ekonomi domestik.
Infrastruktur di Malaysia agak bagus dan ekosistem yang menyokong sektor semikonduktor sangat baik.

Bila kita bercakap dengan pelabur asing, kita mahu GLIC juga boleh menyokong dalam rantaian bekalan. Jika bekalan ini menjadi semakin ‘besar’ ia penting kepada negara. Ini kali pertama kerajaan menarik semua GLIC, apa kawasan yang diperlukan, apa yang kerajaan boleh bantu.

Saya buat lawak dengan orang dengan berkata “saya ada tugas baru di kementerian, saya adalah ketua ‘pencari jodoh’, saya cari FDI, saya cari perniagaan dan kenalkan kepada GLIC. Kalau ‘dating’ berjalan dan sesuatu berlaku seperti ‘berkahwin’, alhamdulillah, kira ‘masjid baharu’ sudah naik.

Tugas saya untuk pastikan ia menarik dan orang melabur. Ia tidak akan salah. Jika yakin boleh buat duit, maka melabur. Kita buka peluang dengan memperkenalkan dan lihat pelbagai cara lain bagi menyokong.

TIDAK PANDAI HEBOH

Salah satu masalah dengan kerajaan ini, kita tak pandai uar-uarkan. Bila saya ke Infineon Technologies, mereka akan mengembangkan wafer fabrication yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri pada Ogos ini tetapi kita tidak cerita.

Apabila kita buka fasiliti baharu, kita menjadi komponen lebih besar dan kuat dengan teknologi baharu, dan lagi satu beratus ribu orang Malaysia akan bekerja. Kulim akan lebih membangun, cuma kita kena pandai sikitlah untuk pastikan orang faham pertumbuhan yang berlaku dan ada orang sudah dapat kerja. Ada banyak peluang, kita perlu keluar dan cari.

GAJI MINIMUM

Kita juga bercakap tentang menaikan lantai, bagaimana untuk tingkat kualiti hidup rakyat Malaysia itu penting. Saya tahu Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sedang melihat pada gaji minimum. Insya-Allah ia boleh dilaksanakan. Kita akan lihat untuk menambah lebih dari RM1,500 pada masa depan kerana jumlah itu masih rendah.

Kalau lihat gaji kehidupan wajar lebih RM3,000. Ini bermakna kita perlukan gaji minimum lebih tinggi tetapi kita perlu lihat kepada produktiviti supaya dapat hasil yang lebih baik agar dapat sumber pendapatan yang lebih besar seterusnya dapat membayar gaji lebih.

PEKERJA ASING

Perkara yang perlu dilakukan adalah mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing. Jika terlalu bergantung kepada pekerja asing, kita mengurangkan peluang kepada pekerja tempatan.

Sebagai contoh, sebelum saya menyertai MOF, saya juga Lembaga Pengarah Sime Darby Plantation. Sektor perladangan banyak menggunakan tenaga kerja asing. Tetapi ketika tempoh pandemik pekerja asing ini tiada.



Jadi, Sime Darby mula membuat pelaburan dalam penggunaan mesin automatik seperti dron dan jentera automatik dengan mengubah semula corak kejuruteraan yang dilaksanakan dalam kerja perladangan seterusnya merekrut pekerja tempatan untuk mengoperasikan jentera-jentera ini.

Dulu orang muda tempatan di kampung tidak mahu kerja di ladang dengan alasan panas, malu kerja macam ini. Jadi, sekarang kita boleh beritahu orang tempatan untuk datang bekerja di ladang untuk mengoperasikan mesin-mesin ini atau mengendalikan dron dan dapatkan sijil dalam bidang ini. Jadi, mereka boleh naik gaji dan boleh dibayar sehingga RM3,000 berbanding RM1,500.

KADAR PENARAFAN ANTARABANGSA

Malaysia telah melalui perjalanan baik lebih 70 tahun lalu, selain berdepan cabaran seperti tempoh pandemik Covid-19 dan berjaya dalam pemulihan semula ekonomi. Tetapi kestabilan kerajaan adalah sangat penting untuk pelabur asing.

Kerajaan sekarang 19 bulan, telah meletakkan satu pasaran ekonomi yang jelas melalui kerangka Ekonomi Madani dalam memandu negara di landasan yang betul. Antaranya Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) dan rasionalisasi subsidi bukan sahaja diesel, elektrik, air dan ayam. Ini menunjukkan kerajaan melakukan perkara yang tepat.

Sekarang tidak ada subsidi untuk elektrik. Fiskal lebih baik. Tarif air pula selepas 42 tahun ia dinaikkan. Tindakan ini bukan sempurna lagi tetapi modelnya telah menunjukkan arah yang baik. Ia sesuatu tindakan yang susah seperti subsidi diesel, sangat emotif, tetapi sudah buat. Namun tahap keyakinan kepada kerajaan meningkat.

Banyak bukti positif yang menaikkan penarafan Malaysia walaupun ada risikonya kerana kita tidak mahu pelaksanaan ini tergendala namun ia adalah tangungjawab fiskal.Tetapi ada cabaran yang di luar kawalan kita seperti keadaan geopolitik dunia, Malaysia ada panduan untuk mengatasi cabaran masa ini.

POLISI TIDAK POPULAR

Kerajaan mengambil tindakan secara seimbang, tidak sebelah pihak sahaja. Kalau tengok subsidi, kita tidak kata pemansuhan subsidi, kita kata penyasaran subsidi. Kita mengurangkan kadar subsidi dari RM14.3 bilion kepada RM10 bilion.

Kerajaan beri perhatian kepada kumpulan rakyat yang memerlukan. Ini adalah peranan kerajaan. Apa yang penting kita mahu orang faham, dia tidak panik, dia tidak percaya apa yang mungkin diceritakan puak-puak yang tidak selari. Jadi, kerajaan sedang menguruskan keseimbangan ini. Ada caranya untuk menguruskan kedua-dua pihak. Tapi realitinya, tindakan sukar ini perlu diambil.

KADAR HUTANG NEGARA

Kadar asas itu masih sama, tetapi apabila KDNK meningkat, jadi peratusannya menurun. Selagi kita boleh meningkatkan pertumbuhan ekonomi lebih baik, maka kapasiti ekonomi adalah lebih kukuh. Kita sedang bergerak ke arah landasan betul. Kalau tidak Fitch Ratings tidak memberikan penarafan baik dan masih mampu melindungi masyarakat. Kalau kita tengok negara luar, kos sara hidup mereka lagi tinggi. Kadang-kadang kita tidak tahu betapa bertuahnya negara kita sehingga kita lihat orang lain.

ISU EKONOMI DIPOLITIKKAN

Kita berharap mereka mampu lebih rasional, kadang-kadang bila kita sampaikan isu asas, ekonomi kita lebih kukuh dan rakyat akan lebih rasional. Mungkin ada yang senang terikut. Tindakan tidak popular ini perlu dilakukan kerana jika kita tidak lakukan, negara akan menderita.

Kita hilang dan bazirkan banyak masa sekitar tujuh tahun, negara tidak bergerak antara 2018 sehingga 2022 apabila kerajaan tidak stabil. Jadi, sekarang negara sudah bergerak, orang luar sudah iktiraf, pelabur sudah datang melabur, maka marilah kita bergerak bersama-sama untuk masa depan. – Mingguan Malaysia

Ulasan