Semangat SG4 jadi model tatakelola berintegriti
September 3, 2024
Andansura Rabu (barisan kedua, kanan) bersama Ahli Dewan Negeri Pahang pada Sidang Kemuncak SG4 di Bangi, semalam.
KUANTAN: Empat kerajaan negeri (SG4) di bawah Perikatan Nasional (PN) mewujudkan satu kerjasama yang baik untuk memajukan urusan pentadbiran negara, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, Andansura Rabu.
“Ia adalah satu langkah yang tepat diambil untuk mewujudkan satu kerjasama bagi menggunakan segala sumber kekuatan yang ada di keempat-empat buah negeri ini.
“Dengan mengagihkan kekuatan tersebut, maka keempat-empat buah negeri ini mampu untuk meningkatkan daya tahan dan daya saing mereka bersama dengan negeri-negeri yang lebih maju di Pantai Barat dan juga di negeri-negeri lain,” katanya ketika dihubungi yang diminta mengulas Sidang Kemuncak SG4 di sini, semalam.
Tambahnya lagi, sesuai dengan semangat SG4 itu, ianya akan menjadi model atau contoh yang baik dalam urus tadbir tatakelola yang berintegriti, amanah dan berteraskan kepada syariat Islam itu sendiri.
“Segala perkara yang dilakukan sama ada dalam pendidikan, ekonomi, sosial, pertanian dan sebagainya, ianya akan memberikan suatu model atau gambaran bagaimana kita hendak mengendalikan dan menguruskan negeri dan negara ini berteraskan kepada konsep patuh kepada perintah Allah SWT.
“Teras SG4 adalah untuk mewujudkan urustadbir yang berteraskan kepada keredaan Allah SWT, lantaran itu kita mengharapkan agar usaha ini dapat membantu dan meningkatkan seluruh rakyat di kempat-empat buah negeri ini yang majoritinya adalah 90 peratusnya adalah orang Islam.
“Jadi ianya boleh memberi gambaran yang baik kepada orang lain, bangsa lain tentang Islam itu sendiri,” ujarnya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang. – HARAKAHDAILY 3/9/2024
Ulasan
Catat Ulasan