Berhutanglah cara berfaedah
Oleh Imran Mohamad Nor
3 Oktober 2024, 7:07 am
LAPORAN Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang mendedahkan sebanyak 53,000 individu bawah 30 tahun sudah dibebani hutang berjumlah hampir RM1.9 bilion, cukup membimbangkan kita. Hutang itu meliputi pinjaman peribadi, kad kredit terutama skim ‘Beli Sekarang, Bayar Kemudian’ (BNPL) yang dilihat semakin meningkat.
Lebih risau dan menyedihkan, terdapat 28 peratus atau kira-kira 9.52 juta rakyat Malaysia golongan dewasa yang bekerja terpaksa meminjam wang atau berhutang hanya untuk membeli barangan keperluan.
Memang tidak dinafikan hidup di kota metropolitan memerlukan perbelanjaan tinggi kerana kos sara hidup yang meningkat ditambah pula dengan kenaikan harga semua barangan keperluan hampir 100 peratus. Harga barangan ini pula apabila sudah naik memang sukar untuk turun. Yang pasti turun hanyalah hujan.
Seperti mana yang kita tahu, pandemik Covid-19 yang melanda negara selama tiga tahun (Januari 2020 sehingga April 2022) memberi impak yang besar kepada ekonomi Malaysia yang merudum sehingga mencatat prestasi terburuknya sejak Krisis Kewangan Asia 1998.
Banyak syarikat dan kilang tutup operasi, ratusan ribu pekerja hilang pekerjaan. Rakyat golongan marhaen cukup terkesan dan terseksa dengan kejatuhan ekonomi ini.
Waktu itu boleh dikatakan semua orang hidup dalam ‘penjimatan’. Belanja cara berhemah, beli apa yang perlu sahaja.Tetapi selepas negara memasuki era endemik pada April 2022, ekonomi Malaysia mula merangkak pulih dan sekarang mungkin ramai yang sudah lupa berbelanja cara berhemah terutama golongan muda sehingga berani ‘mencipta’ hutang.
Ada juga orang dewasa ini yang berhutang melebihi pendapatan bulanan sehingga gaji yang diperoleh tidak cukup untuk membayar hutang dan terpaksa pula meminjam dengan kawan-kawan. Yang pastinya mereka yang dalam kategori ini hidup tidak tenteram, sentiasa memikirkan jalan bagaimana cara untuk membayar hutang, pemikiran sentiasa dibelenggu rasa serabut dan masalah, mudah rasa marah yang mana semua itu akan memberi kesan kepada prestasi kerja.
Apa yang lebih merugikan ialah golongan muda yang hidup berhutang secara berlebihan ini pastinya gagal membeli rumah pertama yang ditawarkan kerajaan melalui projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) pada harga RM100,000 sehingga RM300,000.
Sehubungan itu, golongan dewasa yang hidup terhimpit kerana berhutang perlu muhasabah diri. Tidak perlu berhutang sekadar untuk menunjukkan cara hidup mewah kepada orang lain. Bukan tidak boleh berhutang tetapi berhutanglah kepada cara yang berfaedah dan akhirnya memberi manfaat.
Individu yang bijak adalah mereka yang mampu merancang masa depan mereka, mengharungi ketidakpastian dan mewujudkan keselamatan kewangan yang berkekalan untuk diri dan keluarga mereka.
Imran Mohamad Nor ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia
Ulasan
Catat Ulasan