August 6, 2024
Tun Faisal Ismail Aziz
KUALA LUMPUR: “Saya dah cakap.. bukan Ringgit Malaysia (MYR) yang mengukuh, tapi Dolar Amerika Syarikat (AS$) dan Pound Sterling (GBP) yang melemah kerana ekonomi Amerika Syarikat dan dunia yang melemah.”
Ketua Penerangan Bersatu Wilayah, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata demikian sambil menegaskan bahawa ekonomi dunia kini bermasalah berikutan indeks saham Nikkei catat kejatuhan mata terbesar dalam sejarah.
“(Saya) tidak nampak apa-apa asas yang menyokong ringgit iaitu pelaburan langsung asing (FDI) jatuh, Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) jatuh, hutang negara bertambah, eksport menurun, keupayaan berbelanja rakyat dan kerajaan jatuh.
“Selain itu, perniagaan kecil dan sederhana semakin banyak yang tutup, kilang pun dah banyak yang tutup dan berpindah daripada Malaysia ke negara lain,” katanya dalam media sosial miliknya.
Tun Faisal yang juga mantan Setiausaha Akhbar (SUA) Menteri Komunikasi dan Multimedia, berkata Malaysia kini hanya tunggu masa sahaja apabila ekonomi negara dan perdagangan utama dunia tidak cantik.
“Lebih-lebih lagi apabila Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan barisan kabinet lemah dan tidak pandai mentadbir,” katanya dalam satu kenyataan.
Oleh yang demikian, beliau yang juga mantan Timbalan Ketua Umno Bahagian Putrajaya, meminta kerajaan untuk menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dan membenarkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersasar dikeluarkan pada ketika ini.
“Tidak ada guna jika Ringgitr Malaysia naik, tetapi harga barang, kos sara hidup dan bil elektrik sudah melambung tinggi, subsidi ditarik dan harga diesel mahal.
“Selain itu, harga petrol RON95 turut bakal naik dan pendapatan boleh guna dan kuasa beli rakyat makin teruk,” katanya.
Terdahulu, semalam, agensi Berita Kyodo, Jepun melaporkan bahawa bahawa indeks saham Nikkei ditutup dengan penurunan mata terbesar dalam sejarah pada Isnin (5 Ogos) yang menjunam lebih 4,400 mata dan jatuh lebih 12 peratus berikutan kebimbangan terhadap kemelesetan di Amerika Syarikat (AS) dan pengukuhan yen.
Dolar AS pula merosot hampir lima yen dari akhir minggu lalu ke paras terendah baharu dalam tujuh bulan di zon atas 141 yen di tengah-tengah spekulasi yang semakin meningkat bahawa Rizab Persekutuan (Fed) akan mengurangkan kadar faedah dengan ketara pada September. – HARAKAHDAILY 6/8/2024
share & sebarkan:
Ulasan
Catat Ulasan