Jangan sampai kepercayaan penumpang terhakis


Jangan sampai kepercayaan penumpang terhakis
Oleh Ismail Daud
3 September 2024, 7:07 am

AWAL pagi kelmarin, sebuah lagi pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) terpaksa berpatah balik ke Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 1) berikutan masalah teknikal.

Pesawat MH66 ke Seoul, Korea Selatan itu berpatah balik hanya selepas kira-kira setengah jam berlepas.

Pada 4 Ogos lalu, pesawat ke Jeddah yang membawa jemaah umrah, terpaksa berpatah balik ke KLIA 1 juga kerana masalah teknikal manakala pada 19 Ogos, pesawat MAS dari Melbourne ke Kuala Lumpur terpaksa dilencongkan akibat masalah enjin ketika di udara.

Pada 24 Jun pula, pesawat ke Bangkok berpatah balik ke KLIA selepas mengalami masalah tekanan udara. Empat hari sebelum itu, pesawat yang menuju ke Kuala Lumpur dari Hyderabad terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Rajiv Gandhi disebabkan masalah enjin.

Itulah antara insiden terpaksa berpatah balik melibatkan pesawat syarikat penerbangan kebangsaan itu. Tidak pernah MAS mengalami masalah teknikal sebegitu kerap sebelum ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, masalah komponen mekanikal merupakan antara isu utama yang menyumbang kepada beberapa insiden teknikal membabitkan pesawat MAS sejak akhir-akhir ini.


Situasi itu dikatakan ada kaitan dengan isu kekurangan jurutera dan pekerja mahir di MAB Engineering Services akibat tawaran gaji lebih lumayan oleh syarikat kejuruteraan lain termasuk di luar negara. 63 orang dilaporkan berhenti sejak Januari lalu.

Namun, wajarkah penumpang dibebankan dan perlu menanggung pelbagai kepayahan akibat masalah yang dihadapi MAS itu sedangkan mereka sudah membayar harga tiket untuk ke sesuatu destinasi.

Apabila kita membeli tiket, kita mahu sampai ke destinasi dengan selamat dan tepat waktu. Ini kerana penumpang biasanya sudah mengaturkan jadual di destinasi dituju. Ada yang perlu menghadiri mesyuarat penting, ada acara yang perlu disertai atau ada penerbangan sambungan. Bilik hotel, pengangkutan, makanan dan sebagainya semua sudah ditempah.

Kalau terpaksa berpatah balik, semua jadual jadi kelam-kabut. Dibayar kembali harga tiket bukan isunya, malah penumpang tidak mahu pun duit mereka dikembalikan.

Tidak dinafikan faktor keselamatan perlu diutamakan tetapi apabila masalah sama berulang dalam tempoh waktu yang singkat, orang ramai mula bertanya, “Apa sudah jadi?” Jika sebelum ini, sebuah syarikat penerbangan tempatan sering menjadi kecaman, kini giliran MAS pula.

MAS adalah syarikat penerbangan kebangsaan dan kebanggaan Malaysia. Masalah-masalah teknikal yang berlaku itu akan menjejaskan reputasi MAS dan imej negara.

MAS mengambil masa bertahun-tahun untuk pulih daripada igauan tragedi MH370 dan MH17. Kini isu teknikal pula akan meragut kepercayaan dan keyakinan orang ramai.

Harap pengurusan tertinggi MAS ada jawapan kepada semua masalah yang berlaku ini. Jangan hanya bangga umum untung RM766 juta tetapi kualiti servis semakin merosot. Kerajaan perlu lebih tegas terhadap syarikat tersebut.

Bagi penumpang, apabila tiket sudah dibeli, mereka mahu sampai ke destinasi. Tanggungjawab MAS pula ialah sediakan pesawat, bukan beri alasan.

Ismail Daud adalah Timbalan Pengarang Utusan/Mingguan Malaysia

Ulasan