Harga makanan di kantin sekolah naik 50% tahun depan?
HARGA makanan dan minuman di kantin sekolah seluruh negara dijangka naik sebanyak 50 peratus pada tahun depan selepas para pengusaha kantin menangani tender baharu.
Oleh ARIF AIMAN ASROL
5 Ogos 2024, 8:40 am
PETALING JAYA: Lebih 10,000 pengusaha kantin di seluruh negara dijangka menaikkan harga jualan makanan dan minuman melebihi 50 peratus bermula tahun depan selepas mereka menandatangani tender baharu.
Presiden Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM), Khairuddin Hamzah berkata, tender kantin sekolah dibuka setiap tiga tahun dan 10,000 pengusaha bakal memperbaharui kontrak masing-masing.
“Setiap tiga tahun, sekolah akan membuka tender. Jadi penender akan masukkan harga baharu dengan menggunakan kos sekarang dan anggaran kenaikan kos bagi dua atau tiga tahun akan datang. Jadi kebiasaannya akan ada peningkatan sebanyak 20 ke 30 peratus sahaja.
“Tetapi tahun ini, ada perubahan dari segi penguat kuasa. Dahulu majoriti pengusaha kantin menggunakan barangan bersubsidi seperti minyak masak paket dan gula, untuk menjual makanan dengan harga yang murah.
“Masalahnya, ramai pengusaha kantin tidak sedar bahawa tindakan itu menyalahi undang-undang negara kerana apa sahaja bentuk perniagaan tidak boleh menggunakan barangan bersubsidi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Khairuddin berkata, sejak beberapa minggu lalu PPKSM mendapati banyak kantin sudah diperiksa dan dikenakan tindakan kerana menggunakan barangan bersubsidi.
Jelasnya, pengusaha-pengusaha kantin tidak menyedari bahawa penggunaan barangan bersubsidi adalah menyalahi undang-undang sehingga tindakan tersebut sudah menjadi amalan sejak bertahun lamanya.
“Ia sudah menjadi kejutan kepada ramai pengusaha kantin kerana mereka ingat boleh guna (barangan bersubsidi) sebelum ini dan mereka masuk tender dahulu pun menggunakan harga barang-barang bersubsidi.
“Ramai dari kami terpaksa menggunakan harga-harga standard iaitu harga tanpa subsidi.
“Jadi kenaikan kali ini terutama untuk kantin-kantin yang memperbaharui kontrak akan melebihi 50 peratus. Ini bagi mengelak kantin mereka diperiksa atau ditutup oleh penguat kuasa pada masa akan datang,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan perlu mencampur tangan dalam isu kenaikan harga jualan di kantin.
“Kalau tidak boleh beri subsidi supaya harga kekal murah, sekurang-kurangnya ada penerangan kenapa makanan di kantin menjadi agak mahal.
“Kerajaan perlu memainkan peranan dalam isu ini,” katanya.
Sementara itu, Khairuddin berkata, lebih separuh daripada pengusaha kantin di seluruh negara terdiri daripada golongan warga emas dan tidak terlalu peka terhadap undang-undang.
“Ini termasuk undang-undang mengenai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang mana mereka mewajibkan semua warganegara yang memiliki pendapatan untuk mengisytiharkan pendapatan mereka, tidak kisah dari pekerjaan atau perniagaan.
“Malangnya, pengusaha kantin dari sekolah-sekolah kecil yang pendapatannya tidak seberapa ini menganggap seolah-olah mereka tidak perlu buat kerana kalau isytihar pun tidak perlu bayar kerana jumlah pendapatan jauh di bawah paras yang perlu membayar cukai.
“Dengan situasi sekarang, kalau kerajaan benar-benar menguatkuasakan semua agensinya untuk menyiasat maka banyak kantin akan terjejas,” katanya.
Tambahnya, kerajaan perlu melaksanakan program kesedaran bagi menyelesaikan masalah tersebut. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan