ADUN Kelantan ikuti kelas bahasa Mandarin di KIAS
October 10, 2024
KOTA BHARU: Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) mengambil inisiatif mengikuti kelas bahasa Mandarin selama empat bulan di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS).
Pengerusinya, Dato’ Abdul Rahman Yunus berkata, kelas yang diadakan pada hari Selasa setiap minggu dianjurkan dengan kerjasama Institut Bahasa Antarabangsa KIAS (IBA-KIAS).
Katanya, kursus itu dicadangkan Pengarah IBA, Dr Azhar Abdullah supaya ADUN di Kelantan belajar bahasa Mandarin yang begitu penting dalam konteks dakwah.
“Wakil rakyat BBC diwajibkan mengikuti kelas bahasa Mandarin setiap hari Selasa dan ia dibiayai BBC,” katanya ditemui di sini.
Perasmian kelas asas komunikasi bahasa Mandarin baru-baru ini disempurnakan Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, Kamaruzaman Mohamad.
Abdul Rahman yang juga Adun Pasir Tumboh berkata, idea supaya pemimpin menguasai bahasa Mandarin pernah dicetus Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat suatu ketika dahulu.
Menurutnya kursus itu turut mendapat sokongan Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.
Beliau juga berkata, selepas menamatkan pengajian tersebut wakil rakyat yang terlibat akan menduduki peperiksaan akhir di Universiti Jinan, Guangzhou, China.
Kata beliau mereka akan berada di universiti terbabit selama dua minggu dan akan menerima sijil tamat kursus. – HARAKAHDAILY 10/10/2024
Ulasan
Catat Ulasan