Pembunuhan Ismail Haniyeh campak dunia ke zaman gelap
August 1, 2024
Share
Pemergian Ismail Haniyeh diratapi di seluruh dunia.
KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menzahirkan kesedihan terhadap segala bentuk kekejaman, penindasan, pembunuhan, ketidakadilan serta kehancuran sistem tata kelola dunia di dalam isu pembunuhan beramai-ramai di Palestin.
Dalam kenyataannya, UMMAH berkata, pembunuhan Ketua Biro Hamas Ismail Haniyeh semalam sudah jelas telah mencampakkan dunia ini ke zaman gelap.
“Ini menggambarkan dengan jelas dunia kini dikuasai negara-negara pembuli yang mengamalkan sistem keadilan binatang iaitu yang kuat membuli dan membunuh yang lemah,” katanya.
Menurut pertubuhan tersebut, segala sistem tatakelola dunia di bawah tatanan dunia baru yang dipaksakan ke atas negara-negara lain pada masa ini sudah menjadi lumpuh diludah perbuatan dan perlakuan orang gasar (barbarian) rejim Apartheid Zionis.
Tambah mereka, banyak negara Islam yang dilihat lesu ketika dunia sedang bangkit dalam mempertahankan hak-hak kemanusiaan rakyat Palestin.
“Ketika seluruh dunia bangkit mempertahankan hak-hak kemanusiaan rakyat.
Palestin, negara-negara Islam, kecuali yang sedikit, dilihat lesu membangkitkan protes serta tindakan yang boleh menghasilkan perubahan dunia kepada permasalahan ini.
“Pemimpin-pemimpin dunia Islam dilihat bersikap bagai melepaskan batuk di tangga. Jika ada pun yang bersuara, ia tidak lepas daripada kerongkongan peti suara kerana tidak disusuli dengan tindakan dan perlakuan yang tegas dan betul.
“Pemimpin-pemimpin negara Islam harus digegar dan disedarkan dari lamunan bahawa slogan-slogan Pseudo-Solidariti mereka bersama Palestin ini, disedari seluruh umat Islam seluruh dunia, hanyalah sekadar aksi maha karya drama perhubungan awam (PR) dalam isu Palestin ini.
“Maka sudah tiba masanya, umat Islam mengenepikan serta menguruskan perbezaan pendapat dikalangan mereka untuk mendepani pembulian dan candu-candu PR Pseudo pro-Palestin pemimpin-pemimpin mereka,” jelas mereka.
Sehubungan itu, UMMAH menggesa umat Islam di seluruh dunia supaya membebaskan diri dan negara ini dari cengkaman boneka pembuli rejim Zionis sebelum ingin memerdekakan negara Palestin.
“Maka pada Jumaat ini (2 Ogos), kami menyahut seruan solidariti untuk bersama-sama seluruh jemaah umat Islam seluruh dunia untuk bersama-sama membaca Qunut Nazilah dan meneruskan tindakan-tindakan yang boleh menggerakkan perubahan dalam isu umat Islam Palestin ini.
“Jadi mari kita sama-sama berdoa di Masjid Negara iaitu selepas Solat Jumaat ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/8/2024
Ulasan
Catat Ulasan