Johor satu-satunya negeri lepasi sasaran SkimPAS





Johor satu-satunya negeri lepasi sasaran SkimPAS
August 4, 2024

BATU PAHAT: Skim Kifalah Ahli PAS (SkimPAS) Negeri Johor menjadi satu-satunya negeri yang berjaya melepasi sasaran keahlian skim itu berbanding negeri-negeri lain seluruh Malaysia.


Pengurus Besar SkimPAS Malaysia, Abdul Razak Mohamed berkata, pencapaian itu merupakan sesuatu yang harus dibanggakan oleh seluruh warga PAS Johor.

“Peserta SkimPAS Johor setakat bulan Jun ialah 1,478 orang. Bulan Julai ada pertambahan 74 peserta. Jadi jumlah sekarang ialah 1,552. Saya nak bagi tahu dengan bangganya.

“Setakat ini dalam Malaysia, Johor satu-satunya negeri dalam Malaysia yang telah melepasi sasaran yang ditetapkan iaitu 1,350 orang,” katanya.

SkimPAS adalah satu skim caruman untuk ahli-ahli PAS yang menyediakan pelbagai manfaat kepada pencarum sekiranya berlaku musibah kepada ahli tersebut.

Kata beliau, disebabkan Johor berjaya melepasi sasaran itu, pihak SkimPAS Pusat telah memutuskan untuk meningkatkan sasaran itu daripada 1,350 kepada 2,700 peserta yang diambil daripada peratusan jumlah ahli bagi negeri itu.

“Tuan-tuan dan puan-puan ada enam bulan lagi untuk tambah dalam 1,200 peserta sahaja lagi. Sekarang ni ada 1,500 setakat bulan Julai. Jadi perlu cari lagi sekitar 1,200 saja lagi.

“Tak mustahil tuan-tuan dan puan-puan. Insya-Allah saya kongsikan tip macam mana nak dapatkan ataupun nak capai sasaran 2,700 ini,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial (LKKS) PAS Pusat berkata demikian sewaktu berucap dalam program ‘Kursus Pemantapan NGO Kebajikan dan SkimPAS Negeri Johor’.

Tambah beliau, berdasarkan statistik, dari segi pencapaian keahlian tiga negeri tertinggi, Kedah menduduki tempat pertama, kedua Selangor dan ketiga Perak.

Namun, menurutnya, walau pun negeri-negeri itu berada pada kedudukan tiga tertinggi, mereka masih belum mencapai sasaran yang ditetapkan untuk mereka.

“Ini saya nak kongsi statistik yang terkini sehingga bulan Jun 2024, tiga negeri yang tertinggi iaitu Kedah, Selangor dan Perak. Dua negeri yang atas ini daripada 2018 hingga sekarang tak bertukar.

“Yang ketiga, Perak, tu pernah Terengganu nombor tiga, dia bertukar-tukar. Harap lepas ni Johor boleh duduk di situ. Tak mustahil,” katanya lagi.

Program yang berlangsung di Sekolah Rendah Islam Riyadhus Solihin, Sungai Kajang, di sini, semalam itu dirasmikan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Johor, Dr Abdul Karim Deraman.

Turut berucap ialah Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial (LKKS) PAS Negeri Johor, Halim Othman Kepol dan Ketua Unit NGO LKKS PAS Negeri Johor, Shamsuddin Jaafar.

Seramai 40 orang Perunding SkimPAS (PSK) Negeri Johor menghadiri taklimat tersebut dengan 12 daripadanya adalah perunding baharu yang mengikuti kursus pada hari sama dikendalikan pakar SKIMPAS, Ustaz Zamadi Omar. – HARAKAHDAILY 4/8/2024

Ulasan