Banjir: Khidmat Malaysia bersiap dengan kekuatan maksimum


Banjir: Khidmat Malaysia bersiap dengan kekuatan maksimum
October 22, 2024

KUALA TERENGGANU: Pengerusi Khidmat Malaysia negeri, Hanafiah Mat berharap semua pihak agar melaksanakan tugas dengan baik dan menjadi contoh teladan kepada masyarakat Terengganu.

Katanya, Khidmat Malaysia harus berada di barisan hadapan dalam memberi kebajikan kepada rakyat, terutama ketika mereka dalam kesusahan, lapor TRDI.my.

Beliau juga ingin memastikan bahawa semua ahli Khidmat Malaysia di setiap daerah bersiap siaga untuk turun serta-merta apabila banjir berlaku dengan kekuatan maksimum.

Ini, ujarnya bagi membantu agensi keselamatan dan mengikuti arahan komandan banjir di lapangan, iaitu Ketua Polis Daerah.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar (Pengurusan Bencana), berkata inisiatif pendaftaran mangsa banjir melalui penggunaan Kod QR di Terengganu telah diperkenalkan bagi memudahkan mangsa banjir dan agensi terlibat.

Menurutnya, sistem itu berfungsi sebagai medium untuk mengumpul data, sekali gus memudahkan penyelarasan penyaluran bantuan semasa dan pasca bencana serta mempercepatkan proses pendaftaran mangsa.

Katanya, semua keputusan mesyuarat yang telah dibuat di peringkat negeri dan daerah akan dilaksanakan sepenuhnya apabila banjir berlaku tahun ini.

Hanafiah yang juga ADUN Cukai difahamkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menggunakan pendaftaran melalui kod QR pada tahun ini.

“Ini bagi memastikan semua mangsa banjir mendaftar dengan JKM, walaupun mereka tidak tinggal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), kerana kita bimbang ada yang tercicir daripada senarai bantuan,” ujarnya.

Beliau juga mengingatkan bahawa Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Khidmat Malaysia dan pejabat daerah perlu bekerjasama untuk memastikan segala tugas dilakukan dengan lancar.

“Arahan semasa banjir akan datang daripada komanden banjir, namun bagi kerja-kerja pasca banjir, arahan akan dikeluarkan oleh Khidmat Malaysia Terengganu atau saya sendiri, khususnya untuk usaha pembersihan selepas banjir,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa dan orang ramai agar memastikan anak-anak tidak bermain di kawasan yang berisiko seperti tepi sungai, pantai atau parit besar semasa musim hujan serta memastikan keselamatan mereka dijaga dengan baik agar tiada kejadian tidak diingini berlaku.

“Persiapkan harta benda kita seperti yang telah disarankan oleh pihak berwajib, sama ada daripada pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) atau kerajaan, dan ambil langkah berjaga-jaga yang sewajarnya semasa banjir,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 22/10/2024

Ulasan