Di mana Suhakam tujuh tahun lalu?
Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOF BAKRI
4 Ogos 2024, 8:45 am
MUKADIMAH
CUKUP sadis apabila menatap kisah penderaan Pegawai Kadet Laut, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain yang menggemparkan negara tujuh tahun lalu.
Apatah lagi dengan 90 tekapan seterika wap terhadap arwah semestinya cukup mengerikan.
Penderitaan yang ditanggung arwah bagaimanapun berbalas apabila enam tertuduh yang juga bekas penuntut UPNM dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan.
Tumpuan semestinya diberikan terhadap ibu bapa Allahyarham Zulfarhan, ZULKARNAIN IDROS dan HAWA OSMAN yang menyatakan kelegaan dengan keputusan tersebut.
Justeru Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemu ramah kedua ibu bapa arwah bagi mendapatkan reaksi dan pandangan lebih terperinci susulan keputusan berkenaan. Turut membantu jurugambar MOHD. FIKRI FADZIL dan M. FIRDAUS M. JOHARI.
TIADA PERMOHONAN MAAF
MINGGUAN MALAYSIA: Dua minggu selepas kes hukuman gantung sampai mati diputuskan kepada keenam-enam tertuduh. Ada keluarga mereka datang membuat permohonan maaf?
ZULKARNAIN: Setakat ini memang tiada.Cuma pada awal 2018 ketika kami ke Mahkamah Tinggi, salah seorang ibu bapa tertuduh datang dan memohon maaf. Itu sahaja. Yang lain, tiada sampailah ke hari ini.
Adakah tuan atau puan berjumpa dengan keluarga tertuduh untuk mendapatkan penjelasan mereka dengan apa yang telah berlaku ?
HAWA: Ada juga kami berjumpa ketika di Mahkamah Tinggi sebelum ini. Saya tanya pada salah seorang daripada mereka, apa yang anak saya sudah buat sehingga menyebabkan encik tuduh anak saya yang mencuri komputer riba? Dia kata anaknya ada menelefon dan memberikan tiga nama termasuk nama arwah.
Kemudian dia kata dia solat hajat dan menemukan barang.Tapi apabila dalam mahkamah hakim tanya ‘barang’ apa kepada bapa tertuduh. Namun dia hanya cakap ‘baranglah’ dan selepas solat hajat dia kata nama arwah tertera keluar. Itulah pertanyaan saya kepada bapa tertuduh. Kemudian saya ada tanya juga kepada tertuduh. Apa yang anak saya sudah buat sehingga diperlakukan sedemikian?
Dia kata – “mak cik akan tahu dalam mahkamah nanti.” Jadi, apabila mahkamah menjatuhkan hukuman penjara, mereka menangis dan kemudian tengok muka saya. Tetapi saya terus tunjukkan tanda bagus. Ini bermakna anak saya tidak bersalah dan balasan itu berbalik kepada dia.
SAMAN UPNM DAN KELUARGA TERTUDUH
Ada segelintir pihak mencadangkan agar tindakan saman dikenakan terhadap warden UPNM. Adakah pihak tuan atau puan berbuat demikian?
ZULKARNAIN: Sebenarnya kami sudah mulakan tindakan untuk menyaman terhadap UPNM. Namun kami berdepan beberapa perkara seperti birokrasi dan undang-undang, sehingga tidak dapat meneruskannya walaupun saman itu sudah dibawa di Mahkamah Tinggi.
Diantaranya kami berdepan dengan kelewatan hal surat menyurat dan itu menjadikan tempoh masa sudah lewat. Ini kerana menurut peguam saya, sekiranya kami mahu menyaman kerajaan, ia perlu dilakukan dalam tempoh tiga tahun selepas daripada kejadian. Sekiranya lebih daripada tempoh masa berkenaan, ia tidak boleh diteruskan (saman).
Malah kita dapat surat-surat (dari UPNM) pun pada 2021. Apabila dibawa ke mahkamah, hakim cakap ia sudah melebihi tempoh. Jadi, tidak boleh buat rayuan. Bagaimanapun, ada juga peguam mengatakan saman boleh buat. Cuma apa pun ia perlu dirujuk kepada peguam saya.
