Konflik semakin tegang, Iran dijangka serang Israel minggu ini



Konflik semakin tegang, Iran dijangka serang Israel minggu ini
AMERIKA Syarikat mengerakkan kapal USS Abraham Lincoln ke Asia Barat sebagai langkah berjaga-jaga konflik Asia Barat.-AFP
Oleh SHAMSIAH ZULKAFLI
13 Ogos 2024, 8:35 am

TEHERAN: Konflik di Asia Barat semakin tegang setelah Iran dikesan mahu melancarkan serangan terhadap Israel dalam masa terdekat sebagai tindak balas terhadap pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh di Teheran, awal bulan ini.

Perkara itu berdasarkan sumber risikan Israel yang percaya bahawa Iran telah memutuskan untuk melancarkan serangan terhadap negara itu dalam masa beberapa hari lagi, memetik laporan Alarabiya News.

Menurut wartawan agensi berita atas talian Axios, Barak Ravid yang memetik dua sumber, Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant dilapor memberitahu Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Lloyd Austin yang Iran telah melakukan persiapan untuk melakukan serangan berskala besar terhadap Tel Aviv.

Ravid menambah, bahawa serangan tersebut mungkin dilancarkan sebelum Khamis ini, tarikh yang ditetapkan oleh AS, Mesir, dan Qatar untuk rundingan gencatan senjata baharu Gaza.

Israel mengesahkan akan menyertai rundingan tersebut, sementara Hamas masih belum memberikan respons secara rasmi.

Terbaharu, CNN melaporkan Hezbullah melancarkan beberapa serangan roket ke arah utara Israel pada malam Ahad, ketika tentera Israel terus berjaga-jaga terhadap kemungkinan tindakan balas daripada Iran dan sekutu berikutan pembunuhan seorang pemimpin tertinggi Hamas bulan lalu.

Tembakan roket ke arah Israel oleh Hezbullah yang disokong Iran di selatan Lubnan telah menjadi kejadian hampir setiap hari sejak tercetusnya perang di Gaza, ketika kebimbangan semakin meningkat mengenai kemungkinan serangan Iran yang boleh meningkat menjadi konflik serantau yang lebih luas.

Dalam pada itu, Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin mengarahkan kapal selam peluru berpandu berpandu ke Asia Barat dan mahu kapal induk USS Abraham Lincoln untuk belayar lebih cepat ke kawasan itu, kata Jabatan Pertahanan Ahad.

Konflik di Asia Barat semakin memuncak susulan pembunuhan Ismail dan pemimpin kanan Hezbollah, Fuad Shukr di Beirut pada bulan lalu.

Iran dan proksinya di rantau tersebut termasuk Hezbollah di Lebanon menuduh Israel sebagai dalang serangan berkenaan dan berikrar untuk membalas dendam.

Israel mengesahkan tanggungjawab membunuh Fuad, namun tidak mengakui penglibatan dalam kematian Ismail.

Malah kenyataan yang dibuat sejurus selepas kematian Ismail, Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Ayatollah Khamenei menegaskan pihaknya bertanggungjawab membalas dendam atas kematian pemimpin Hamas tersebut, memandangkan berlaku di wilayahnya, Teheran. – AGENSI

Ulasan