‘Isteri yang dinikahi tak dibawa balik ke kampung’
August 18, 2024
KLUANG: Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) N.43 Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri yang menyaksikan kekalahan PERIKATAN NASIONAL harus diambil muhasabah berdasarkan kata-kata hikmat Saidina Ali KW.
Ketua Penerangan BERSATU Wilayah Persekutuan, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, ia berkaitan kata-kata hikmat Saidina Ali iaitu ‘kebatilan tersusun dapat mengalahkan kebenaran yang tidak tersusun’.
“Kita tahu di Nenggiri dan dalam pilihan-pilihan raya kecil sebelum ni, memang banyak tawaran tawaran yang dibuat. Kita hormati keputusan pengundi di kawasan Nenggiri.
“Cuma nak ‘relate’ kepada kesimpulan kata-kata Sayidina Ali tadi, mereka (PH-BN) jauh lebih tersusun,” katanya dalam ‘Ceramah Mega Selamatkan Malaysia PERIKATAN NASIONAL Negeri Johor’ di Pejabat BERSATU Bahagian Kluang, di sini semalam.
Beliau tidak menafikan kesungguhan dan kerja keras yang telah ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin dan jentera PERIKATAN NASIONAL dalam PRK itu, namun perancangan PH-BN dilihat lebih tersusun.
“Banyak benda yang berlaku di sana menunjukkan walaupun mereka bukan semestinya di pihak yang membawa kebenaran, tetapi kerana mereka tersusun, maka mereka beroleh kemenangan.
“Termasuklah dalam tersusun ini adalah halangan untuk ‘bawa isteri yang dinikahi balik kampung’. DAP dia tak bawa balik,” katanya menerangkan antara pendekatan tersusun tersebut.
Kata beliau lagi, BN merancang dengan teliti strategi parti bagi mengelakkan mereka tidak hilang sokongan pengundi Melayu berdasarkan pengalaman ditempuhi pada PRK yang sebelum-sebelum ini.
Ini, menurut Tun Faisal termasuk berkaitan larangan terhadap beberapa orang pemimpin tertentu daripada berucap yang menunjukkan ketelitian mereka dalam memastikan mereka mendapat undi rakyat.
“Maksudnya mereka tersusun. Walaupun mereka tak benar, walaupun cara mereka banyak yang salah, mereka tetap menang,” katanya.
Hakikatnya, kata beliau, PH-BN di dalam beberapa siri PRK secara terang-terang berkempen secara tidak beretika, antaranya dengan menggunakan jentera kerajaan bagi membantu kempen mereka.
“Macam di Kuala Kubu Baharu juga, jentera Kerajaan Pusat digunakan sepenuhnya. Ini berbeza dengan kerajaan negeri (Kelantan) yang tak guna pun jentera kerajaan negeri.
“Dan kempen kita jauh lebih jujur, jauh lebih bersih dan kita tak ada buat fitnah terhadap mereka. Mereka ada fitnah. MB punya ucapan pun diedit,” katanya.
Kerana itu katanya, banyak perkara yang berlaku di Nenggiri menunjukkan walaupun mereka bukan semestinya di pihak membawa kebenaran, tetapi kerana mereka tersusun, maka mereka beroleh kemenangan.
Turut berucap di dalam majlis tersebut ialah Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil dan Pengerusi PERIKATAN NASIONAL Johor, Dato’ Dr Shahruddin Jamal serta Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin dan pimpinan GERAKAN Johor, Loh Kah Yong. – HARAKAHDAILY 18/8/2024
Ulasan
Catat Ulasan