Banjir Jasin: Hati-hati bimbang gelombang kedua


Banjir Jasin: Hati-hati bimbang gelombang kedua
October 14, 2024

JASIN: Penduduk dalam kawasan Parlimen Jasin diminta agar sentiasa berjaga-jaga terhadap kemungkinan akan terjadi gelombang kedua banjir yang sedang berlaku kini.

Yang Dipertua PAS Kawasan Jasin, Datuk Ustaz Kamarudin Sidek berkata, sikap berhati-hati penting bagi mengelakkan mereka daripada menghadapi kerugian harta benda atau kehilangan jiwa.

“Saya difahamkan ada kemungkinan banjir ni ditakuti akan datang gelombang yang kedua. Kalau kita tengok situasi semasa seperti tidak ada jaminan bahawa banjir ini sudah selesai.

“Adalah lebih baik kita sentiasa berwaspada dan bersedia. Jangan terburu-buru menganggap bahawa banjir ni sudah selesai dan tak berulang dalam masa terdekat,” ujarnya.

Menurut beliau, mereka yang tinggal di kawasan-kawasan rendah terutamanya perlu bersedia berpindah dengan mengalihkan barangan dan dokumen berharga untuk diletak di kawasan lebih tinggi.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika dihubungi usai lawatan beliau ke beberapa lokasi berlakunya banjir, di sini hari ini.

“Saya baru lepas turun meninjau ke dua kawasan yang terlibat banjir, satu dalam DUN Serkam iaitu di Pulai. Di Pulai saya tengok okay, banjir dah reda. Saya tengok di situ tidak begitu teruk.

“Yang kritikal saya lihat di DUN Merlimau. Saya pergi di Kampung Kilang Berapi memang banyak yang terjejas. Jadi saya mengharapkan supaya penduduk bersabar,” katanya.

Kata Ustaz Kamarudin, beliau melihat agensi-agensi kerajaan berkaitan dilihat sedang bekerja keras dalam menangani bencana yang melanda itu.

“PAS Jasin telah mengkoordinasikan bantuan Jabatan Amal Malaysia (JAM) dan Khidmat Malaysia. Kita turun sekadar yang kita mampu untuk membantu.

“Kita harap rakyat perlu bertenang. Kita tahu perkara ini sesuatu yang sukar untuk mereka hadapi. Situasi ini memang jarang-jarang berlaku dan tidak bermusim.

“Mana-mana yang terbabit dengan banjir teruk ini saya minta supaya mereka buat laporan dan juga kalau diarahkan berpindah ke pusat pemindahan, kena berpindah demi keselamatan,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya juga telah menyampaikan sumbangan kepada beberapa buah rumah terlibat dan juga kepada JAM bagi menampung belanja operasi membantu mangsa banjir yang akan dilakukan segera.

Banjir yang berlaku hari ini dipercayai akibat hujan lebat melanda Jasin bermula malam tadi sehingga pagi di hampir keseluruhan tempat di sini.

Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Ketua Pemuda PAS negeri, Ustaz Zulhilmi Suboh dan Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Negeri Melaka, Mohsin Ibrahim serta Setiausaha Kerja PAS Melaka, Rashidi Ismail.

Juga Pengerusi Lajnah Kebajikan Dewan Muslimat PAS Melaka, Ustazah Norizah Jaafar dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Jasin, Ustaz Mohd Norfaizal Nordin. – HARAKAHDAILY 14/10/2024

share & sebarkan:

Ulasan