Buka aib suami isteri langgar pensyariatan iddah


Buka aib suami isteri langgar pensyariatan iddah

ADA pihak mengambil kesempatan membuka aib pasangan sedangkan ia menyalahi hikmah pensyariatan iddah khususnya talak raja’ei yang bertujuan menjadi ruang kepada suami isteri untuk berfikir dan menilai semula segala tindakan dan kesilapan telah dilakukan. - GAMBAR HIASAN
Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR
15 Oktober 2024, 8:00 am

UMUM mengetahui, iddah merupakan satu tempoh bertenang di mana isteri yang kematian atau diceraikan suami untuk menghadapi fasa-fasa kehidupan baharu selepas melayari bahtera rumah tangga.

Demikian indahnya Islam sebagai satu agama yang mempunyai cara hidup yang lengkap kerana telah menyusun secara terperinci perkara-perkara berkaitan nikah, cerai dan rujuk sebagai garisan yang wajib dipatuhi oleh setiap wanita Islam.

Ini kerana bukan sahaja memastikan nasab keluarga tidak terganggu bagi memastikan rahim wanita bersih daripada sebarang benih perkahwinan terdahulu, tetapi juga aspek kesejahteraan mental agar maruah wanita dibimbing berdasarkan panduan syariat.

Namun begitu, ramai lelaki dan wanita memandang remeh pensyariatan iddah walaupun ditetapkan dalam al-Quran dan hadis termasuk ayat 228 surah al-Baqarah dan ayat 4 surah al-Talaq. Malah Nabi Muhammad pernah memerintahkan seorang wanita bernama Barirah untuk beriddah dengan tiga kali haid seperti riwayat hadis Ibnu Majah.

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini masih terdapat orang ramai beranggapan apabila talak sudah dilafazkan, maka hubungan suami isteri sudah berakhir khususnya membabitkan talak raja’ei atau cerai rujuk semula sedangkan lelaki berhak merujuk wanita sepanjang tempoh iddah.

Lebih menyedihkan, ada pihak mengambil kesempatan membuka aib pasangan sedangkan ia menyalahi hikmah pensyariatan iddah khususnya talak raja’ei yang bertujuan menjadi ruang kepada suami isteri untuk berfikir dan menilai semula segala tindakan dan kesilapan telah dilakukan.


Ia termasuk kesan daripada perceraian yang berlaku. Oleh itu, iddah disyariatkan untuk memberi peluang kepada suami untuk merujuk kembali kepada isterinya.

Sebaliknya iddah bukan hanya membabitkan larangan berkahwin dalam tempoh ditetapkan, namun syariat telah menggariskan adab-adab yang perlu dipenuhi bagi memberi ruang kepada suami dan isteri yang telah melalui fasa perceraian untuk berfikir semasak-masaknya.

KAEDAH IDDAH BERCERAI SUAMI

Sebenarnya, iddah terbahagi kepada dua jenis iaitu kematian dan perceraian suami dengan setiap bahagian mempunyai pengiraan sendiri yang menetapkan tempoh tertentu sama ada panjang atau pendek.

Pengiraan iddah terbahagi kepada tiga iaitu iddah dengan kiraan kali suci haid, iddah dengan kiraan bulan dan iddah kelahiran atau keguguran bagi wanita mengandung.

Sebelum dijelaskan perincian iddah perceraian, perlu difahami bahawa terdapat dua jenis cerai iaitu talak raja’ie atau rujuk semula dan talak ba’in.

Talak raja’ie bermaksud seorang suami yang menceraikan isterinya dan masih boleh merujuk kembali tanpa akad nikah baharu, dengan syarat isterinya itu masih berada dalam tempoh iddah.

Manakala talak ba’in pula, ia merupakan talak yang jatuh serta-merta pada masa lafaz talak dilafazkan dan kesemua hak-hak isteri terputus apabila dijatuhkan talak. Jenis ini pula terbahagi kepada talak ba’in sughra dan talak ba’in kubra.

Bagaimanapun pengiraan masa iddah perceraian bergantung kepada keadaan wanita itu sendiri sama ada mempunyai haid atau tidak, mengandung, belum pernah disentuhi yang menetapkan tempoh iaitu sama ada tiga kali suci, tiga bulan, sehingga bersalin atau gugur kandungan untuk wanita hamil.

BATASAN ADAB TEMPOH IDDAH RAJ’IE

Meskipun suami telah melafazkan talak satu atau dua, namun tidak bermakna isteri boleh bebas sewenang-wenangnya kerana masing-masing masih tertakluk kepada tempoh iddah sama ada tiga kali suci, tiga bulan atau sehingga bersalin atau kandungan gugur untuk wanita hamil.

Ia tertakluk kepada adab dan batasan ditetapkan syariat antaranya haram menerima pinangan dan berkahwin dengan lelaki lain, tidak dibenarkan keluar tanpa keizinan suami, tidak dibenarkan berpindah atau tinggal di rumah lain yang bukan menjadi kebiasaannya tinggal semasa masih dalam ikatan perkahwinan.

Dalam hal ini, suami dilarang menghalau keluar isteri yang diceraikan bahkan mereka wajib menanggung seluruh nafkahnya termasuk nafkah tempat tinggal.

Namun batasan iddah talak raj’ie tidak seperti wanita berkabung seperti kematian suami yang dilarang memakai hiasan, dalam hal ini mereka dituntut untuk bersolek khususnya kepada suaminya sebagai dorongan bagi membangkitkan keinginannya untuk dirujuk semula.

Bagaimanapun kebelakangan ini, terdapat wanita melanggar adab ditetapkan seolah-olah mereka telah bebas meskipun suami berhak merujuknya pada bila-bila. Lebih menyedihkan terdapat pihak mengambil kesempatan membuka aib suami atau isteri secara terbuka di luar mahkamah sama ada melalui media massa atau media sosial, sedangkan baru sahaja lafaz talak dibuat di hadapan hakim.

Ini kerana sebarang syak ataupun prejudis hendaklah tidak dihebahkan ketika iddah dan ia menyalahi usaha untuk suami dan isteri kembali rujuk kepada perkahwinan yang mana ia menjadi hikmah kepada pensyariatan iddah.

Agama Islam bukan hanya menjaga dan memelihara kebajikan dan hak-hak wanita semasa mereka masih berada dalam tempoh perkahwinan malah berterusan sehingga terbubarnya perkahwinan tersebut sama ada kerana bercerai hidup mahupun perceraian mati.

Sudah pasti terdapat hikmah yang besar di sebalik setiap perkara yang disyariatkan oleh Islam yang mungkin tidak mampu dijangkau oleh akal manusia, namun ia mempunyai mesej mendalam melalui pensyariatan iddah dan berkabung oleh Allah ke atas kaum wanita.

Justeru sebagai hamba Allah yang beriman, kita diwajibkan patuh dan taat serta mengambil berat terhadap tuntutan tersebut tanpa sebarang persoalan atau menghadapinya dengan perasaan dan jiwa yang berkeluh-kesah.

Sekiranya tidak dibimbing dan dipandu dengan sebaiknya, umat Islam mungkin tidak dapat memahami dan menghayati konsep iddah seperti yang dituntut oleh Islam. – UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Ulasan