Rusuhan anti Islam United Kingdom bertambah buruk
ANGGOTA polis berhadapan kumpulan anti pendatang di Bristol, UK.- AFP
Oleh ATHIRAH HUDA ZALHE
6 Ogos 2024, 7:30 am
LONDON: United Kingdom (UK) berdepan gelombang rusuhan terburuk dalam tempoh 13 tahun selepas pelampau sayap kanan menyasarkan pencari suaka dan komuniti etnik minoriti termasuk beragama Islam.
Segalanya bermula gara-gara penyebaran maklumat palsu anti-Muslim di media sosial dan mencetuskan keganasan serta Islamofobia susulan kejadian tikaman di Southport, utara England pada 29 Julai lalu.
Sebelum itu, remaja, Axel Rudakubana, 17, didakwa atas membunuh tiga gadis dan mencederakan 10 yang lain.
Laporan palsu tersebarkan di media sosial ekstremis kononnya mendakwa suspek serangan adalah seorang Muslim dan pendatang yang kemudian diulang dengan penuh kebencian oleh kumpulan perusuh.
Menurut polis, rusuhan itu berkaitan keganasan ke atas penyokong dan pertubuhan berkaitan Liga Pertahanan Inggeris, sebuah pertubuhan anti-Islam yang ditubuhkan 15 tahun lalu yang penyokongnya dikaitkan dengan hooliganisme bola sepak.
Kumpulan pemprotes menyasarkan masjid di Southport dan di bandar Sunderland di timur laut Inggeris, mendorong ratusan pusat Islam meningkatkan keselamatan atas kebimbangan terhadap keselamatan jemaahnya.
Kejadian itu menyebabkan Perdana Menteri UK, Keir Starmer terpaksa mengadakan mesyuarat tergempar di Downing Street semalam bagi membincangkan langkah ekoran susulan rusuhan anti pendatang di negara itu yang semakin buruk.
Sejak kelmarin, kira-kira 150 orang ditangkap selepas pertempuran tercetus di perhimpunan sayap kanan di pelbagai tempat termasuk Liverpool, Manchester, Bristol, Blackpool, Hull dan Belfast di Ireland Utara.
Keganasan itu adalah yang terburuk di England sejak 2011, ketika rusuhan meluas berlaku susulan pembunuhan seorang lelaki berketurunan campuran oleh polis di utara London.
Ia sekali gus menjadi cabaran terbesar buat Starmer, yang baharu sahaja dipilih sebulan lalu setelah Parti Buruh meraih kemenangan menewaskan Konservatif.
Beliau dalam perutusan khas kelmarin mengutuk serangan ke atas sebuah hotel yang menempatkan pencari suaka di Rotherham dan berjanji mereka yang terlibat dalam pergolakan itu bakal dikenakan tindakan tegas.
Berikut adalah kronologi mengenai protes keganasan di UK:
29 JULAI 2024
Tiga kanak-kanak maut ditikam sehingga mati oleh seorang lelaki dalam satu acara bertemakan Taylor Swift di Southport, UK.
Kejadian itu melibatkan kanak-kanak perempuan berusia enam, tujuh dan sembilan tahun, manakala lapan yang lain cedera.
30 JULAI 2024
Rusuhan tercetus di Southport, dengan 300 penunjuk perasaan termasuk ahli Liga Pertahanan Inggeris – kumpulan sayap kanan anti-Islam, menyasarkan sebuah masjid di bandar itu.
Kumpulan pelampau itu turut menyerang polis, membakar kereta, memusnahkan harta benda dan menyebabkan sekurang-kurangnya 50 pegawai cedera. Susulan kekacauan itu, polis Merseyside menahan empat individu.
31 JULAI 2024
Kekacauan merebak ke Newton Health, di utara Manchester. Perusuh semakin bertindak ganas menyasarkan hotel Holiday Inn, yang dipercayai menempatkan pencari suaka, dengan membaling objek ke arah polis dan menyerang seorang pemandu bas.
Di Hartlepool, lebih 100 orang bertempur dengan pasukan polis dengan sebahagian mereka melaungkan kata-kata kesat anti-Islam.
Adegan ganas juga berlaku di luar Downing Street di London, apabila perusuh menyerang polis dan membaling suar, menyebabkan lebih 100 tangkapan dibuat.
Manakala, kira-kira 200 pelampau berkumpul di luar sebuah hotel di Aldershot yang menempatkan pencari suaka.
2 0G0S 2024
Sunderland menyaksikan rusuhan berpanjangan di pusat bandarnya. Sebuah kereta dan Biro Nasihat Rakyat turut dibakar, menyebabkan beberapa anggota polis cedera.
3 OGOS 2024
Perhimpunan sayap kanan merebak ke lebih banyak bandar di seluruh England dan Belfast, Ireland Utara, mengakibatkan lebih 100 tangkapan.
4 OGOS 2024
Keganasan terus meningkat. Di bandar utara Rotherham, ratusan penunjuk perasaan sayap kanan merosakkan hotel Holiday Inn Express yang menempatkan pencari suaka.
Perusuh turut bertindak membaling batu ke arah polis, memecahkan tingkap hotel dan membakar tong sampah.
Sekurang-kurangnya 10 pegawai polis cedera, termasuk seorang dilaporkan pengsan.
Penolong Ketua Polis South Yorkshire, Lindsey Butterfield mengecam tindakan perusuh serta pihak yang menyebarkan maklumat palsu dalam talian.
Ulasan
Catat Ulasan