Kenapa orang Islam ketinggalan dalam ekonomi?
Nasiruddin Mohd. Ali
Oleh ROSHIHAN ANNUAR YUB dan HADI AB. MANAP
18 Ogos 2024, 7:51 am
Masalah sosial dalam masyarakat Islam turut terkait dengan situasi ekonomi. Gagal menguasai ekonomi bermakna tidak mampu membela kesejahteraan ummah kerana terpaksa bergantung kepada modal dan perniagaan daripada golongan bukan Islam.
Sedangkan ekonomi Islam mempunyai potensi yang cukup besar di seluruh dunia. Kerana kegagalan itulah menyaksikan 85 peratus daripada industri halal di negara ini dikuasai bukan Islam. Atas sebab itu GISB Holdings (GISBH) berusaha membentuk ekonomi Islam yang berasaskan komuniti dengan membina empayar perniagaan dari bawah.
Pengerusi Eksekutif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif GISBH, Nasiruddin Mohd. Ali berkata, matlamat mereka adalah mengukuhkan ekonomi dan memastikan komuniti Islam kuat dan dihormati.
Beliau turut mengakui stigma pihak berkuasa, agensi kerajaan dan masyarakat terhadap GISBH ekoran isu Al Arqam. Namun katanya, jika mereka bersalah sila nyatakan terus-terang.
Ikuti temu bual wartawan Mingguan Malaysia, Roshihan Annuar Yub dan Hadi Ab. Manap dibantu juruvideo, Mohd. Fikri Fadzil dan jurugambar Syafeeq Ahmad.
MINGGUAN MALAYSIA: Ekspo Perdagangan dan Pelancongan Islam anjuran GISB Holdings (GISBH) di Melaka baru-baru ini mendapat sambutan menggalakkan. Adakah ini akan menjadi platform untuk kembangkan lagi ke rantau ASEAN atau Asia?
Nasiruddin: Kami sudah berpengalaman ikut ekspo halal di banyak tempat. Semua menceritakan tentang barangan halal, makanan halal tetapi perbuatan tidak halal. Orang menyediakan makanan halal, aurat pun tidak tutup. Sedangkan halal ini perkataan Allah dalam al-Quran.
Di Malaysia sendiri yang mengeluarkan produk halal lebih 85 peratus adalah bukan Islam. Jadi, adakah kita sebagai orang Islam tidak malu? Inilah antara sebab kita kena menceritakan Islam itu adalah cara hidup itu, ‘Islam is the way of life’. Cara hidup kita jadi kena jelas. Ada hukum dan ada sistemnya.
Banyak orang kaya datang ke tempat kami kata, ‘cantiklah bagus buat perniagaan, Ikhwan Mart ke pasar raya, boleh tak buat di tempat saya?’ Sedap sahaja kata buat tempat saya, sedangkan duit dia dalam bank berjuta. Kalau dia kata, ‘ambil duit saya RM3 juta rolling, lepas tiga tahun bagi balik,” Ini baru bermakna orang Islam yang betul-betul hendakkan perjuangan itu.
Ini yang kami cuba laksanakan, ekonomi yang turun bawah termasuk melalui ekspo. Kami akan cari sebanyak mungkin lokasi khususnya dalam khususnya di semenanjung dan di luar negara kami akan cuba buat Islam itu adalah cahaya kepada hidup.
Adakah bermakna GISBH menerima pelaburan daripada pihak luar? Bermakna orang korporat atau individu berminat boleh melabur dengan atau menjadi rakan kongsi GISBH dalam program yang dilaksanakan?
Dua-dua itu berjalan, dengan orang luar pun kita tanya dan orang dalam pun kita tanya. Kami sudah ikut kumpulan korporat dan sebagainya. Kami pun baru hendak belajar. Tetapi kalau sistem yang digunakan sistem bawah meja, itu tidak kena. Saya hendak buat ini kena bayar juta-juta, eh! Kenapa? Sampai peringkat mahu luluskan sijil halal pun kena bayar?