Bagaimana pula tindakan untuk menyaman tertuduh atau keluarga?
ZULKARNAIN: Kalau tertuduh kami ada juga cadangan untuk menyaman mereka.Tetapi kalau ibu bapa tidak boleh melainkan tertuduh sahaja.
Ada peguam menasihati saya. Mereka kata “awak hendak saman tertuduh sebab mahukan ganti rugi bukan? Jadi, mereka (tertuduh) itu ada apa pendapatan? Sebab mereka pelajar. Mereka tiada kerja pun dan tidak mungkin boleh bayar saman tersebut.” Itu pandangan yang dinyatakan peguam
HAWA: Cadangan saman ini juga ada kami cuba lakukan pada bomoh terbabit. Bagaimanapun, menurut peguam tiada hitam putih dan tiada saksi. Bomoh itu pun dipanggil menjadi saksi untuk mengesahkan anak dia yang merupakan tertuduh ada menelefon untuk buat solat hajat.
Apakah perkara yang tidak boleh dilupakan sehingga kini bagi tuan dan puan?
ZULKARNAIN: Perasaan yang saya tidak akan lupakan sampai bila-bila ketika saya melihat jenazah. Kalau biasa kita ada dengar berita kematian dengan berpunca daripada kemalangan, sakit atau kebakaran, ia sesuatu yang agak biasa didengari.
Tetapi apabila dapat berita mengatakan anak saya mati didera dan melihat sendiri anak saya diseterika sebegitu, memang luluh hati dan tidak akan melupakan sampai bila-bila sampai akhir hayat. Malah pihak mahkamah juga mengesahkan ituah jenayah paling tragis dan amat jarang didengari. Mungkin satu dalam sejuta kes.
HAWA: Arwah bercita-cita untuk menjadi seorang pegawai komando Pasukan Khas Laut (Paskal). Dia juga bercita-cita mahu menjadi jurulatih taekwondo .Tetapi tidak tercapai dan arwah menamatkan silibus tali pinggang hitam ketika umur 16 tahun.
Untuk jadi jurulatih, arwah perlu menunggu sehingga berumur 21 tahun. Bagaimanapun, sudah suratan takdir, beliau meninggal dunia lima bulan sebelum berumur 21 tahun. Tidak sampai hajat beliau .
Di samping itu, saya masih ingat lagi ada satu ketika arwah bermasam muka dengan saya sebab tidak benarkan dia menjadi tentera dan saya pula mahu arwah menjadi guru.Saya katakan kepadanya kalau jadi tentera susah hendak cuti. Dia pergi Institut Pendidikan Guru (IPG) Melewar pun kami hantar untuk melakukan ujian kecergasan dan ujian bertulis agar dapat menjadi guru sekali gus menyampaikan hajat saya.
Namun, dia tetap mahu belajar dalam jurusan Kejuruteraan Elektik disamping mahu menjadi tentera. Saya akhirnya mengalah dan cakap kalau betul mahu jadi tentera saya sokong dan saya beri wang RM80 untuk dia buat pemeriksaan x-ray ketika temuduga di Kem Terendak, Melaka.
ADA SUHAKAM KISAH PASAL DISETERIKA?
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menentang hukuman gantung sampai mati yang dikenakan terhadap tertuduh. Komen tuan dan puan ?
ZULKARNAIN: Saya hairan kerana sewaktu kejadian dera yang berlaku tujuh tahun dahulu sehingga menggemparkan negara termasuk cerita arwah diseterika, Suhakam di mana? Ada Suhakam komen selepas kejadian arwah diseterika?
Kalau kita lihat memang cara pembunuhan memang tragis tetapi mereka tidak komen apa-apa pun. Yang saya pelik apabila semua tertuduh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati, tiba-tiba Suhakam boleh bersuara pula.
Untuk pengetahuan awak, saya ada memuat naik kenyataan saya di laman media sosial dan mengatakan bahawa Suhakam ini adalah ahli-ahli berpolitik. Kalau ada kepentingan sendiri barulah mereka komen. Kalau tiada mereka tidak ulas apa-apa.
