‘PAS For All’ bukan sekadar slogan

‘PAS For All’ bukan sekadar slogan
September 22, 2024



KUALA LUMPUR: Slogan ‘PAS For All’ bukanlah sekadar slogan yang dilaungkan di bibir sahaja selepas PAS serius menjadikan bukan Melayu dan Islam sebahagian daripada ‘keluarga besar PAS’.

Pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-70, baru-baru ini, PAS telah meluluskan usul pemerkasaan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) yang ahlinya bukan Islam dan Melayu selari dengan Dewan Ulamak PAS, Dewan Pemuda PAS dan Dewan Muslimat PAS. dan Dewan Muslimat PAS.

Satu kenyataan daripada Pemuda PAS Malaysia berkata, pemerkasaan yang dibuat DHPP ini telah memberi ruang yang lebih luas untuk menyumbang dalam hala tuju PAS dan berperanan untuk menarik sokongan bukan Islam kepada PAS.

“Pemerkasaan DHPP ini merupakan suatu langkah yang wajar dan keterhadapan serta menangkis dakwaan bahawa PAS hanyalah parti satu kaum dan agama sahaja.

“Tindakan PAS yang meluluskan pemindaan beberapa perkara dalam perlembagaan PAS yang dilihat ini menjadikan PAS sebagai parti politik yang dinamik, progresif dan inklusif,” katanya.

Selain itu, menurut kenyataan Pemuda PAS Malaysia juga, idea untuk membuka keahlian bukan Melayu ke dalam PAS bukanlah perkara yang baru.

“Sejak 3 Oktober 1956 lagi perkara ini telah dibincangkan. Timbalan Dipertua Agung PAS, Prof Zulkifli Muhammad juga pernah mencadangkan pada 3 Disember 1961 supaya PAS menerima bukan Islam sebagai ahli bersekutu.

“Namun begitu, atas faktor politik Melayu ketika itu, cadangan ini ditangguhkan,” katanya.

Dalam pada itu, PAS yang telah mencapai umur kematangannya dalam sepak terajang politik selama 73 tahun dan telah melalui fasa kebangkitan, kemunduran, kejatuhan dan kegemilangan sejak ditubuhkan pada tahun 1951.

“Kini PAS sudah berdiri sebagai sebuah gerakan Islam dan parti politik yang telah mencapai kegemilangannya dengan kemenangan yang begitu besar dalam PRU-15 dan telah berjaya memerintah empat buah negeri iaitu Kelantan,Terengganu, Kedah dan Perlis.

“Kemenangan ini adalah hasil dari kesungguhan dari peringkat amilin sehingga ke peringkat pimpinan PAS,” ujarnya.

Justeru itu, PAS telah membuka seluas-luasnya tangan untuk mana-mana rakyat Malaysia bukan beragama Islam untuk mendaftarkan diri sebagai ahli bersekutu dalam Dewan Himpunan Penyokong PAS.

“Marilah bersama-sama dengan PAS, bahtera Islam, insya-Allah semuanya akan selamat,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/9/2024

Ulasan