PRK Nenggiri: Parti PN lawan Kerajaan Pusat
August 19, 2024
KLUANG: PRK DUN Nenggiri yang berlangsung baru-baru ini menyaksikan pertembungan antara parti Perikatan Nasional berlawan dengan Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN).
Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, ini kerana Barisan Nasional telah menggunakan sepenuhnya jentera Kerajaan Persekutuan untuk memenangi PRK itu.
Menceritakan pengalamannya sewaktu berkempen di situ, beliau ditugaskan untuk masuk ke kampung Orang Asal yang perjalanan masuk ke situ melalui jalan darat memakan masa sehingga tiga jam.
Malah, menurut beliau, ada kawasan perkampungan Orang Asal yang mengambil masa lebih dari lapan jam untuk sampai dengan menggunakan jalan darat.
“Bila kita masuk di kampung Orang Asal kita melihat bendera-bendera daripada BN bukan sahaja dinaikkan di kawasan rumah Orang Asal tetapi mereka menguasai semua premis-premis yang dipunyai oleh kerajaan.
“Dia naik bendera BN, dia tampal, dia tutup semua (logo jabatan kerajaan). Kalau kenderaan pacuan empat roda mereka, mereka tutup sticker, sudah disiarkan dalam medsos. Bangunan-bangunan kerajaan mereka tutup (papan tanda) tak nak dilihat sebagai bangunan kerajaan,” ujarnya.
Kerana itu kata beliau, tidak mengejutkan apabila mereka menguasai sebahagian besar undi di perkampungan-perkampungan Orang Asal dan Perikatan Nasional kalah teruk di kawasan-kawasan itu.
“Inilah suasana yang berlaku apabila kita melihat walaupun parti-parti dalam kerajaan PH-BN mereka sebut bahawa mereka nak menegakkan negara yang tidak menyalahgunakan kuasa, tiba-tiba mereka masuk kampung Orang Asal naik apa tuan-tuan? Naik helikopter,” ujarnya.
Tambah beliau, ia berbeza dengan kesukaran yang dihadapi oleh jentera Perikatan Nasional di mana terpaksa menggunakan jalan darat serta kesukaran dan memakan masa.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap dalam ‘Ceramah Mega Selamatkan Malaysia PERIKATAN NASIONAL Negeri Johor’ yang berlangsung di Pejabat BERSATU Bahagian Kluang, di sini, malam kelmarin.
Tambahnya, walaupun Perikatan Nasional tewas di Nenggiri, namun ia hakikatnya sedikit pun tidak mematahkan semangat dirinya dan semua jentera parti itu untuk terus berjuang.
“Sebab saya nak sebut kepada semua bahawa hari ini kita boleh lihat penyokong-penyokong yang hadir daripada Perikatan Nasional sama ada daripada Kluang ataupun kawasan-kawasan berdekatan kita hadir malam ini.
“Kalau kita tidak ada semangat perjuangan, kita tahu hari ini kita tewas di Nenggiri, saya yakin dan percaya kalau kita tidak kuat semangat kita tidak akan hadir malam ini,” tegasnya.
Malah katanya, kehadiran pimpinan dan penyokong Perikatan Nasional pada ceramah tersebut adalah sebagai ‘signal’ mereka kepada Barisan Nasional bahawa tidak mudah untuk parti komponen itu menang di PRK DUN Mahkota.
“Jangan ingat mereka menang besar di Nenggiri mereka boleh mudah untuk berlawan dengan kita. Kita pada hari ini menyebut bahawa insya-Allah kita akan bekerja bersungguh-sungguh. Perikatan Nasional kita akan bekerja sehinggalah kita menang insya-Allah dalam PRK DUN Mahkota,” katanya.
Turut berucap di dalam majlis tersebut ialah Ketua Penerangan BERSATU Wilayah Persekutuan, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dan Pengerusi Perikatan Nasional Johor, Dato’ Dr Shahruddin Jamal serta Pesuruhjaya PAS Negeri Johor, Ustaz Abdullah Husin.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah menetapkan bahawa penamaan calon akan dijalankan pada 14 September sementara tarikh membuang undi pula adalah pada 28 September.
DUN Mahkota kosong setelah penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lepas sewaktu dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom akibat pendarahan dalaman.
Allahyarham memenangi kerusi itu PRN Johor yang diadakan pada Mac 2022 dengan mendapat 16,611 undi dan mencatatkan majoriti sebanyak 5,166 menewaskan calon Perikatan Nasional dan PH. – HARAKAHDAILY 19/8/2024
Ulasan
Catat Ulasan