Budayakan pembelajaran sepanjang hayat
PEMBUDAYAAN PSH telah menggalakkan rasa ingin tahu yang berterusan, menghasilkan masyarakat yang lebih terbuka terhadap pengetahuan baharu dan inovasi.
Oleh Meja Rencana
21 Oktober 2024, 9:00 am
SEJAJAR dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi), salah satu agenda utama di bawah pelan ini adalah memberi fokus kepada anjakan ke arah menghayati pembelajaran sepanjang hayat (PSH). Bagi merealisasikan agenda ini, Kolej Komuniti Hulu Langat (KKHL) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) serta Kolej Komuniti Zon Selangor telah menganjurkan Karnival Variasi Pembelajaran Sepanjang Hayat Zon Selangor dan Wilayah Persekutuan 2024.
Karnival Variasi ini bertujuan untuk memperkenalkan Kolej Komuniti secara lebih meluas kepada masyarakat di Selangor terutama di Daerah Hulu Langat dengan membudayakan pembelajaran melalui pendekatan pengajaran yang inovatif serta memastikan PSH sentiasa dinamik, membawa kepada pemantapan kerjaya masa hadapan serta memperkasakan keperibadian individu dan sosioekonomi. Antara kumpulan sasaran utama PSH ialah lepasan sekolah, golongan dewasa yang bekerja, suri rumah, warga emas, orang kurang upaya dan pelajar tahfiz yang ingin meningkatkan taraf hidup dan mempelbagaikan kemahiran terutama dalam TVET.
Melalui karnival ini, peluang dan ruang telah diberikan kepada komuniti setempat bagi meneroka dan mendalami ilmu dengan penyertaan dalam aktiviti PSH.
Pembudayaan PSH telah menggalakkan rasa ingin tahu yang berterusan, menghasilkan masyarakat yang lebih terbuka terhadap pengetahuan baharu dan inovasi. Ini bukan sahaja memberi manfaat kepada individu tetapi juga kepada masyarakat secara keseluruhannya dengan menggembleng potensi individu yang relevan dengan cabaran semasa.
Dalam pada itu, karnival ini diharapkan menjadi titik tolak dalam usaha mengukuhkan jaringan kolaboratif yang produktif antara Kolej Komuniti sebagai agen aktif kemasyarakatan dengan agensi yang berpotensi dan masyarakat sekitar Negeri Selangor. – UTUSAN
UNIT PENGURUSAN MAKLUMAT
DAN KORPORAT
KOLEJ KOMUNITI HULU LANGAT
Ulasan
Catat Ulasan