Lubang benam akibat hujan lebat, air pasang besar boleh berulang
Pasukan bomba melakukan operasi mencari dan menyelamat wanita warga India yang terjatuh ke dalam lubang tanah mendap di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Oleh HAFIZ SAIDINA
4 September 2024, 6:53 am
PETALING JAYA: Rakyat Malaysia perlu berwaspada ketika hujan lebat dan kejadian air pasang besar yang sering melanda negara sehingga menjadi satu daripada punca kepada lubang benam berlaku.
Ketika ini, Malaysia dalam fasa beralih ke musim hujan dan mungkin berlakunya banjir kilat sehingga berisiko tanah jerlus, lubang benam dan tanah runtuh berlaku lagi.
Pensyarah Fakulti Sains dan Bumi, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Dr. Aweng Eh Rak berkata, hujan lebat yang luar biasa serta air pasang besar sehingga menyebabkan banjir akan mempengaruhi dan menyebabkan struktur tanah menjadi lembut.
Tambahnya, tanah yang mempunyai ruang udara atau kosong akan lebih terdedah berlakunya tanah jerlus apabila ruang tersebut dimasuki air ketika musim hujan ini.
“Kejadian tanah jerlus tidak akan berlaku sewaktu banjir kerana air akan memberi tekanan kepada tanah malah kebanyakannya akan berlaku selepas surut kerana air sudah meresap masuk ke dalam tanah.
“Sekiranya taburan hujan luar biasa, maka segala langkah berjaga-jaga perlu diambil. Sebarang rancangan perjalanan perlu dibatalkan agar dapat mengelak daripada sebarang kecelakaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada 23 Ogos lalu, berlaku satu kejadian lubang benam di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur yang mengakibatkan seorang pelancong wanita warga India terjatuh ke dalam salur kumbahan dan dibawa arus deras.
Namun, operasi pencarian dan menyelamat (SAR) dihentikan pada 31 Ogos selepas lebih seminggu insiden itu berlaku.
Pembaikan semula lokasi kejadian itu dijangka mengambil masa tiga ke enam bulan.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Geologi Kejuruteraan dan Mekanik Tanah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Nor Shahidah Mohd Nazer berkata, faktor yang perlu dilihat untuk menutup semula lubang benam yang berlaku adalah dengan membaiki saliran bawah tanah dahulu.
“Aliran air bawah tanah perlu dikawal untuk mengelakkan proses hakisan aktif. Paras air bawah tanah perlu diturunkan untuk memastikan kawasan terjejas tidak mengalami tindakan berterusan daripada air.
“Namun, keadaan sistem utiliti bawah tanah juga perlu berada dalam keadaan baik dan terhindar daripada sebarang kebocoran,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan