Banjir: Misi Khidmat Malaysia Terengganu ke Kedah


Banjir: Misi Khidmat Malaysia Terengganu ke Kedah
September 27, 2024

POKOK SENA: Pertubuhan Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) mengalu-alukan sebarang bentuk sumbangan dan bantuan dari orang ramai, badan bukan kerajaan (NGO), parti politik dan lain-lain untuk membantu mangsa banjir.

Pengarah Khidmat Malaysia Kedah, Ustaz Nurul Amin Hamid berkata, sumbangan diterima akan diagihkan kepada mangsa banjir di daerah terlibat di negeri ini mengikut kemampuan yang ada.

Terdahulu, pihaknya menerima sumbangan mangsa banjir dari Khidmat Malaysia Terengganu yang hadir menyerahkan bantuan diketuai oleh Pengarahnya yang juga ADUN Chukai, Hanafiah Mat.

Sumbangan berupa keperluan asas seperti toto berjumlah 200 helai, selimut (200 helai), bantal (200 buah) dan minyak silinder (200 botol) yang bernilai keseluruhan hampir RM19,000.

Sumbangan berkenaan diserahkan kepada Pesuruhjaya PAS Kedah yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya, dalam satu majlis ringkas di Pusat Operasi Induk Khidmat Malaysia, Markas PAS Pokok Sena, Langgar, di sini malam tadi.

“Khidmat Malaysia Kedah mengucapkan setinggi terima kasih atas kerjasama dan keprihatinan pihak Khidmat Malaysia Terengganu membantu mangsa banjir di negeri ini,” kata Amin yang juga Ahli Parlimen Padang Terap.

Sementara Hanafiah yang juga mewakili PAS Negeri Terengganu, turut membuat penyerahan wang tunai sebanyak RM50,000 kepada Khidmat Malaysia Kedah.

Katanya, dengan sumbangan dan khidmat bakti tersebut maka tercapai hasrat Terengganu untuk membantu mengurangkan bebanan Kerajaan Negeri Kedah dalam mendepani musibah banjir ini.

“Selain dapat bersama sukarelawan Khidmat Malaysia Kedah membantu mangsa-mangsa banjir di sini,” tambah beliau dalam pertemuan penuh ukhuwah itu.

Katanya lagi, lebih 200 sukarelawan Khidmat Malaysia Terengganu akan berkampung selama beberapa hari di negeri bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir termasuk membersihkan dan membaiki rumah rosak serta menukar minyak silinder kenderaan.

“Semoga khidmat bakti ini dapat meringankan bebanan mangsa-mangsa banjir di negeri ini,” ujar beliau.

Turut hadir, Penasihat Khidmat Malaysia Kedah, Senator Ustaz Musoddak Ahmad dan Yang Dipertua PAS Kawasan Pokok Sena, Wan Romani Wan Salim serta ADUN Anak Bukit, Rashidi Razak dan Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Pokok Sena.

Kelmarin, Khidmat Malaysia Kedah telah menggerakkan sukarelawannya menjayakan Gotong-Royong Perdana membersihkan rumah mangsa banjir di lima kawasan yang terlibat.

Melalui tenaga 500 sukarelawan termasuk Jabatan Amal, PAS Kawasan, dewan-dewan, mahasiswa, badan bukan kerajaan (NGO), ADUN-ADUN dan Ahli Parlimen, sebanyak 111 buah rumah berjaya dibersihkan.

Dalam pada itu Pusat Operasi Khidmat Malaysia Kedah akan terus beroperasi 24 jam dan bersedia membantu mangsa bencana yang memerlukan termasuk operasi mencuci dan boleh menghubungi ke talian 013-4150845 untuk pelarasan petugas.

Manakala sumbangan Tabung Dana Kecemasan untuk membantu mangsa-mangsa banjir di Kedah terus dibuka melalui nombor akaun 552170001133 (Maybank) Majlis Tindakan Bencana Alam BPPNK.

Para penyumbang juga boleh menyalurkan dengan menekan link ini https://toyyibpay.com/Dana-Khidmat-Malaysia-Kedah. – HARAKAHDAILY 27/9/2024

Ulasan