PAU 2024: Dekati Gen Z, senjata utama PRU-16
MOHAMAD Hasan melambai kepada perwakilan ketika hadir merasmikan Perhimpunan Agung, Wanita dan Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, malam ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Oleh ASLINDA NASIR dan AIMAN ALI
21 Ogos 2024, 9:30 pm
KUALA LUMPUR : Generasi Z (Gen Z) disifatkan sebagai ‘senjata utama’ yang harus didekati UMNO bagi membantu parti itu dalam kempennya menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau melihat generasi tersebut boleh membawa revolusi terhadap parti itu memandangkan sekarang adalah ‘masa mereka’ sekali gus kelompok ini harus ‘ditawan’ daripada sekarang.
“Saya rasa, UMNO sangat memerlukan bantuan kelompok profesional seperti perunding media sosial dan pemasaran. Malah, tiba masanya kita menggunakan Gen Z sebagai pemacu utama kempen kita.
“Ini kan zaman mereka. Apa salahnya kita memberikan ruang dan peluang untuk mereka mengurus kempen kita untuk generasi mereka,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung, Wanita dan Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, malam ini.
Menurut Mohamad, Gen Z tidak mempunyai ‘ikatan sentimental’ dengan UMNO dan membesar ketika parti itu tidak lagi dominan dalam arena politik negara.
Maka sebab itu, kata beliau, pendekatan UMNO pada kali ini perlu lebih santai dan tidak formal bagi membolehkan masyarakat mudah mendekatinya.
Kata beliau, jika generasi ini tidak diuruskan dengan baik, UMNO dikatakan bakal berdepan laluan pilihan raya yang lebih sukar.
“Mereka tidak berparti dan hanya menilai berdasarkan apa yang mereka peroleh, baca dan tatap di pelbagai platform media sosial.
“Mereka menewaskan pelbagai dasar kerajaan dengan hanya serangan yang dipaparkan dalam media sosial. Itulah realitinya, bahawa ruang demokrasi sekarang ini adalah di persada maya,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohamad menjelaskan bahawa golongan belia inginkan kepastian dan keterjaminan mengenai masa depan mereka.
“Mereka inginkan gaji bermaruah dan peluang pekerjaan yang sesuai supaya kehidupan mereka tidak hanya bergantung kepada subsidi dan bantuan tunai langsung.
“Sekarang bukan lagi pengangguran yang menjadi isu, tetapi pekerjaan yang wujud tidak sepadan dengan kemahiran yang mereka miliki,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau menyeru UMNO menubuhkan ‘Team Sukses UMNO’ dengan kadar segera bertujuan menjayakan operasi Bringing Back UMNO.
“Fokus utama pasukan ini ialah melaksanakan pelbagai operasi elektoral bagi UMNO. Mengenal pasti pengundi, merangka manifesto dan menyemak mereka yang berpotensi jadi calon boleh menang.
” Yang paling utama adalah mengemudi kempen di persada media sosial. Ia mesti diuruskan seperti sebuah entiti perniagaan kerana kita ingin pengundi UMNO tertarik dan membeli semula jenama UMNO ini,” katanya. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan