SG4 berpotensi cetus ketegangan



SG4 berpotensi cetus ketegangan
SHAMSHUL ANAZ KASSIM
Oleh HAFIZ MUTALIB
4 September 2024, 7:20 am

ARAU: Pembentukan syarikat SG4 Group Sdn. Bhd. (SG4) membabitkan empat negeri dikuasai Perikatan Nasional (PN) berkemungkinan boleh membawa implikasi politik yang signifikan, terutama dalam isu membabitkan royalti minyak dan gas.

Negeri-negeri yang mempunyai sumber berkenaan berkemungkinan akan menuntut bahagian royalti yang lebih tinggi daripada hasil eksplorasi mi­nyak dan gas di wilayah mereka.

Pensyarah kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Perlis, Dr. Shamshul Anaz Kassim berkata, hal demikian berpotensi mencetuskan ketegangan antara kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan serta Petronas.

Katanya, dalam hal tersebut, Petronas juga perlu memastikan operasi mereka di negeri-negeri SG4 selaras dengan dasar Kerajaan Persekutuan dan negeri termasuklah dari segi pematuhan terhadap undang-undang serta peraturan yang berkaitan dengan eksplorasi dan pengeluaran minyak dan gas.

“Terdapat potensi pertindihan dalam bidang kuasa dan peranan selain berisiko mengakibatkan ketidakcekapan dalam pentadbiran dan pelaksanaan dasar. Ini termasuk risiko pertindihan dengan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

“SG4 juga mungkin menimbulkan ketegangan antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan jika dilihat sebagai entiti politik yang boleh mengganggu kerjasama yang diperlukan untuk kejayaan inisiatif ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.


Kelmarin akhbar ini melaporkan empat negeri dikuasai PN menubuhkan syarikat SG4 Group Sdn. Bhd. (SG4) bagi membolehkan Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu berkongsi kekayaan secara saksama.

Ketua Panel Penasihat Empat Kerajaan Negeri (SG4),Tun Dr. Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, setiap negeri akan mempunyai 25 peratus pegangan dalam syarikat tersebut di mana segala hasil kekayaaan akan diagihkan sama rata.

Daripada sudut lain, Shamshul Anaz berkata, inisiatif SG4 adalah langkah strategik dan nilai tambah dalam memperkukuhkan kerjasama antara negeri-negeri di bawah pentadbiran PN dengan potensi untuk membawa manfaat ekonomi dan sosial yang besar.

“Namun, kejayaan SG4 ini juga sebenarnya bergantung kepada sejauh mana negeri-negeri ini mampu menyelaraskan usaha dengan dasar-dasar persekutuan dan mengelakkan risiko pertindihan kuasa serta peranan yang boleh mengganggu kelancaran pentadbiran dan pelaksanaan inisiatif ini,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, Perlis masih dikategori negeri yang berkurangan hasil mahsulnya dan oleh itu amatlah baik sekiranya negeri yang berkelebihan hasil mampu bersama menstabilkan ekonomi Perlis.

Bagaimanapun katanya, hasil dari Perlis terutama dalam sektor dolomite walaupun tidak banyak diharapkan turut dapat mampu membantu negeri-negeri lain.

“Antara sumber di Perlis adalah seperti dolomite yang merupakan sejenis mineral dan batuan terdiri daripada kalsium magnesium karbornat. Anggaran rizab dolomite di Perlis adalah sebanyak 1.5 bilion tan metrik. Anggaran pengeluaran dolomite mentah pula sebanyak lima juta tan metrik setahun dan nilai royalti sebanyak RM2 juta setahun, bagi tempoh 127 tahun.

“Pengeluaran dolomite bagi tahun 2023 sebanyak 428,446 tan metrik dengan nilai RM34.28 juta setahun,” katanya di sini, semalam.

Tambah Mohd. Shukri, selain itu, Perlis juga mempunyai sektor tenaga solar dengan status penjanaan tenaga solar di negeri ini adalah sebanyak 110 megawatt (MW).

“Ia membabitkan tanah persendirian sebanyak 106.5 MW dan bumbung bangunan sebanyak 3.5 MW. Ladang Solar di Chuping Valley Industrial Area (CVIA) sedang berjalan dan mengambil seluas 337.33 ekar di plot solar CVIA.

“Pembangunan ladang solar terapung di empangan Timah Tasoh sedang berjalan proses kajian. Hasil kajian dapat membantu kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri membuat pertimbangan berhubung cadangan pembangunan ladang solar terapung ini,” katanya. – UTUSAN

Ulasan