Hal ini saya sudah buat laporan polis kalau kata saya fitnah. Ini tidak kena, jadi kami ini atas nama GISB mahukan jalan yang sebenar. Walaupun perlahan, tidak ada orang mahu sokong, kami perlahan-lahan usahakan.
Tapi kalau ada sokongan itu memang dialu-alukanlah?
Memang sangat dialu-alukan, itu seperti saya kata tadi janganlah orang yang kaya-raya ini pula datang cakap, ‘baguslah ini, buat tempat saya’. Dia suruh buat macam itu, kita modal pun tidak cukup, kalau dia ada RM5 juta contoh, dia bagilah RM3 juta rolling. Kita buatlah sistem, dia okey RM3 juta lepas tiga tahun ini pulanglah balik ataupun kita bincanglah. Itu saya buka, ini buka semua sekali hendak cari orang yang begini tetapi susah hendak dapat.
Kita buka pada semua orang tetapi macam mana pun mesti ada perundingan. Kita tidak mahu perundingan itu kapal selam kita nak pakai hovercraft, jelas. Kena sama-sama hendak melaksanakan Islam. Kami jalan atas kaedah Islam, kerana sebab kasih sayang. Kasih sayang yang paling besar kepada Rasulullah. Itu yang kami bawa dan insya-Allah, benda ini kita akan teruskan sebagai aktiviti ataupun perhubungan kita sesama manusia.
Apa cabaran paling besar kepada GISB dalam melaksanakan perniagaan dan tempoh beberapa tahun ini?
Paling besar adalah keselarasan. Cuba tengok orang bukan Islam, gabungan mereka kuat. Sepatutnya, orang Islam macam itu. Ia jadi cabaran kita tidak boleh bangun, tidak ada keselarasan.
Pasal apa? Hukum Allah itu sendiri kita tidak selaraskan. Macam industri halal, orang bukan Islam boleh maju, hingga Malaysia ini jadi pusat untuk berkembang perniagaan disebabkan halal hub ini. Tetapi orang Melayu tidak boleh maju kerana dalam kalangan orang kampung ataupun orang Melayu ada hasad dengki. Hasad dengki inilah kita kena buang. Itu antara cabaranlah.
Yang kedua, tentang modal. Maknanya masing-masing memegang modal. Orang kaya ini tidak boleh bagi sumbangan. Orang kaya ini tidak mahu melabur, pasal tidak percaya satu sama lain.
Ramai orang Melayu kaya-raya, apa salahnya kita hendak memperjuangkan Islam? Sebab itu, setengah pemimpin katakan ini jihad. Jihad itu bukan pergi berperang, ini jihad daripada segi ekonomi. Kita hendak pulihkan balik ekonomi kita. Ekonomi memalukan? Sebab apa? Kita tidak ikut sistem Islam yang sebenarnya.
Dalam al-Quran, Allah (kata) tidak tolong orang Islam, Allah tolong orang yang bertakwa. Jadi, ini kata yang hendak dipulihkan, diperkemaskan.
Prinsip GISB sekarang ini adakah menaikkan ekonomi Islam?
Itulah maknanya. Itulah yang kita memperjuangkan. Itu cara hidup kita, mesti ada ekonomi. Tetapi mestilah ada sistem jadi kita hendak ajak berunding dengan sesiapa, itu sebenarnya.
Boleh terangkan peranan GISB dalam menaikkan ekonomi Islam supaya kita tak perlu bergantung dengan orang lain?
Sebenarnya dalam Islam ini kalau kita ikutkan setiap benda yang wajib kita ambil misalnya, kita wajib sembahyang. Hendak tutup aurat, nak cari baju wajib pula cari kain. Kain daripada mana? Daripada kapas wajib kita tanam kapas, nak tanam kapas siapa? Carilah orang yang tanam kapas itu dah wajib, itu maknanya memang itulah ibadah kita, hubungan kita dengan Allah itu wajib.
Tapi sekarang orang mahu mudah ambil saja yang dah disedia, ambil yang sudah sedia dan terpaksalah kita mencari yang halal, yang tidak halal dan sebagainya.
