Belanjawan 2025 perlu fokus kepayahan hidup rakyat



Belanjawan 2025 perlu fokus kepayahan hidup rakyat
October 21, 2024

Dato' Seri Hamzah Zainudin

KUALA LUMPUR: “Dengarlah suara rakyat, rintihan rakyat, jangan jadi kerajaan yang dipanggil orang sebagai kerajaan lembu kenyang,” kata Dato’ Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut).

Menurut beliau, Belanjawan 2025 sepatutnya memberi perhatian serius terhadap kepayahan hidup yang dialami rakyat.

Beliau berkata, kerajaan harus mempertimbangkan data realiti yang menunjukkan banyak keluarga di Malaysia berdepan cabaran kewangan, terutama kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Kajian yang dibuat oleh UNICEF dan UNFTA di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pada tahun ini mendapati lapan daripada 10 isi rumah di Malaysia menghadapi cabaran kewangan untuk mencukupi keperluan asas dan 90 peratus isi rumah di negara ini terkesan dengan kenaikan kos sara hidup.

“Dapatan kajian hampir serupa juga diperolehi Malaysia Institute of Economic Research (MIER) bahkan sana sini kita dengar ketua keluarga terpaksa buat lebih satu kerja bagi menyara kehidupan.

“Ramai keluarga B40 mereka cuma makan satu atau dua kali sahaja sehari akibat tekanan hidup, bukan itu sahaja kini rata-rata pekerja juga terpaksa memilih membawa bekal makanan ke pejabat dan mengurangkan perbelanjaan mereka kerana kekangan kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Belanjawan 2025, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Menurut Hamzah, hutang isi rumah di Malaysia turut meningkat, dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM1.53 trilion pada tahun 2023, mencatatkan peningkatan purata sebanyak 5.1 peratus berbanding tahun 2018.

“Apakah menteri-menteri terutamanya YAB tambun tidak sedar akan isu ini, setiap kali belanjawan di bentang rakyat mengharapkan kos sara hidup yang rendah, pekerjaan dan peluang ekonomi, kesihatan dan pendidikan yang berkualiti, perumahan mampu milik jaminan sosial yang kuat dan infrastruktur yang lebih baik.

“Rakyat mahu melihat pengekalan atau peningkatan subsidi ke atas barangan asas seperti beras (YB kota Raja) saya nak ingatkan barangan asas seperti beras, tepung, dan bahan api bagi meringankan kos harian.

“Rakyat mahu kawalan harga lebih ketat bagi mengelakkan manipulasi harga dan tentunya rakyat mahukan program bantuan tunai diperluaskan kepada mereka yang memerlukan,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/10/2024

Ulasan