Audit berkala & telus guna dana

Audit berkala & telus guna dana
Penyelewengan wang derma dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan atau NGO di Malaysia menjadi isu yang semakin mendapat perhatian.

Isu ini penting kerana ia membabitkan integriti, kepercayaan masyarakat dan kesucian amalan bersedekah yang seharusnya digunakan untuk kebaikan. Antara nama dan promosi yang sering digunakan oleh NGO untuk mengumpul dana awam adalah nama 'agama' dan ini berlaku kerana beberapa sebab.

Orang ramai khususnya dari kalangan yang beragama Islam cenderung mempercayai individu atau organisasi yang menggunakan nama agama kerana agama dikaitkan dengan integriti dan kejujuran.

Ini menjadikan penderma lebih yakin bahawa sumbangan mereka akan digunakan dengan betul.
Dari sudut lain pula, dengan menggunakan nama agama ia dipercayai boleh menarik dana lebih besar kerana ramai penderma berasa mereka melakukan amal jariah yang akan mendapat ganjaran di akhirat. Ini memberikan motivasi tambahan untuk menderma.

Selain itu, nama agama sering digunakan oleh mereka yang tahu bahawa dermawan mungkin kurang menyoal siasat penggunaannya kerana kepercayaan buta yang diberikan kepada organisasi atau individu berkenaan.


Mutakhir ini, banyak berlaku kes penyelewengan dan penggubahan wang dalam kalangan NGO yang membawa imej 'Islamik'.

Khususnya pada penghujung tahun lalu, sebuah NGO besar yang sudah lama bertapak di Malaysia dengan inisiatif memberi bantuan kepada umat Islam di Timur Tengah terbabit dengan pertuduhan sedemikian.

Ada juga terdapat beberapa pempengaruh Islamik di media sosial dari kalangan anak-anak muda yang terbabit dengan penyelewengan dana seperti ini.

Fenomena ini menimbulkan kebimbangan kerana ia membabitkan organisasi dan individu yang sepatutnya dipercayai untuk menguruskan dana derma dengan integriti.

Fenomena ini menekankan betapa penting langkah pengawasan dan pemantauan yang lebih ketat untuk memastikan dana disalurkan kepada yang memerlukan tanpa sebarang penyalahgunaan.

Penyelewengan wang derma boleh berpunca daripada kurangnya sistem pemantauan dan audit.

Banyak NGO mungkin tidak mempunyai sistem audit yang ketat untuk memastikan dana digunakan dengan betul. Ini membuka ruang untuk penyelewengan.

Dari sudut penyalahgunaan kuasa pula, ada pemimpin dalam NGO yang menyalahgunakan kuasa mereka untuk keuntungan peribadi. Mereka menggunakan dana untuk tujuan yang tidak berkaitan dengan objektif organisasi.

Ketiadaan garis panduan juga mungkin menjadikan sesetengah NGO tidak mempunyai polisi dan prosedur jelas mengenai pengurusan dana, menyebabkan kekeliruan dan ketidakcekapan dalam pengurusan kewangan.

Untuk membanteras penyelewengan dana di masa hadapan, ada beberapa langkah yang patut diambil. Penguatkuasaan undang-undang dari kerajaan perlu diperketatkan ke atas peraturan berkaitan pengurusan dana oleh NGO di Malaysia.

Ini termasuk hukuman lebih berat bagi mereka yang didapati bersalah menyeleweng dana.

Audit berkala dan data ketelusan penggunaan dana terhadap semua NGO perlu diwajibkan. Pada masa sama, setiap NGO ini perlu diaudit setiap tahun oleh pihak ketiga yang bebas dan laporan kewangan perlu diterbitkan untuk tatapan umum. Ini akan memastikan dana digunakan dengan telus dan bertanggungjawab.

Di peringkat penderma pula, pendidikan dan kesedaran berkaitan bagaimana sesebuah NGO beroperasi perlu ditingkatkan.

Meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai pentingnya menyiasat latar belakang NGO sebelum menderma.

Penderma perlu dididik untuk lebih berhati-hati dan tidak memberikan sumbangan secara buta tuli. Adalah disarankan juga untuk menubuhkan badan pengawas yang bertanggungjawab memantau operasi NGO dan memastikan dana digunakan dengan betul.

Badan ini boleh berfungsi sebagai pihak ketiga yang mengaudit dan memantau aktiviti NGO secara berkala.

Kekurangan pemantauan sistematik adalah salah satu punca utama penyelewengan dana. Banyak NGO mungkin tidak diaudit secara berkala kerana kekurangan sumber atau kesedaran.

Oleh itu, ada keperluan mendesak untuk menetapkan standard audit yang wajib dipatuhi semua NGO. Ini akan memastikan setiap organisasi beroperasi dengan integriti dan tanggungjawab yang tinggi.

Penyelewengan wang derma dalam kalangan NGO adalah isu serius yang perlu ditangani dengan tegas. Dengan memperkenalkan langkah-langkah penguatkuasaan undang-undang, audit berkala, pendidikan, penubuhan badan pengawas dan penyediaan latihan, pengurangan penyelewengan dana dapat dilakukan dan memastikan sumbangan digunakan untuk tujuan yang betul.

Adalah menjadi harapan supaya langkah-langkah ini dapat membantu mengembalikan kepercayaan masyarakat kepada NGO dan memastikan amal jariah yang dilakukan benar-benar memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan.

Penulis Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan & Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM)

Ulasan