Kita kena tapis, sebab orang Islam tidak buat. Kaedah ini sudah ada dalam Islam. Macam saya sebut tadi mana kilang? Kenapa orang Islam tidak tanam kapas? Boleh beli, okey beli buat kilang kain sebab dah ada orang lain, buat kain.
GISB mahu buat 25 kilang selepas ini. Siapa boleh bantu silakan. Daripada segi tenaga saya mahu ambil 80 peratus tenaga di luar daripada GISB. Hanya 20 peratus tenaga daripada dalam GISB supaya mereka boleh mengatur menyusun 80 peratus tenaga luar ini.
Cara Tuan Haji cakap ini seolah-olah sekarang ini menghadapi sedikit kekangan daripada sektor kerajaan?
Apa yang kita minta itu susah dapat, orang lain dapat. Yang kedua masih ada lagi yang stigma dengan kami. Kalau ada masalah bercakaplah dengan kami. Kami minta buktikan. Macam orang kata GISB ini (hanya berurusan) sesama dia. Memanglah orang kami sedikit sahaja. Kalau sudah besar tengoklah IITTE, kita panggil semua orang luar negara pun datang.
GISB dalam negara macam ada masalah daripada segi peraturan tapi bila pergi ke luar negara, imej GISB ini adalah Islam. Macam mana penerimaan di luar negara?
Kami berjumpa, kami berunding, kami mengajak dan kami merujuk kepada kedutaan. Kedutaan sangat beri kerjasama.
Macam Tuan Haji cakap tadi bila mahu buat sawah di Malaysia ada halangan tapi bila pergi Thailand mudah sangat dapat. Apa faktor yang menyebabkan bila pergi ke luar negara itu lebih mudah?
Itupun saya susah hendak cakap. Sebab, di Malaysia apa yang kita buat macam tersekat. Kami pun tidak tahu (sebabnya). Kadang-kadang tanya itu tanya ini. Tentang halal pun susah nak proses memperbaharui halal pun susah. Bagi saya kita berunding. Ada masalah kita rundinglah. Kalau di luar negara kami jumpa orang tertentu termasuk kerajaan dan ketua kampung.
Kita berkasih sayang perundingan berlaku. Bila adanya kasih sayang, sudah ada kemesraan orang bukan Islam pun dekat dengan kami. Kami berkawan dengan bekas Timbalan Perdana Menteri Thailand sampai sekarang, malah kami bela ayam di tempat dia. Maknanya, perundingan berlaku.
Di Malaysia kami sudah buat macam-macam, mereka tidak mahu datang. Saya tidak menyalahkan mereka, salah kami pun banyak tetapi lepas ini kami mahu tulis surat, kami hendak pergi berunding. Kita pakai kaedah lain pula, mungkin kami tunggu dia tak datang ataupun kami sudah buat dia tak datang sebab ada stigma.
Sasaran bisnes dalam tempoh 10 tahun akan datang? Mungkin hendak berkembang daripada segi pendapatan?
Kita mahu berkembang di setiap 222 kawasan Parlimen. Kami akan guna kaedah ini. Kita bekerjasamalah, memang semua parti politik akan duduk di 222 kawasan. Di situlah pusat maklumat kami, orang bukan Islam ada di situ, orang susah dan sebagainya kita akan tolong melalui itu.
Penerimaan mungkin daripada orang bukan Islam terhadap GISB?
Sebenarnya sangat positif, cuma kita bukan mahu bunuh perniagaan mereka. Kita bersaing. Kita mahu melahirkan hati yang baik dan kami mahu jadi sebaik contoh. Hasil daripada contoh itu, orang masuk Islam.
Kita sudah bersaing, katalah akhirnya kita dapat kekuatan, akhirnya orang bukan Islam mungkin akan rasa tergugat dan sebagainya, dia berunding dengan kita. Hasrat kami akan buat sebanyak kilang. Ramai orang Melayu boleh pindah ke kilang yang kami buat. Sekarang orang Melayu bekerja di kilang-kilang bukan Islam.
Maknanya dalam 25 kilang yang Tuan Haji ceritakan tadi, memang akan dikembangkan ke seluruh negara? Sekarang ini ada berapa?
