ULASAN | Dilema Hijau: Malaysia boleh, tapi sediakah kita?
Diterbitkan: Aug 31, 2024 10:00 AMULASAN | “Asal hujan je, banjir”, antara rungutan rata-rata rakyat Malaysia sejak kebelakangan ini. Beberapa tahun lalu, jika ditanya kepada rakyat Malaysia tentang perubahan iklim, ramai yang mungkin akan sukar menjelaskan maksudnya.
Bagi kebanyakan orang, ia adalah satu konsep yang terhad kepada buku teks sekolah, diajar secara teknikal dan agak jauh daripada kehidupan seharian, seolah-olah ia adalah satu masalah masa depan yang jauh, sesuatu yang mungkin berlaku di tempat lain, tetapi bukan di Malaysia.
Namun, hari ini, frasa "perubahan iklim" telah menjadi lebih dekat dan bermakna secara peribadi malah mendesak akibat rentetan peristiwa cuaca ekstrem yang baru-baru ini melanda, rakyat Malaysia kini mengalami sendiri apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan perubahan iklim.
Walaupun Malaysia sering berbangga sebagai salah satu negara yang menyumbang paling sedikit kepada pelepasan gas rumah hijau global, iaitu kurang daripada 0.7%, semakin jelas bahawa perubahan iklim bukan hanya mengenai pelepasan semata-mata. Ia melibatkan kesan yang kompleks dan saling berkaitan yang kini menjadi sebahagian daripada pengalaman hidup kita.
Daripada banjir kepada gelombang haba yang mencatatkan rekod, kesan-kesan ini sudah menjadi realiti harian rata-rata rakyat Malaysia. Ini menimbulkan persoalan, adakah kita benar-benar bersedia menghadapi masa depan yang sedang kita tuju? Lebih penting lagi, secukup mana adalah cukup untuk menjadi sebuah negara yang mengarus perdana tindakan iklim dan sejauh mana apa yang dilakukan sekarang boleh menjamin masa depan yang lebih selamat dan lestari sebelum ia di luar kawalan?
Pelaburan Hijau
Baru-baru ini, sektor kewangan hijau mendapat perhatian dan ia mewakili cara untuk menyalurkan modal ke dalam projek-projek yang boleh membantu mengurangkan kerosakan alam sekitar dan membina daya tahan terhadap kesan iklim.
Malaysia telah mengambil sebuah tindakan yang proaktif dalam bidang ini, terutamanya dengan dokumen Perubahan Iklim dan Taksonomi Berasaskan Prinsip (Climate Change and Principle-based Taxonomy yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia yang menyediakan rangka kerja untuk institusi kewangan menilai kegiatan ekonomi dan kesannya terhadap iklium dan persekitaran. Ini adalah satu langkah penting ke arah ketelusan dan akauntabiliti yang lebih besar dalam sektor kewangan.
ADS
Walaupun pelaburan hijau dan bon hijau semakin menarik perhatian pelabur institusi yang ingin menyelaraskan portfolio mereka dengan projek yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar, minat yang semakin meningkat ini jauh melebihi bilangan projek yang memenuhi kriteria ketat untuk dianggap benar-benar "hijau."
Pembangunan projek hijau bukanlah satu perkara yang mudah, ia memerlukan pemahaman mendalam tentang impak alam sekitar dan kemampanan, serta pelaburan awal yang besar dalam penyelidikan, perancangan, dan pelaksanaan. Projek-projek ini sering melibatkan teknologi canggih, proses pensijilan yang ketat, dan pematuhan kepada piawaian antarabangsa, yang memerlukan kepakaran khusus. Selain itu, kos awal yang tinggi untuk projek-projek ini boleh menjadi penghalang bagi pemaju, yang mungkin memilih alternatif yang lebih murah dan kurang mampan.
Cabaran ini dirumitkan lagi dengan fakta bahawa kewangan hijau masih merupakan konsep yang agak baru di banyak pasaran, termasuk Malaysia. Institusi kewangan dan pemaju projek mungkin kekurangan pengalaman atau insentif untuk melaksanakan projek hijau. Tanpa rangkaian projek yang layak, pasaran bon hijau boleh terhenti, menggagalkan matlamat kemampanan yang diharapkan.
Untuk menjambatani jurang ini, dasar yang merangsang kemasukan kewangan hijau perlu diwujudkan. Ini bermakna merangka insentif kewangan yang bukan sahaja menarik tetapi juga praktikal dan boleh diakses oleh pemaju. Kerajaan Malaysia boleh melaksanakan pelbagai alat fiskal yang boleh mengubah ekonomi ke arah kemampanan. Sebagai contoh, memperkenalkan insentif cukai untuk syarikat yang melabur dalam teknologi hijau boleh menjadikan inovasi ini lebih kompetitif dari segi ekonomi, menggalakkan penerimaan yang meluas.
Sehubungan dengan itu, konsep cukai karbon semakin mendapat perhatian di seluruh dunia dan ini adalah sesuatu yang perlu dipertimbangkan dengan serius oleh Malaysia. Ia boleh menjadi alat yang berkesan untuk mengurangkan pencemaran, menjadikannya lebih mahal untuk syarikat terlibat dalam aktiviti yang merosakkan alam sekitar, dengan hasil cukai ini boleh digunakan untuk membiayai projek-projek mitigasi iklim, meningkatkan peralihan kepada sumber tenaga yang lebih bersih, dan meningkatkan kesihatan awam melalui kualiti udara yang lebih baik.
Peralihan yang adil
Walaupun pelaksanaan cukai karbon mempunyai cabaran tersendiri, termasuk kesannya terhadap isi rumah berpendapatan rendah dan keperluan untuk mekanisme penguatkuasaan yang berkesan, ia mewakili pendekatan proaktif untuk mencapai sasaran neutral karbon Malaysia menjelang tahun 2050 dan meningkatkan daya saingnya dalam pasaran global untuk amalan mampan.
Golongan muda, lebih daripada generasi-generasi sebelumnya, semakin sedar akan krisis iklim dan mendesak agar institusi kewangan memberi keutamaan kepada planet daripada keuntungan jangka pendek. Ini amat penting memandangkan PKS, yang merangkumi lebih daripada 90% daripada keseluruhan penubuhan perniagaan di Malaysia pada tahun 2023, dengan lebih ramai golongan muda terlibat dalam perusahaan ini.
Ulasan
Catat Ulasan