5 faktor BN pertahan Mahkota, kempen PN serba tak menjadi
Oleh Dr Abdul Hadi Samsi - Oktober 2, 2024 @ 9:01am
Calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah (tiga kanan) meraikan kemenangan bersama Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi (empat kanan) dan kepimpinan tertinggi di Command Centre BN, Kluang Johor. - Foto NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota melabuhkan tirainya dengan calon Barisan Nasional (BN, Syed Hussien Syed Abdullah berjaya mempertahankan kerusi berkenaan dengan majoriti besar.
Syed Hussien memperoleh 27,941 undi dengan majoriti 20,609 undi, mengalahkan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar, mendapat 7,332 undi.
Di sebalik kejayaan ini, ia dicalar dengan peratusan keluar mengundi kurang memberangsangkan berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022 apabila hanya sekitar 52 peratus daripada jumlah 66,318 pengundi keluar mengundi.
Perkara ini mungkin disumbangkan beberapa faktor antaranya terdapat pengundi tinggal di luar kawasan dan tidak pulang mengundi serta kemungkinan pengundi berasakan PRK kali ini tidak membawa apa-apa perubahan signifikan kepada kerajaan negeri dan Pusat.
Disyorkan
Bagaimanapun perkara ini juga perlu diberikan perhatian semua parti terutama dalam menyusun strategi kempen menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Dalam pada itu, antara isu besar dinyalakan pada kempen tempoh hari adalah dakwaan mengenai rekod jenayah calon BN, Syed Hussien namun, polis mengesahkan beliau tidak memiliki sebarang rekod sabitan jenayah.
Selain itu, isu di antara UMNO dan DAP turut mendapat perhatian, khususnya dalam konteks hubungan parti terbabit dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan selain isu sijil, tetapi ia jelas tidak menjejaskan sokongan pengundi kepada BN.
Hasil pemerhatian pada PRK tempoh hari terdapat beberapa perkara membawa kepada kemenangan besar BN, antaranya kekuatan jentera kempen BN.
BN mempunyai jentera parti teratur dan mantap di peringkat akar umbi, mampu menggerakkan usaha menarik sokongan pengundi melalui kempen berkesan, sokongan logistik dan penyampaian mesej secara terus kepada rakyat.
BN juga mempunyai rangkaian pemimpin tempatan berpengaruh dan berperanan besar menarik sokongan pengundi. Berbeza dengan calon PN dilihat tidak mempunyai jentera kuat dan ramai menyebabkan parti agak sukar menggerakkan jentera sedia ada.
Faktor kedua adalah komitmen kepemimpinan BN di peringkat negeri dan pusat. Ramai pemimpin besar BN termasuk menteri turun berkempen sekali gus meyakinkan pengundi terhadap kestabilan dan kesinambungan pentadbiran di bawah BN.
Ketiga, faktor calon itu sendiri. Tidak dinafikan BN berjaya mengetengahkan calon muda berkarisma, bijak dan dikenali. Hasil pemerhatian juga mendapati calon ditampilkan BN mempunyai hubungan baik dengan penduduk setempat seterusnya mampu membina keyakinan pengundi.
Faktor keempat pula adalah kestabilan politik dan ekonomi negeri. Seperti yang dapat dilihat, rakyat selesa dengan kerajaan Johor pimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Kempen dibawa BN lebih memfokuskan isu kestabilan politik sebagai keutamaan, maka pengundi cenderung memilih parti boleh menawarkan kestabilan dan jaminan ekonomi.
Faktor kelima pula adalah kelemahan parti dan calon PN itu sendiri. Pada PRK DUN Mahkota dapat diperhatikan kelemahan parti lawan mengemukakan calon berwibawa atau mempunyai sokongan akar umbi kuat amat mempengaruhi aliran pengundi, sekali gus memberi kelebihan kepada BN meraih sokongan.
Selain itu, ketidakseragaman strategi kempen serta kekurangan sumber juga boleh melemahkan PN menarik sokongan mencukupi untuk memenangi DUN Mahkota menjadikan strategi mereka 'tidak menjadi'.
Secara keseluruhan, apa yang dapat dirumuskan pada PRK DUN Mahkota adalah ia cerminan kekuatan sesebuah parti politik ingin turun ke medan perjuangan.
Kerjasama antara ahli bermula dengan jentera BN sehingga akar umbi dan dibantu kempen rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan dilihat sangat baik sehingga membantu UMNO mempertahankan kerusi berkenaan.
Apa yang pasti, kejayaan ini juga menuntut UMNO dan BN untuk terus mengekalkan momentum dalam apa juga keadaan jika mahu terus kekal relevan pada mata rakyat.
Penulis Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu
Ulasan
Catat Ulasan