Belanjawan 2025: Syahir isyaratkan komitmen PN
Bawa suara hati rakyat depani penguncupan subsidi, pengembangan cukai
October 10, 2024
KUALA LUMPUR: Ketua Portfolio Ekonomi Perikatan Nasional (PN), Mohd Syahir Che Sulaiman berpandangan Belanjawan 2025 akan memberi fokus utama kepada penguncupan subsidi dan pengembangan cukai.
Beliau juga berpandangan, Sidang Parlimen bermula pada 14 Oktober, di mana Belanjawan 2025 akan dibentangkan pada 18 Oktober itu juga akan melihat impak inflasi dan kos sara hidup terhadap rakyat, sehingga berakhir sidang pada 12 Disember.
Ahli Parlimen Bachok itu berkata, PN selaku pembangkang juga akan memperbaiki peranan mereka dalam Dewan dan berusaha memahami isu-isu rakyat secara langsung.
Beliau turut memberitahu, Ahli Parlimen Kelantan telah mengadakan bengkel ekonomi dan pembangunan pada 22 September lalu oleh pihak Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Pejabat Menteri Besar Kelantan.
Manakala penyediaan soalan Parlimen pula maklumnya, telah selesai dihantar pada 27 September di mana banyak input diperoleh daripada pembentangan dan perbincangan, tetapi terpenting datang daripada keluhan rakyat.
Menurut Penolong Setiausaha Agung PAS itu, suara hati rakyat yang diterima di pelbagai lokasi seperti di masjid, surau, baruh petani, jeti nelayan, kenduri kendara dan kedai kopi adalah lebih ‘membumi’ dan terkadang lebih ‘panas’.
Jangkaan bajet
Berlatarbelakangkan korporat dan pernah berkhidmat di Sime Darby, beliau melihat Belanjawan 2025 dijangka menampilkan model ekonomi yang berfokus kepada pelaksanaan skim subsidi petrol RON95 baru di seluruh negara.
“Selepas skim subsidi diesel yang hanya dilaksanakan di Semenanjung.
Manakala kesan inflasi dan kenaikan kos sara hidup pastinya akan menjadi keutamaan, di samping peluasan rejim cukai SST dan pengenalan cukai baharu.
“(Ia) bagi menampung kutipan hasil kerajaan yang rendah, serta hutang kerajaan yang terus meningkat,” ulasnya di mana walaupun angka Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan Ringgit menunjukkan peningkatan, terdapat jurang ketara antara laporan dan realiti rakyat.
Menurutnya lagi, kenaikan kos sara hidup, keberhutangan tinggi, serta merosotnya keselamatan dan kesejahteraan hidup mencetuskan kebimbangan, ditambah pula dengan peningkatan kebejatan sosial dan jenayah.
“Hasrat saya dalam Belanjawan 2025, hendaknya diagihkan secara lebih ‘berimbang dan berhemah’, mengambil kira keadaan semasa dan keperluan di masa hadapan,” harap beliau.
Tambah Syahir, peruntukan pembangunan harus diagihkan mengikut keutamaan negeri untuk memastikan kesejahteraan rakyat di mana kenaikan harga barangan dan perkhidmatan akibat penguncupan subsidi petrol dan diesel perlu ditangani dengan serius.
Selain itu menurutnya, pengurangan subsidi dalam bidang makanan, pendidikan dan kesihatan harus diperhatikan, terutama ketika pendapatan rakyat tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan hidup.
“InsyaAllah dalam ruang perbahasan yang diberikan, Bachok akan menyentuh isu-isu berkaitan pembangunan negeri, subsidi dan cukai, hutang kerajaan, keberhutangan rakyat dan anak muda, serta peranan Malaysia di pentas antarabangsa dan serantau yang semakin mencabar,” ujar beliau.
PN tingkatkan keberkesanan
Selain itu beliau berkata, ada suara menyatakan PN selaku pembangkang kini dianggap kurang agresif berbanding dahulu, tetapi berkomitmen untuk memperbaiki kekurangan yang ada.
Hakikatnya menurut beliau, ruang untuk pembangkang berfungsi adalah sangat luas, bukan sekadar berperanan di dalam Dewan, malah turut terlibat dalam pelbagai jawatankuasa, mesyuarat, perbincangan, dan perancangan.
Ulasnya, walaupun tanpa peruntukan di tangan, khidmat kebajikan dan cetusan minda tetap diteruskan.
Beliau berkata, terpenting adalah perlunya turun ke lapangan untuk memahami denyut nadi rakyat, bukan hanya terhad kepada ruang ‘podcast’ dan TikTok yang lebih sensasi dengan 1001 komentar dan ulasan.
“Setiap kita ada posisi tersendiri. Sehingga bertemu kembali, Parlimen yang lebih ‘bergema’, bermanfaat untuk negara dan rakyat hendaknya, insyaAllah,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/10/2024
Ulasan
Catat Ulasan