Fakta dikemuka ADUN BN tersasar jauh


Fakta dikemuka ADUN BN tersasar jauh
August 7, 2024


KOTA BHARU: Kerajaan negeri menasihatkan Umno Kelantan lebih berhati-hati mengemukakan fakta, yang dianggap cuba meraih sokongan rakyat sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, sewajarnya pihak yang bertanding tidak menyampaikan maklumat tidak benar sehingga wujud persepasi buruk dalam kalangan rakyat.

“Nak ambik rata-rata tepi jalan nak bercakap kedai kopi mudah, kerajaan nak jawab kena dapat fakta yang betul.

“Dalam hal ini saya minta orang yang bertanya juga tolong dapat fakta yang betul, sebelum cabar kerajaan,” katanya selepas Mesyuarat Exco di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai dakwaan Timbalan Pengarah PRK Barisan Nasional (BN), Mohd Syahbuddin Hashim mengenai 54 kelulusan penerokaan hutan membabitkan keluasan melebihi 13,000 hektar sejak 2022.

Menurutnya, fakta yang dikemukakan ADUN Galas itu tersasar daripada maklumat sebenar.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri menetap prosedur yang ketat termasuk perlu mendapat kelulusan Laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA) bagi melaksanakan pembangunan semula ladang hutan.

“Istilah teroka itu tidak betul, kalau 54 juga tidak betul, sebenarnya 48, kalau dia kata kelulusan baru juga tidak betul.

“Sebenarnya ini kelulusan lama dan perlu mendapat laporan EIA, maknanya ia melalui prosedur yang betul,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/8/2024

Ulasan