Jay Jay meninggal dunia


Jay Jay meninggal dunia
August 4, 2024

Share
Allahyarham Jay Jay

KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal yang juga mantan vokalis kumpulan Carefree, Jay Jay atau nama sebenarnya, Mohd Fauzi Darus menghembuskan nafas terakhir di Hospital Thompson Kota Damansara, di sini, hari ini.

Pelakon Fauziah Ahmad Daud melalui perkongsian di Faceboknya berkata, “Innalilahi wainnailahi roji’un. Dapat berita pulangnya Biduan Jay Jay kepada Ya Khaliq.

“Hilangnya seorang insan seni yang tiada pengganti. Semoga rohnya dicucuri Rahmat Allah diampunkan dosa-dosanya, diterima segala amal ibadahnya, ditempatkan arwah bersama hamba-hamba-Nya yang beramal Solih.

“Aamiin Allahumma Aamiin. Takziah buat keluarga arwah. Al Fatihah.”

Sementara seorang rakan Allahyarham, Rahman Ali dalam Facebooknya memaklumkan Jay Jay yang berusia 67 tahun itu telah meninggal dunia kira-kira pada jam 9.30 malam tadi.

Terdahulu pada 30 Jun tahun ini, JayJay yang lumpuh separuh badan akibat serangan angin ahmar dilaporkan menunjukkan perkembangan positif, selepas menjalani beberapa sesi rawatan fisioterapi di sebuah pusat perubatan.

Sebelum itu, beliau telah menjalani pembedahan pintasan jantung pada 23 Mei 2024 dan tidak lama selepas itu, kesihatannya kembali merosot akibat diserang angin ahmar menyebabkannya mengalami lumpuh pada bahagian tubuh di sebelah kanan, sekaligus sukar bergerak.

Beliau yang dilahirkan di Kedah dan dibesarkan di Kelantan mendirikan rumahtangga pada tahun 1982, dikurniakan empat cahaya mata yang terdiri daripada tiga orang perempuan dan seorang lelaki. – HARAKAHDAILY 4/8/2024

Ulasan