1.6 juta penjawat awam jangan buat hutang baharu


1.6 juta penjawat awam jangan buat hutang baharu
KALI terakhir kadar gaji penjawat awam dinaikkan adalah pada 2013, iaitu membabitkan pemberian satu kenaikan gaji tahunan (KGT) antara RM80 hingga RM320. - GAMBAR HIASAN
Oleh HAFIZ SAIDINA
16 Ogos 2024, 7:50 am

PETALING JAYA: Penantian sedekad 1.6 juta penjawat awam berhubung kenaikan gaji berakhir apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat pengumuman mengenainya, hari ini.

Kali terakhir kadar gaji penjawat awam dinaikkan adalah pada 2013, iaitu membabitkan pemberian satu kenaikan gaji tahunan (KGT) antara RM80 hingga RM320.

Gambaran umum yang diberikan sebelum ini adalah penjawat awam dalam kalangan kumpulan pelaksana dijangka menikmati kenaikan gaji melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) sehingga 42.7 peratus.

Justeru, mereka dinasihatkan mengawal perbelanjaan terutama tidak membuat hutang baharu berikutan jangkaan kenaikan gaji bermula 15 hingga 42.7 peratus.

Sebelum ini, Angkatan Ko­perasi Malaysia Berhad (Ang­kasa) menguruskan hampir RM1.2 bilion sebulan atau RM14.4 bi­lion setahun bayaran balik 800,000 penjawat awam yang membuat pinjaman de­ngan pelbagai institusi kewangan dan koperasi.

Pakar Perunding Kewangan, Afyan Mat Rawi berkata, penjawat awam tidak boleh terlalu selesa dengan kenaikan gaji kerana kemungkinan kerajaan akan memperkenalkan atau meningkatkan cukai bagi menyeimbangkan kewangan negara.


Menurutnya, majoriti besar kakitangan awam mempunyai hutang, justeru, mereka tidak boleh terburu-buru dengan menambah atau membuat hutang baharu.

“Hampir separuh penjawat awam menghabiskan kelayakan pinjaman untuk tujuan penggunaan seperti pinjaman peribadi, kad kredit, kenderaan bermotor dan lain-lain.

“Kenaikan gaji ini merupakan paling tinggi dalam sejarah, namun menambah hutang hanya akan meningkatkan beban kewangan jangka panjang serta tidak memberi sebarang impak dalam kenaikan gaji tersebut.

“Kenaikan gaji ini perlu digunakan secara bijak bagi meningkatkan kualiti hidup tanpa menambah bebanan hutang sedia ada. Jadi, lebih bagusnya tumpukan kepada pembayaran hutang sedia ada dan memperkukuh tabungan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, Jabatan Perkhid­matan Awam memaklumkan pengumuman khas dan pe­rincian mekanisme pengiraan berkaitan kenaikan gaji 1.6 juta penjawat awam akan dibuat oleh kerajaan hari ini.

Pengumuman tersebut akan dibuat dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Afyan berkata, tanggungan hutang yang tinggi akan menyebabkan motivasi untuk be­kerja terjejas.

“Saya tegaskan dari awal, penting bagi penjawat awam untuk menyusun strategi kewangan yang berkesan bagi mengurangkan tekanan kewangan.

“Ini termasuk mengurus perbelanjaan harian dengan baik dan menyelesaikan hutang secara berperingkat. Jangan besarkan kerak sekalipun besar periuknya,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Abdul Rahman Mohd. Nordin berkata, dengan kenaikan gaji ini, penjawat awam perlu menambah baik kualiti perkhidmatan.

“Jangan tambah hutang sedia ada. Jika tidak penjawat awam akan menghadapi tekanan yang tinggi walaupun sudah ada kenaikan gaji.

“Tidak dinafikan dengan kenaikan gaji ini mungkin akan memberi impak kepada kenaikan barangan. Ini juga tugas kerajaan sama ada mereka mampu mengawal kenaikan harga barangan atau sebaliknya.

“Kerajaan juga mahu menjaga kebajikan penjawat awam dengan mengawal kadar pendapatan dan kos sara hidup. Oleh itu, penjawat awam dinasihatkan untuk tidak menambah hutang,” katanya. – UTUSAN

Ulasan