80 peratus orang muda gaji bawah paras kemiskinan


80 peratus orang muda gaji bawah paras kemiskinan
DALAM keadaan rakyat yang 80 peratusnya berpendapatan di bawah RM2,500 sebulan, adalah mustahil mereka tidak terjebak hutang selain sukar membuat simpanan.
Oleh HAFIZ MUTALIB
5 Oktober 2024, 6:51 am

KANGAR: Sebanyak 80 peratus golongan muda di negara ini berpendapatan di bawah garis kemiskinan iaitu bawah RM2,500 sebulan dengan kos sara hidup tinggi menyebabkan mereka terjebak dengan hutang.

Pada 2023, Jabatan Perangkaan memaklumkan Nilai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Malaysia meningkat kepada RM2,589 berbanding RM2,208 yang dicatatkan pada 2019.

Untuk kehidupan lebih selesa dalam keadaan semasa, majoriti rakyat termasuk golongan muda perlu mempunyai pendapatan isi rumah sekurang-kurangnya RM6,000 sebulan terutama di bandar-bandar besar.

Dalam keadaan majoriti rak­yat berpendapatan di bawah paras itu, mustahil mereka tidak terjebak hutang selain sukar membuat simpanan.

Pensyarah kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis, Dr. Shamshul Anaz Kassim berkata, terdapat beberapa faktor golongan muda masih berhutang antaranya kos sara hidup semakin tinggi, harga bara­ngan, kenderaan dan rumah semakin mahal sekali gus tidak setimpal atau mencukupi de­ngan gaji diterima setiap bulan.

Selain itu, katanya, kebanyakan golongan muda berhutang untuk membeli kenderaan, rumah, kad kredit, pendidikan dan pinjaman peribadi.

“Majoriti isi rumah membeli barang-barang asas dan keperluan. Untuk hidup selesa, majoriti rakyat termasuk golongan muda perlu ada pendapatan isi rumah antara RM6,000 hingga RM7,000 sebulan.

“Dalam keadaan sekarang dengan pendapatan yang rendah adalah mustahil mereka tidak terjebak dalam kancah hutang ini dan sudah pastinya sukar untuk menyimpan.

Pendapatan seperti itu tidak cukup untuk bertahan dalam keadaan kos asas sara hidup semakin tinggi dan terpaksa berhutang untuk bertahan.

“Majoriti gaji orang muda sekarang antara RM1,500 sehingga RM2,500 dan jika be­kerja di syarikat besar mungkin boleh menerima pendapatan RM3,000 atau lebih,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, sebanyak 53,000 individu golongan muda di negara ini iaitu yang berusia bawah 30 tahun sudah dibebani hutang berjumlah hampir RM1.9 bilion.

Menteri Kewangan II, Seri Amir Hamzah Azizan berkata, berdasarkan data Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), 28 peratus rakyat Malaysia dewasa yang bekerja meminjam wang hanya untuk membeli barangan keperluan.

Menurut Shamshul Anaz, laporan survei gaji dan upah 2021 mendedahkan kemelut ­akibat gaji yang rendah khususnya me­libatkan golongan muda berumur 24 tahun ke bawah.

Justeru katanya, kerajaan perlu terus komited dalam usaha membantu meningkatkan pendapatan rakyat ke paras sepatutnya seiring dengan sasaran kerajaan menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi.

Katanya, golongan muda dan rakyat perlu memiliki gaji bermaruah setara dengan kenaikan kos sara hidup.

“Pelaksanaan cara berhutang berhemah juga perlu diperkenalkan oleh institusi kewangan dengan skim hutang dan pelaburan. Ini boleh mengawal punca keberhuta­ngan dalam kalangan golongan orang muda,” katanya. – UTUSAN

Ulasan