Rizwadi berani galas tanggungjawab calon di Nenggiri


Rizwadi berani galas tanggungjawab calon di Nenggiri
August 18, 2024

KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Afnan Hamimi Taib Azamudden merakam ucapan tahniah dan penghargaan kepada calon PAS mewakili Perikatan Nasional (PN), Mohd Rizwadi Ismail yang berani menggalas tanggungjawab sebagai calon.

Afnan berkata, Rizwadi sangat berani menggalas tanggungjawab sebagai calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada Pilihan Raya Kecil (PRK) semalam.

“Sekalipun keputusan tidak berpihak kepada kita, namun dua minggu tempoh berkempen memperlihatkan ketokohan beliau dalam menjadi seorang pemimpin.

“Sudah pasti ada hikmah dan ganjaran menanti atas keikhlasan dan pengorbanan ini walaupun bukan sebagai wakil rakyat,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Selain itu, Afnan turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh jentera komponen PN khususnya Pemuda komited melaksanakan naratif dan strategi tanpa gagal kerana bertungkus-lumus bekerja dari seawal pengumuman kekosongan kerusi sehinggalah kini.

“Tidak lupa juga kepada pimpinan pusat dan negeri yang turun membantu dan bersama di lapangan untuk menjayakan setiap agenda parti sepanjang fasa pilihan raya,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengucapkan tahniah dan takziah kepada calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani atau Awie ke atas mandat yang diberikan di kerusi DUN Nenggiri.

“Selamat menunaikan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dan didoakan semoga diberi kekuatan dalam melunaskan kebajikan warga Nenggiri dengan sebaiknya.

“Semoga kehadiran Yang Berhormat Saudara, Mohd Azmawi dapat memberikan peranan semak imbang yang baik buat kerajaan PN di Kelantan,” katanya.

Justeru, beliau berkata, keputusan PRK Nenggiri bukanlah suatu pengakhiran namun merupakan suatu titik penilaian dalam perjuangan.

“Seluruh pimpinan dan jentera perlu bermuhasabah, mencari kelemahan untuk diperbaiki, menilai kekuatan untuk dijaga, serta menyusun strategi baru untuk pertempuran seterusnya.

“Saya yakin tiada lagi alasan untuk kerajaan tidak mengisytiharkan kekosongan enam kerusi pengkhianat di Dewan Rakyat dan mempertandingkan calon Barisan Nasional (BN) di kesemua kerusi tersebut.

“Itupun kalau Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap Pengerusi BN berani mendesak Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. ‘Bola’ ada di tangan anda, Dato’ Seri,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/8/2024

Ulasan