23 juta warga asing masuk ke Malaysia
DATU KEN Anak Leben ketika ditemubual Wartawan Utusan Malaysia, Maszureen Hadzman di Jabatan Imigresen Putrajaya, baru-baru ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Oleh MASZUREEN HADZMAN
6 Oktober 2024, 6:30 am
PUTRAJAYA: Malaysia menerima kemasukan 23 juta warga asing sejak Januari sehingga 15 Ogos lalu dan jumlah itu terus bertambah sempena cuti sekolah serta perayaan pada hujung tahun.
Kemasukan ini sekali gus memperlihatkan Malaysia sebagai salah satu destinasi yang lebih mudah diakses di Asia Tenggara dan menjadi destinasi pilihan pelancong selain langkah Malaysia menawarkan kemasukan tanpa visa kepada pelawat lebih dari 160 negara.
Bagaimanapun, masih terdapat 32 buah negara yang dikenakan visa untuk memasuki Malaysia dan setiap permohonan itu akan melalui proses penilaian sebelum kelulusan diberikan.
Timbalan Ketua Pengarah (Kawalan), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datu Ken Anak Leben berkata, pihaknya telah menerima sebanyak 2.34 juta permohonan visa dan daripada jumlah tersebut, 95 peratus atau 2.23 juta permohonan telah diluluskan bagi tempoh Januari 2022 sehingga Julai lalu.
“Permohonan tidak diluluskan kerana tidak melepasi tapisan keselamatan yang ditetapkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia selain mereka yang tersenarai di dalam Senarai Syak,” katanya dalam temubual di Putrajaya baru-baru ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, semua pelawat sama ada dari negara-negara tanpa visa atau dengan visa diwajibkan untuk mengisi borang digital yang dikenali sebagai Malaysia Digital Arrival Card (MDAC) yang boleh diisi dalam tempoh tiga hari sebelum sampai di Malaysia.
Menurutnya, MDAC merupakan satu tapisan keselamatan yang dilakukan oleh JIM di mana mereka yang tersenarai di dalam Senarai Syak dan Senarai Hitam akan disekat dari menghantar butiran ketibaan dan tidak akan dibenarkan melalui pemeriksaan imigresen.
“Menerusi MDAC ini, kita mempunyai rekod mereka. Jadi, kita boleh meneliti keberadaan mereka secara terperinci dan mengesan mereka sekiranya tidak keluar dari negara ini sebaik Pas Lawatan Sosial (PLS) tamat tempoh.
“Selain itu, tapisan keselamatan akan sekali lagi dilaksanakan oleh pegawai imigresen semasa melalui pemeriksaan di pintu-pintu masuk negara sebelum PLS diluluskan,” jelasnya.
Menjelaskan perkara itu, beliau berkata, kemudahan pas ini terbahagi kepada dua ketegori iaitu PLS jangka pendek dan PLS jangka panjang.
Datu Ken berkata, lebih 95 peratus yang dikeluarkan adalah PLS jangka pendek iaitu pelawat yang memasuki Malaysia bagi tujuan sosial seperti melancong, menghadiri seminar, perbincangan perniagaan dan pelaburan serta melawat anggota keluarga.
“Selain itu, kemudahan ini diberikan juga kepada pelawat asing yang mahu melakukan lawatan muhibah (goodwill mission), penuntut-penuntut yang mahu menduduki peperiksaan peringkat universiti.
“Selain dikeluarkan kepada mereka yang mengambil bahagian dalam perlawanan olahraga atau sukan serta kegiatan-kegiatan khas yang diluluskan oleh Ketua Pengarah Imigresen Malaysia,” ujarnya.
Beliau memberitahu, hanya 5 peratus yang diberikan kelulusan PLS Jangka Panjang iaitu untuk mereka yang bekerja di negara ini, pelajar, pasangan kepada warga negara dan diplomat asing.
“PLS Jangka Panjang ini akan dikeluarkan kepada mereka mahu tinggal sementara di negara ini bagi tempoh tidak kurang daripada enam bulan sehingga 60 bulan,” tegasnya.
Dalam pada itu, ditanya sama ada PLS boleh dimanipulasi oleh individu tertentu, Datu Ken memberitahu, tindakan itu sudah pasti tidak sewenang-wenangnya berlaku.
Bagaimanapun beliau tidak menafikan berkemungkinan terdapat segelintir pegawai imigresen yang bersekongkol dengan ejen tertentu dalam melanggar undang-undang.
“Namun, perkara itu hanyalah kes terpencil seperti dibongkarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini,” jelas beliau.
Menerusi perkembangan sama, Datu Ken memberitahu, sebanyak 13,654 operasi telah dilaksanakan Jabatan Imigresen di seluruh negara sejak Januari lalu sehingga Ogos lalu dan sebanyak 118,229 warga asing telah diperiksa.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 32,063 individu adalah pendatang asing tanpa izin (PATI) manakala hanya 3,106 pelawat asing yang kita kesan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39(b) Akta Imigresen 1959/63 iaitu melanggar syarat pas atau permit,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau juga berkata, tanggungjawab membendung kemasukan PATI di negara ini bukan hanya terletak di bahu Jabatan Imigresen semata-mata sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak.
“Kadangkala kita melihat satu kawasan itu penuh dengan warga asing walhal bukan semua tidak memiliki pas perjalanan yang sah. Tidak salah masyarakat melaporkan dan kita (Jabatan Imigresen) sedia lakukan pemeriksaan.
“Meskipun kemasukan pelawat asing ini memberi impak yang besar kepada pembangunan ekonomi negara namun kita (Jabatan Imigresen) tidak kompromi berkaitan isu keselamatan,” katanya. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan