Zahid tak kisah kapal karam, janji dia selamat?


Zahid tak kisah kapal karam, janji dia selamat?
July 8, 2024

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari telah memuat naik status di media sosialnya di mana mendapat reaksi balas ramai pengikut maya yang percaya beliau maksudkan kepada perkembangan politik sedang hangat hari ini.

“Kapalnya yang sedang karam, tiba-tiba masih memilih kelasi kapal mana yang dibenarkan menyelamatkannya. Kapalnya karam tak mengapa, asalkan dia seorang selamat,” ujarnya pada status terkini baharu dimuat naik beliau sebentar tadi.

Terdahulu sebelum itu, tular laporan media tempatan mengenai kenyataan Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menegaskan parti itu tidak akan bekerjasama dengan PAS selagi Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjadi Presiden.

Timbalan Perdana Menteri itu menyatakan demikian ketika beliau berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Kuala Kangsar 2024 yang dilangsungkan di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar hari ini.

Dalam ucapannya, Zahid mendakwa Tuan Guru Abdul Hadi telah mengkhianati keputusan bersama dibuat kedua-dua parti, pembohong dan menunggang agama yang menyebabkan Umno tidak bekerjasama dengan PAS.

Sebaliknya kata Zahid, Umno bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) kerana ikhlas dalam hubungan mereka sebagai kerajaan mahupun gerak kerja politik hingga dipuji beliau bahawa sanggup memberi jawatan Menteri Besar di Perak dan Pahang.

Status sinikal Ahmad Fadhli itu signifikan dengan situasi Umno yang semakin hilang sokongan dan berubah banyak dalam pendirian terhadap pelbagai isu melibatkan kepentingan rakyat dan negara pernah diperjuangkan parti Melayu itu.

Malah, bertentangan dengan suara terbuka ahli-ahli akar umbi dan pemimpin pertengahan Umno hingga Zahid dan Ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi parti itu bertindak menyingkirkan mereka yang tidak sehaluan dalam memberi dukungan kepada PH.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu malah dalam beberapa ucapannya sebelum ini menyifatkan Umno kini hanya sebagai ‘penumpang’ di dalam kerajaan di mana tidak dihormati dan Zahid pula menjadi ‘terompah’ kepada kepentingan DAP.

Ahmad Fadhli bahkan pernah menyatakan bahawa Umno akan cuma ada dalam buku sejarah selepas PRU16 jika pemimpinnya masih bersikap demikian, selain ramai berpendapat Umno hanya selamat jika bersama Perikatan Nasional (PN).

Terkini, para pemimpin Umno terutama kalangan yang dipecat parti giat membantu kempen PN di PRK N.20 DUN Sungai Bakap, malah ahli-ahli Umno turut memberi undi hingga PN memperolehi majoriti besar hampir tiga kali ganda.

Status Fadhli itu juga mungkin menjelaskan sikap ego Ahmad Zahid yang bertindak untuk kepentingan diri kerana Presiden Umno itu sebelum ini dilepaskan dari pertuduhan 47 kes rasuah di mahkamah dan bukan mahu menyelamatkan partinya. – HARAKAHDAILY 8/7/2024

Ulasan