Sekarang ini tidak banyak, kita (ada kilang ) sos, kicap, bihun, tepung, beras semua ada. Tapi tidak besar, kecil-kecil. Kalau 25 kilang kita boleh buat sekali, kita boleh buat supermarket, tiga empat buah supermarket kita gabung dengan barang-barang Islam yang sedang dipopularkan atas nama jenama lain. Itu cita-citalah.
Adakah GISB akan mengukuhkan perniagaan di Eropah?
Cuba tengok dalam kami masih kecil, di Paris kami berniaga istilahnya meniaga pasar sahaja. Meniaga pasar, budak-budak kami di sana meniaga macam pasar pagilah. Sebab, kami modal tidak banyak tetapi perhubungan sudah ada.
Kemudian itu yang kami hendak buat ekspo ini hendak cari lagi orang yang bersimpati dan sebagainya. Kami yakin bila buat ekspo tentang Islam ini, orang akan nampak jalan Islam. Islam itu jalan selamat dengan ini akhirnya berlakulah. Ini yang kami buat silaturahim, ziarah, dakwah dan tijarah.
Bila agaknya GISB boleh mencecah dagangan RM1 bilion, sekarang ini sudah RM200 juta setahun?
Bila orang Melayu sudah bersatu hati. Kita kena usahalah, itu kata kena berunding. Okey kami tarik remaja, pulihkan. Bila sudah pulih kita bangunkanlah ekonomi, tak kan hendak bangunkan ekonomi dengan orang yang tidak pulih? Daripada segi politik misalnya, macam-macam. Bukan saya hendak marah orang politik, sudah kerja orang politik macam itu, jalanlah. Kerja kami bisnes, hendak cari jalan untuk menyatukan.
Kalau boleh kongsi sedikit aset-aset di bawah GISB. Berapa banyak nilai?
Memang kami sudah buat baru-baru ini sebab kami sudah masuk korporat. Kalau tidak salah saya aset kita ada hampir RM100 juta.
Luar negara pun ada tetapi tidak banyak. Kita ada beli aset macam di Turkiye. Di Sarajevo kita beli hotel. Di Australia 120 ekar tanah dan aset dah banyak orang mahu bagi di sana. Di Filipina banyak orang serah (aset untuk diuruskan). Yang paling penting modal insan. Insan ini kita didik betul, ini akan jadi modal.
Orang politik pun ambil juga modal insan, insan daripada segi hati, daripada segi ketaatan, kejujuran ataupun mengikut betul sistem disiplin Islam. Ataupun istilahnya ‘takut Allah, rindu Rasul’. Itu istilah yang kami gunakanlah.
5,600 warga GISB ini semua di Malaysia atau campur sekali luar negara?
Campur sekali luar negara, remajanya ada 3,000 lebih, lelaki dan perempuan. Ini tenaga yang kita sedang latih dengan latihan kemahiran. Di luar negara itu hampir 70 peratus mereka, mana yang tiada visa itu, habis visa tukar negara lain. Latihanlah itu, bukan macam latihan.
Bagaimana GISB dapat meneroka negara-negara bukan Islam seperti Jerman dan sebagainya?
Kita gunakan orang Islam dulu, orang Islam orang meniaga dan kita guna orang Islam yang ada dalam kerajaan. Ada yang jadi senator di selatan Thailand, ada yang masuk dalam Parlimen Filipina. Begitu juga dengan Rusia kita gunakan IAIB (International Association of Islamic Business) memang sangat berpengaruh.
IAIB juga ada pengaruh di Mongolia yang bukan negara Islam. Kerajaan Thailand sangat menyokong GISB ini khususnya di selatan Thailand, boleh (membantu) membawa kedamaian. Sejak GISB buat projek setahun lebih di selatan Thailand, ramai pelancong dari Malaysia turut masuk. Sebab mereka melihat ia aman tiada masalah.
Berkenaan dengan stigma, GISB dikatakan berniaga dalam kalangan kelompok. Jadi, apa yang telah dilakukan kepada ekonomi dan masyarakat?
