‘Content’ diturunkan: Fadhli rakam simpati kepada PM
August 1, 2024
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari merakamkan simpati kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berikutan kandungan media sosial beliau diturunkan Meta Platforms Inc (Meta).
“Dari aspek kebebasan media, tahu pula marah bila ‘content’ (kandungan dimuat naik tersebut) dihilangkan. Adakah fikir sama apa yang rakyat rasa bila ‘content‘ dan akaun mereka dihilangkan?
“Dari aspek keselamatan dan kedaulatan, tahu pula kecam pihak itu rejim zalim. Ada fikir apa rakyat rasa bila jual sebahagian aset negara kepada syarikat ada kaitan dengan rejim zalim?” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.
Ulasan Fadhli itu dipercayai merujuk kepada tindakan pemerintahan Kerajaan Madani ke atas para pengguna media sosial yang kandungan berupa kritikan atau penjelasan berbeza dimuat naik mereka telah diturunkan, termasuk akaun dilupuskan.
Bahkan kandungan positif dan mengangkat agenda tokoh politik tertentu turut ‘dihilangkan’ sepertimana dialami akaun Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Samsuri Mokhtar walaupun kandungan tiada kaitan dengan Kerajaan Madani.
Malah, pengguna media sosial juga sebelum pernah diugut akan didatangi kereta peronda polis ke kediaman mereka, selain tidak kurang yang ditakut-takutkan melalui laporan dan siasatan pihak berkuasa, serta terkini mungkin memerlukan lesen khas.
Paling teruk, apabila Malaysia jatuh 34 anak tangga apabila berada di kedudukan ke-107 dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 yang diterbitkan oleh Reporters Without Borders (RSF) berbanding tangga ke-73 tahun lepas.
Fadhli juga mengulas demikian dipercayai merujuk kepada keputusan Kementerian Kewangan yang diterajui Anwar untuk menjual sebahagian kepentingan dalam Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada BlackRock Inc yang terkait Israel.
Video ucapan takziah dan kritikan Anwar terhadap pembunuhan Ketua Biro Politik HAMAS, Syeikh Ismail Haniyeh di Tehran, Iran telah diturunkan dari laman media sosial berkenaan tidak sampai 24 jam setelah ia dimuat naik, semalam.
“Meta sekali lagi bertindak biadab dan telah menghina perjuangan rakyat Palestin. Tidak masuk akal apabila hantaran menghormati seorang pejuang yang berusaha memerdekakan tanah airnya daripada kezaliman dan penderitaan dianggap berbahaya.
“Peringatan tegas saya terhadap Meta, usah jadi bacul dan perkakas rejim zalim Zionis Israel! Hentikan tindakan pengecut ini dan berhenti bertindak sebagai instrumen rejim Zionis Israel yang zalim!” ujar beliau mahu mesej yang jelas dan tegas diberikan kepada Meta.
Turut mengalami kandungan dengan mesej sama diturunkan adalah Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Ahli Parlimen Pagoh.
Ulasan
Catat Ulasan