Kerajaan perlu serah 107 hektar tanah di Jalan Duta



Kerajaan perlu serah 107 hektar tanah di Jalan Duta
MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur semalam mengarahkan kerajaan menyerahkan tanah seluas 106.542 hektar di Jalan Tuanku Abdul Halim termasuk yang menempatkan Kompleks Kerajaan Jalan Duta kepada pemilik asalnya, Semantan Estate (1952) Sdn. Bhd..
Oleh SUWARNI MOKHTAR
8 Ogos 2024, 7:50 am

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam, mengarahkan kerajaan untuk menye­rahkan tanah seluas 106.542 hektar di Jalan Duta (kini dikenali sebagai Jalan Tuanku Abdul Halim) kepada Semantan Estate (1952) Sdn. Bhd. yang merupakan pemilik asal lokasi itu.

Tanah yang dikenali sebagai Duta Enclave itu meliputi sebahagian Masjid Wilayah Persekutuan, Kompleks Kerajaan Jalan Duta yang turut menempatkan Lembaga Hasil Dalam Negeri, Stadium Hoki Jalan Duta dan Institut Integriti Malaysia.


Selain itu, Hakim Datuk Ahamad Shahrir Mohd. Salleh memerintahkan agar penye­ra­­han itu dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan bermula semalam, tanpa sebarang hala­ngan dan liabiliti dan mendaftarkan Semantan sebagai tuan punya tanah terbabit.

Perintah tersebut dikeluarkan mahkamah selepas menolak permohonan kerajaan yang diwakili Peguam-Peguam Kanan Persekutuan, Mohammad Al-Saifi Hashim dan Shamsul Bolhassan untuk menggantung prosiding itu selama tiga bulan bagi membolehkan perbinca­ngan mengenai ganti rugi tanah tersebut dimuktamadkan.

Mahkamah turut memerintahkan kerajaan membayar kos sebanyak RM50,000.

Turut hadir pada prosiding semalam ialah peguam-peguam, Janet Chai Pei Ying, Ira Biswas dan Alexie Ng mewakili Semantan.


Semantan memulakan tindakan undang-undang terhadap kerajaan pada 1960 berhubung pampasan RM1.32 juta yang diperoleh hasil daripada pengambilan tanah tersebut untuk dibangunkan bagi penempatan diplomat dan duta.

ADVERTISING


Sekitar 2009, Pesuruhjaya Kehakiman, Zura Yahya (ketika itu) memutuskan bahawa Semantan kekal mempunyai kepentingan terhadap tanah tersebut yang didakwa telah diambil alih oleh kerajaan dengan cara yang salah dan menceroboh tanah berkenaan.

Kerajaan merayu terhadap keputusan tersebut namun ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 18 Mei 2012. Pada 21 November 2012, Mahkamah Persekutuan mengekal keputusan mahkamah terdahulu yang memutuskan kerajaan menceroboh tanah tersebut apabila mengambil alih tanah tersebut melalui Enakmen Pengambilan Tanah.

Keputusan semalam bagaimanapun tidak membabitkan hasil perantaraan (mesne profit) yang dituntut oleh Semantan daripada kerajaan.

Hasil perantaraan ialah sewa atau keuntungan yang diperoleh oleh penceroboh sewaktu menduduki sesuatu premis atau tanah yang mana perlu dibayar kepada tuan punya sebagai ganti rugi atas tindakan yang telah dilakukan.

Semantan menganggarkan hasil perantaraan yang wajar diterima bagi tempoh 1957 hingga 2021 adalah antara RM3.1 bilion dan RM13.242 bilion beserta faedah.

Bagaimanapun, kerajaan melalui penilaian yang dibuat oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta mempertikaikan jumlah tersebut dan menyatakan Semantan hanya layak menerima ganti rugi sebanyak RM290 juta.

Isu mengenai hasil perantaraan itu masih belum diputuskan. – UTUSAN

Ulasan