Tingkatkan kewaspadaan ketika fasa peralihan monsun


Tingkatkan kewaspadaan ketika fasa peralihan monsun
September 26, 2024

KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan mengutamakan keselamatan dan meningkatkan kewaspadaan ketika fasa peralihan monsun yang diramalkan Jabatan Metereologi Malaysia (MET Malaysia) bermula pada 24 September lepas sehingga awal November 2024 di kebanyakan kawasan barat dan pedalaman Semenanjung Malaysia, barat Sabah, serta kawasan barat dan tengah Sarawak.

Ketua Pengarah Khidmat Malaysia, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, peralihan monsun ini boleh menyebabkan kejadian hujan lebat serta angin kencang berpotensi menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh ketika fasa ini berlaku.

Beliau berkata, semalam telah dilaporkan beberapa kawasan rendah di sekitar Jalan Kebun, Seri Muda dan Kota Kemuning di sini, dilanda banjir kilat akibat hujan lebat berterusan pada sebelah petang.

“Memandangkan keadaan cuaca yang mungkin boleh berlaku di mana-mana tempat maka kita perlu mempertingkatkan kewaspadaan.

“Jalan yang licin dan jarak penglihatan yang terhad boleh menyebabkan kemalangan berlaku.

Maka, dinasihatkan agar semua pemandu perlu memandu dengan berhati-hati,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai dapat merujuk kepada portal https://x.com/metmalaysia? t=M_1UHxmpR6I7U6rp_tn__w&s=09 untuk mendapatkan laporan terkini keadaan cuaca semasa.

“Khidmat Malaysia, melalui Bilik Gerakan Info Bencana (BGIB) ketika ini beroperasi memantau keadaan cuaca di seluruh negara disamping menyelaraskan bantuan kepada mangsa banjir di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/9/2024

Ulasan