Malah Suhakam sendiri tidak ada berjumpa saya. Sekarang alasan kehakiman pun sudah dikeluarkan dan mereka boleh baca. Kalau tidak baca kemudian mahu mengulas, tiada guna juga.
Masih ada lagi kejadian penderaan dalam kalangan pelajar pada masa kini. Komen tuan dan puan?
ZULKARNAIN: Selepas kejadian berlaku saya ada dengar kes penderaan. Baru-baru ini Ketua Pemuda UMNO Dr. Muhamad Akmal Saleh datang melawat dan saya usulkan kepada beliau agar masalah buli ini dapat ditangani.
Mungkin boleh dibawa kepada Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pertahanan agar mengubah apa yang mungkin segelintir pihak katakan sebagai ‘tradisi’ perilaku buli ini.
Dan pada saya perkara ini perlu dibanteras dari bawah lagi dengan melalui penguatkuasaan undang-undang. Kalau setakat penjara dua ke tiga bulan orang tidak takut.
Tambahan pula melibatkan nyawa. Ia perlu dihukum berat termasuk hukuman gantung sampai mati atau penjara 30 tahun. Usaha ke arah ini perlu bermula dari bawah. Malah ada baiknya juga kerajaan memberi pendedahan mengenai masalah buli ini daripada peringkat sekolah lagi.
ZULFARHAN DIBANTAI TERUK , TRAUMA LIHAT SETERIKA
Apakah perkara yang tuan dan puan kesalkan. Adakah komputer riba terus menjadi tanya tanya?
ZULKARNAIN: Ya, saya tertanya-tanya tentang komputer riba sampai sekarang. Selain itu, saya rasa kesal dengan pihak warden UPNM dan kedua doktor swasta.
Sebabnya, dalam alasan penghakiman semasa Mahkamah Tinggi mengatakan kedua-dua pihak itu orang yang bertanggungjawab boleh menyelamatkan arwah.
HAWA: Kerana disebabkan kecuaian mereka arwah tiada. Mereka sepatutnya apabila mendapat surat terus periksa dengan aduan tersebut.Tetapi mereka masukkan pula surat dalam kumpulan WhatsApp pelajar-pelajar.
Sebab itulah tertuduh bawa keluar arwah daripada asrama. Dalam mahkamah ketika perbicaraan, Peguam bela dan Pendakwa Raya ada bertanya punca dan sebagainya.
Di samping itu, kami juga dapat tahu dibawa kulit kepala arwah ada pendarahan dan matanya lebam kesan kena pukul. Di bahagian atas keningnya pula apabila saya buka kain yang menutupi jenazah ada kesan luka. Keadaan arwah memang tidak terurus ketika kami melawat.
Masa dalam perbicaraan pun kami tidak diberitahu ada kesan pendarahan kulit kepala. Dalam alasan penghakiman barulah kami tahu. Teruk juga arwah dibantai dengan tali pinggang, penyodok sampah dan getah paip.
Malah saya sendiri trauma sewaktu mula-mula dulu terutama apabila melihat seterika. Tetapi kami perlu teruskan hidup .
Malah, mata saya pun terpaksa menggunakan kanta yang baharu kerana air mata sering mengalir ketika bersembang dengan rakan-rakan. Ini kerana ada pengalaman saya bersama dia sebelum meninggal dunia. Arwah ambil semua medal yang dimenangi sebelum ini kemudian gantung depan almari saya.
Arwah kata pada saya “kalau mak rindu Along, mak pandang pingat itu”.
Jadi, kadang-kadang pingat itu berbunyi-bunyi. Saya cakap dalam hati mungkin Along ada datang.
Seminggu sebelum keputusan hukuman mati baru-baru ini, saya ada mimpi berjumpa dengan arwah. Ketika itu saya tidur di Ipoh. Semasa saya tidur, saya mengigau dan saya kata Along jumpa dan mungkin sesuatu yang hendak ditunjukkan tentang keputusan ini
Pesanan untuk ibu bapa yang mahu menghantar anak-anak ke asrama dan dalam masa sama bimbang dengan kes penderaan?
