Apa tindakan tangani penyakit berjangkit bawaan LGBT



Apa tindakan tangani penyakit berjangkit bawaan LGBT
October 14, 2024


KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menjelaskan pelan tindakan terhadap masa depan negara dalam kes pencegahan penyakit berjangkit yang kini kian menular seperti penyakit bawaan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) seperti hubungan seks lelaki dengan lelaki (MSM) seperti HIV.

Dato’ Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) berkata, penyakit tersebut kini kian meningkat sekali gus tidak mengenal mengenal usia dan latar belakang mangsa.

“Apakah tempat khusus untuk rawatan HIV ini yang sentiasa meningkat dan berapakah kos akibat penyakit yang dimulakan dengan pilihan sendiri ini,” soalnya pada perbahasan Rang Undang-Undang Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau mempersoalkan tindakan yang akan diambil terhadap penjawat awam sekiranya mereka didapati terlibat dalam penyebaran penyakit tersebut.

“Sekiranya melibatkan anggota kerajaan apakah tindakan yang dikenakan kepada mereka,” soalnya.

Mumtaz turut membangkitkan kesan emosi dan trauma terhadap pesakit HIV yang perlukan pemulihan yang menyeluruh supaya pesakit tidak terus menyebarkan penyakit tersebut kepada pasangan atau komuniti mereka.

“Pemulihan secara emosi dan psikologi penting supaya mangsa dapat kembali pulih dan tidak terus menyebarkannya kepada pasangan dan masyarakat kerana tanpa kawalan ianya akan terus menular dan tidak tercegah,” katanya.

Menurutnya, penyebaran promosi LGBT di platform seperti Netflix dan media sosial juga mendorong kepada peningkatan penyakit berjangkit.

“Apakah akta ini tidak berkuatkuasa kepada operator ini kerana ia bersifat boleh menggalakkan kepada penyakit berjangkit,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/10/2024

Ulasan