Kalau daripada segi restoran sampai peringkat kita buat hari Jumaat ataupun Isnin, makan sebanyaknya bayar sesuka hati, sampai di Perth. Di sini setiap Jumaat ataupun Ahad, makan sebanyaknya bayar ikut suka. Memang orang putih pun terkejut.
Hari itulah paling banyak dapat duit, jualan. Ini antara kebajikan, okey dalam masa Covid-19 kita buat dapur prihatin dan kita bagi makan orang yang susah dan sebagainya. Lebih daripada RM3 juta kita belanjakan duit. Tiada orang buat berita, jadi orang pun tidak tahu.
Produk Ikhwan ini boleh dikatakan menyeluruh, tetapi isu melibatkan barangan halal dikeluarkan orang Islam adalah pengguna susah hendak dapatkan. Mungkin ada masalah dihadapi untuk dipasarkan?
Kilang kita kecil lagi. Orang kaya kita pula kata ‘buatlah di tempat saya’. Tetapi duit (modal) tidak bagi. Kami ada banyak benda yang perlu ditanggung, macam aiskrim memang laku. Itupun kilang kampung, kilang belakang rumah istilahnya macam itulah.
Apakah bidang-bidang yang masih kurang diceburi orang Islam?
Banyak, termasuk import eksport pun kita kena. Hampir semua bidang macam ini dikuasai orang bukan Islam. Sekarang kami sedang mencari jalan untuk terlibat dalam import eksport. Katalah, kita import daging halal dari Australia. Banyak kartel daging itu bercampur dengan daging lain dan sebagainya.
Kami ini kecil. Kami cari syarikat-syarikat besar, kami kaji apa sebenarnya yang boleh kita bagi petunjuk. Baru-baru ini kami jumpa bahagian pembungkusan gula. Yang buat pembungkusan orang Islam, tetapi yang mengedar bukan Islam. Mereka kawal turun naik harga. Begitu juga turun naik harga beras dan tepung, mereka kawal. Ini kita cuba masuk.
Kita sudah ada hubungan dengan Turkiye. Kita juga ada di Rusia untuk import tepung. Penglibatan kami ke aras mahu jadi pengimport atas nama Islam. Pada peringkat awal kita bersaing dulu dengan bukan Islam. Kami ini belum besar lagi, tetapi ke arah macam itu. Begitu juga dengan bidang lain kami sedang kaji lagi.
Punca utama pendapatan GISB, pendanaan daripada mana?
Dalam kalangan kitalah, perniagaan kita. Tidak ada ambil duit orang luar negara. Sebab itu, setengah kata GISB kaya. Tidak, kalau kami kaya kami mahu buat pusat pemulihan orang miskin.
Kita buat kompleks 30 ke 40 ekar. Ada masjid, asrama hendak latih orang miskin ini yang duduk di Kuala Lumpur, duduk di bandar-bandar dan penyumbang-penyumbang maksiat. Dia sudahlah miskin dengan Tuhan maknanya sudah banyak langgar.
Ampun maaf ini saya cakap secara umum bukan mahu tuduh sesiapa. Rumah dua bilik duduk suami isteri, anak dah besar, mana hendak duduk? Akhirnya boleh berlaku sumbang mahram. tempat tidur tidak ada. Anak-anak turun flat utuk main-main, berlaku pula pergaulan bebas.
Jadi, penyumbang-penyumbang maksiat kebanyakannya adalah dalam kalangan orang miskin. Tidak dididik dan tidak terdidik.Kalau GISB sudah kaya, kami mahu kumpul semua orang miskin ini disistemkan hidup mereka atas nama Tuhan. Atur sembahyangnya, atur sekolah iaitu pendidikan anak-anak mereka.
Dan tenaga ini, kita gunakan macam pusat latihan jadinya. Sebab, kami ini mahu bantu semua orang. Okey ini orang miskin, orang yang papa yang di kampung pula lain caranya. Ini semua perancangan kita sudah ada kalau GISB sudah kaya. – Mingguan Malaysia
Ulasan
Catat Ulasan