ZULKARNAIN: Ibu bapa itu sebenarnya tidak suruh pun jadi jahat. Tapi disebabkan pengaruh luar. Masuk asrama pula jumpa kawan-kawan.Selepas itu ada pula satu kepala yang lebih hebat. Rasa nak jadi ketua buat pula perkara bukan-bukan.
Lihat juga pada pengawasan warden asrama di sekolah.Mungkin warden perlu buat pemeriksaan seminggu sekali pada tubuh badan pelajar untuk memastikan mereka tidak dibuli terutama pelajar lelaki. Tengok kalau- kalau ada kesan lebam dan kenal pasti punca. Kalau mereka tidak mahu bercakap. boleh buat siasatan.
Jika tidak dibimbangi berlaku lagi kes macam arwah. Tertuduh tutup kesan dengan baju. Sebab muka dia tiada kesan sangat. Malah, arwah sendiri memang tidak beri apa-apa bayangan bahawa dia didera.Kes komputer riba yang jadi punca dia didera. Itu pun disebabkan ‘bomoh’. Saya sendiri pesan kepada dia jangan buat orang. Kalau mahu tegur cukup sekadar tegur.
Di UPNM apa yang saya tahu ada ranking. Pelajar tahun kedua jaga tahun pertama dan begitu juga untuk pelajar tahun lain. Sebagai bapa saya cakap pada dia apabila awak keluar awak akan terus dihormati kalau menggunakan pendekatan yang baik.
HAWA: Ada pelajar junior sendiri cakap arwah orangnya baik dan arwah ada pesan kepada mereka jangan buat yang tidak baik kepada pelajar lain.
MAAFKAN TERTUDUH
Adakan timbul rasa dalam diri tuan atau puan untuk memaafkan tertuduh?
ZULKARNAIN: Saya ambil kata Ebit Lew ketika datang ke rumah saya. Dia kata sejauh mana awak nak memaafkan mereka, tetapi jauh di sudut hati awak akan ada tersimpan sedikit rasa kecewa. Tidak akan dapat 100 peratus untuk memaafkan mereka dan 10 peratus akan tinggal dalam hati.
HAWA: Tertuduh sewaktu mereka dijatuhkan hukuman 18 tahun penjara dulu, mereka boleh ketawa walaupun kami berada berhampiran. Sepatutnya mereka katalah “mak cik kami minta maaf”. Ibu bapa mereka pun menyombong.
Kami pakai baju say no to bully pun mereka pertikaikan kami di mahkamah. Kami buat untuk kesedaran semua. Malah 12 tertuduh lain yang dikaitkan pun tiada yang minta maaf. Mak ayah tertuduh selisih pun tiada minta maaf. Kami beritahu kepada wartawan suruh temu ramah keluarga tertuduh untuk beri peluang mereka kemukakan alasan sendiri.
Pada saya apabila ini berlaku seolah-olah anak saya yang bersalah. Cuma seorang saja keluarga tertuduh yang minta maaf sewaktu perbicaraan 2018.
Bagaimana dengan individu yang memberi surat layang. Adakah dia datang berjumpa dengan tuan dan puan?
ZULKARNAIN: Tiada. Kami pun tidak mahu bercakap perkara yang sudah lepas. Kini segala-galanya tertumpu kepada kes membabitkan pesalah ini. Mungkin mereka pun takut atau segan berjumpa kami.
HAWA: Dia tidak berjumpa kami. Kalau dihantar bertugas jauh-jauh pun sekurang-kurangnya datang berjumpa kami.
Ada yang cuba mengutip derma bagi membantu pihak tuan dan puan meringankan bebanan?
ZULKARNAIN: Saya pun tidak menggalakkan sebab takut ada yang memanipulasi. Ada seorang yang mahu buat kutipan derma untuk saya melantik peguam. Tapi saya tidak mahu sebab dibimbangi penipuan.
Lagipun untuk Pendakwa Raya semua kos ditanggung kerajaan. Lain-lain hanya kos makan minum serta penginapan apabila datang pada hari perbicaraan. – Mingguan Malaysia
Ulasan
Catat Ulasan