Usaha tarik pelaburan: SG4 diterajui 4 Menteri Besar PN


Usaha tarik pelaburan: SG4 diterajui 4 Menteri Besar PN
September 2, 2024

Empat Menteri Besar SG4 (duduk, dari kiri), Mohd Syukri, Muhammad Sanusi, Ahmad Samsuri dan Mohd Nassuruddin dalam sidang media selepas Sidang Kemuncak SG4 di Bangi, Selangor hari ini, 2 Sept 2024. (HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zukiflee)

BANGI: Empat kerajaan negeri di bawah Perikatan Nasional (PN) atau SG4 melalui penubuhan SG4 Group Sdn. Bhd. (SG4 Group) bekerjasama memajukan ekonomi di Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu diterajui empat Menteri Besar masing-masing.

Empat Menteri Besar berkenaan terdiri daripada Menteri Besar Perlis, Mohd Syukri Ramli; Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; dan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.

Mereka disertai Setiausaha Eksekutif SG4, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Sehubungan itu, SG4 akan menggunakan kelebihan memiliki zon industri lebih luas dan kos lebih efektif untuk menarik pelaburan berpotensi tinggi.



Lebih banyak pemerkasaan di Terengganu

Ahmad Samsuri yang merupakan Pengerusi Majlis Menteri Besar SG4 berkata, potensi SG4 adalah amat besar dan ia antaranya merangkumi bidang pembangunan baharu seperti sumber asli dan mineral kritikal.

Ia juga membabitkan pertanian dan keterjaminan makanan, teknologi hijau dan kredit karbon, perdagangan dan eko-pelancongan, industri halal dan teknologi kewangan (fintech) serta syariah dan pendidikan.

“Lebih banyak pemerkasaan harus diberikan kepada negeri ini berbanding 67 tahun lalu.

“Saya percaya hasil perbincangan saya dengan beberapa negeri yang lain bukan SG4 ini, ada negeri yang memberi pandangan yang sama sekiranya negeri-negeri ingin bergerak cepat jauh ke hadapan yang akhirnya akan memberi sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau hasil kasar dalam negeri di negara ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Sidang Kemuncak Empat Kerajaan Negeri (SG4) di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Mohd Syukri, Muhammad Sanusi, dan Mohd Nassuruddin.

Empat teras SG4 Perlis

Sementara Mohd Syukri Ramli dalam kenyataannya pula berkata, terdapat empat teras yang yang akan digariskan di Perlis.

“Pertama ialah merekayasakan pembangunan ekonomi; kedua, melestarikan kesejahteraan rakyat Perlis.

“Ketiga, meningkatkan kemampuan infrastruktur dan kemudahan dan yang keempat adalah memperkukuhkan perlindungan sosial dan kebajikan rakyat di negeri yang kaya dengan Dolomite.

“Walaupun Perlis masih dikategorikan sebagai negeri yang berkurangan hasil pendapatannya tetapi diharapkan ia mampu membantu negeri-negeri lain terutamanya dalam sektor mineral Dolomite,” katanya.

Jumlah pelaburan asing di Kedah

Muhammad Sanusi pula menyatakan, daripada 222,000 hektar kawasan penanaman padi yang terdapat di negeri itu, pihaknya hanya dapat mengutip cukai tanah berjumlah RM2.6 juta sahaja.

“Namun, sejak tahun 2020 sehingga suku pertama tahun 2024, negeri Kedah berjaya mencapai pelaburan sebanyak RM142 bilion.

“Sementara, sejak 1996 sehingga tahun 2020, jumlah pelaburan ini tidak boleh mengatasi pencapaian kami dalam tempoh tiga tahun setengah ini,” jelasnya.

Tiga gagasan SG4 Kelantan

Selain itu, negeri bawah naungan PN yang telah bertahan selama hampir 34 tahun iaitu negeri Kelantan juga telah meletakkan tiga gagasan dalam menjayakan SG4.

Menurut Mohd Nassuruddin, gagasan pertama ialah pengukuhan kepimpinan ulama, kedua adalah pemerkasaan ekonomi dan ketiga pula adalah memperkukuh budaya kerjasama dan kebersamaan.

“Saya yakin SG4 ini mampu membawa kejayaan yang lebih besar dan mampan sekaligus memperkukuhkan lagi kedudukan negeri-negeri SG4 di persada nasional.

“Segala input yang terhasil melalui amanat dan perbincangan yang diadakan pada kali ini akan menjadi sesuatu yang cukup bermakna,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/9/2024

Ulasan