Politik ‘lapuk’ tidak sesuai tarik minat Gen Z
ZAMBRY ABD. KADIR
Oleh Aslinda Nasir
28 Ogos 2024, 7:40 am
MUKADIMAH
UMNO sudah mengenal pasti cabaran baharu dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), yang bakal ditangani menerusi idea yang lebih segar.
Dalam keadaan ini, parti keramat Melayu itu tidak lagi boleh selesa dengan cara ‘lapuk’ atau ‘basi’ sebaliknya merangka strategi baharu bagi memikat hati generasi muda yang lebih dikenali sebagai Generasi Z (Gen Z).
Bagaimanapun UMNO masih perlu berdiri teguh dalam mengekalkan nilai politik dan prinsip perjuangan yang sentiasa meletakkan Melayu dan Islam sebagai keutamaan. Sementara Gen Z pula akan memainkan peranan dalam menentukan sama ada sesebuah parti itu relevan atau sebaliknya.
Ikuti temu bual Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, DATUK SERI DR. ZAMBRY ABD. KADIR bersama wartawan Utusan Malaysia, ASLINDA NASIR serta dibantu jurugambar, FARIZ RUSADIO dalam mendepani cabaran untuk kekal relevan.
PERLU KEKAL RELEVAN
Kita mahu UMNO sentiasa berada dalam zamannya dan juga relevan dengan perkembangan masa kini serta menggunakan pendekatan-pendekatan kreatif baharu bagi memenuhi hasrat dan kehendak generasi baharu.
Sebagai contoh, dua ke tiga hari sebelum persidangan (Perhimpunan Agung UMNO, PAU) diadakan, kita ada UMNOSiswa yang mengadakan pertemuan menggunakan (platform) ala PAU. Ada wakil dari setiap kawasan berbahas dari pagi sampai ke petang. Ini pertama kali diadakan sedemikian rupa.
Begitu juga Ketua Penerangan, Datuk Seri Azalina othman Said mengadakan Pen-Talk ala Ted-talk yang selaras dengan dengan pendekatan baharu parti iaitu setiap daripada kita yang berada dalam kerajaan ini khususnya dalam kalangan menteri dan juga Menteri Besar. Kita menyampaikan kad skor, cerita kepada ahli-ahli parti apa yang telah dilaksanakan. Ia merupakan satu pendekatan kreatif yang dapat membuka perspektif, cara bergerak dalam dan dalam cabaran baharu pada hari ini dengan menggunakan kaedah yang lebih kreatif lagi.
GENERASI MUDA
Tidak dapat dinafikan kalau lihat dari segi jumlah peratusan pengundi kita, mereka adalah berumur dari 20 ke 18 dan tumpuan perlu diberikan kepada generasi baharu. Kesedaran politik generasi ini memberikan undian yang tinggi dan kalau mahu ke depan, kita perlu buat persiapan ini bersama generasi Z. Sudah ada generasi alpha dengan pendekatan yang baharu dan politik telefon bimbit, iaitu segalanya ada di dalam telefon bimbit. Pendekatan di media sosial yang efektif, komunikasi yang bukan lagi berdasarkan cara lama, tetapi lebih kepada cara baharu.
POLITIK TELEFON BIMBIT
Dua perkara asas dalam dunia politik baharu ini adalah inovatif idea dan kreativiti. Itu yang disebutkan presiden parti iaitu tentang bagaimana perlunya kesungguhan untuk menangkap imaginasi rakyat supaya memilih satu parti. Ia akan membuktikan sama ada sebuah parti itu masih lagi relevan atau tidak.
Dalam konferensi masa kini untuk generasi sekarang dan masa hadapan, itulah antara tugas yang agak besar untuk kita dan ia memerlukan lebih ramai anak-anak muda yang penuh dengan kreativiti dalam menghadapi zaman politik baharu ini. Telefon bimbit yang akan menentukan pilihan rakyat terhadap sesuatu parti, jadi apa yang saya sebut tentang kreativiti dan inovasi adalah kandungan yang diisi.
Kadang-kadang orang bertanya kenapa kandungan TikTok hanya dua minit, Youtube pula tiga minit, apabila ‘dipotong-potong’ dan ‘dicantum’ menjadi sebuah kandungan. Ia akhirnya membentuk persepsi yang menyebabkan seseorang yang tidak bermasalah, tetapi akhirnya dia menganggap orang itu bersalah.
Satu lagi cabaran baharu adalah politik AI (kecerdasan buatan). Ia apabila seseorang menggunakan cara penyampaian dalam pelbagai bahasa. Mimik mulutnya sama, tidak berubah dan ini saya merasakan menjadi cabaran baharu dalam pilihan raya akan datang.
Dan yang paling penting adalah bagaimana kita meletakkan nilai yang seterusnya dalam politik. Ini juga akan menjadi cabaran buat kita kerana nilai dalam politik itu seolah-olah sudah tiada. Maksudnya ia seperti percuma untuk semua, sama seperti apa yang presiden kata serta Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan tentang politik toksik.
POLITIK NILAI
Ia masih ada dalam diri UMNO dan itu adalah asas yang ada dalam parti kita. Dalam bahasa tingginya kita panggil sine qua non, maksudnya aspek yang sangat penting dan diperlukan. Itu adalah asas kepada pembinaan jati diri atau falsafah yang meletakkan perjuangan kerana jika sesebuah parti tiada falsafah perjuangannya, maka ia tidak memberi apa-apa makna.
Pada saya, cabaran untuk UMNO adalah meletakkan bangsa Melayu dan Islam di hadapan, di samping kita juga tidak menafikan hak-hak bangsa lain untuk berada dalam negara kita. Sekiranya perkara itu dapat ditangani dengan baik, maka kita dapat membawa UMNO kembali kepada landasan perjuangannya.
Dari satu perspektif, kita perlu menerima hakikat mana-mana negara sekalipun, ia berteraskan kepada jumlah dan penduduk majoriti. Dalam konteks di Malaysia, Melayu dan bumiputera adalah majoritinya dan tentunya asas-asas itu tidak boleh dilupakan ataupun kita lupa pada asas sejarahnya.
Ini semua perlu diambil kira, tetapi bagaimana mahu kembangkan ia dan memaklumkan perkara itu kepada generasi muda kerana kita berhadapan dengan parti politik yang rasis dan sudah tidak kisah dengan politik hari ini.
MENUJU PRU16
Saya tidak fikir soal masa, sebab kalau ditanya kita cukup masa atau tidak, maka kita akan rasa tidak cukup, tetapi kita perlu fikir bila kita mahu bermula untuk berbincang. Jadi kalau boleh, kita perlu bergerak dengan kadar yang segera. PAU kali ini merupakan satu kebangkitan untuk mengembalikan ahli UMNO dan yang berada di luar sana supaya melihat kepada kebenaran dan kekuatan parti UMNO.
Contohnya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Nenggiri, mereka menunjukkan tahap persiapan yang baik dan disiplin dalam kalangan ahli, mereka tidak lagi menjadi ‘politik pelancong’ yang datang sekejap-sekejap. Kali ini, mereka ada kesungguhan untuk memenangkan UMNO, melaksanakan tugas dan tumpuan dengan begitu baik sekali.
Kita mengakui dengan cara ini, kita merasakan bahawa biarlah kemenangan di Nenggiri ini menjadi satu permulaan dengan satu semangat baharu bahawa UMNO boleh berdepan dengan cabaran baharu dan akhirnya memberikan kemenangan kepada kita.-UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan